895
Oleh : Khaliq G
Usai berkonsert bersama barisan artis ternama pada malam Sabtu lalu, Music Addicts Malaysia menyenaraikan perkara-perkara yang pelik dan juga pelik yang berlaku dalam konsert tersebut. Baca ulasan penuh Konsert Tombo Ati & Redho Ilahi di sini.
Yang Menarik
- Prihatin dengan konflik yang sedang melanda dunia ketika ini, barisan artis yang tampil pada konsert ini menggunakan ruang yang ada dengan berpesan kepada hadirin untuk sentiasa mendoakan kesejahteraan buat saudara kita di bumi Palestin.
- Acara bidaan gitar oleh Sakti menjadi highlight pada malam itu. Bidaan dibuka dengan nilai RM3,000, dan akhirnya berjaya dijual pada nilai RM11,000. Hasil jualan tersebut akan disalurkan sepenuhnya kepada tabung bantuan Palestin. Gitar tersebut dibeli oleh boss konsert itu sendiri, saudara Iman Tang!
- Kemunculan si cilik dari Al Kauthar Eduqids selaku penganjur utama konsert mencuri perhatian penonton. Anak-anak comel itu menyampaikan sebuah persembahan zikir dan mendapat sorakan cukup meriah daripada para penonton.
- Tiba-tiba saja pada hujung persembahan, seorang anak dari Al Kauthar Eduqids menjerit di atas pentas memanggil ayahnya. Dia tampil keluar dari barisan dan melambai kepada keluarga, mengundang gelak ketawa satu dewan! Pasti pengalaman ini akan dia kenang bila sudah dewasa nanti. Comel!
- Kehadiran para penonton sedondon berbusana putih mengikuti tema yang ditetapkan penganjur cukup menarik perhatian. Masing-masing tampil sopan, manis dan kacak pada malam itu. UNIC sempat mengusik bahawa terasa macam berada di alam lain pula bila semua hadirin di dalam dewan berpakaian serba putih.
Yang Pelik
- Konsert yang dibarisi 8 artis, berjalan meleret. Di tengah-tengah konsert, penonton mula berasa resah. Ada yang berbisik sesama sendiri, bila Opick mahu keluar dan ada juga yang sinis berkata, adakah Opick sebenarnya penyanyi undangan sahaja?
- Kualiti audio yang sedikit menghampakan. Seawal konsert bermula, kumpulan UNIC menegur pasukan audio kerana mereka tidak mendengar muzik ketika sedang menyanyi. Dan benar, ada masa suara penyanyi tenggelam dalam bunyi yang sedikit bingit. Sayang sungguh, mereka menggunakan Zepp sebagai venue konsert, tetapi tidak disempurnakan dengan kualiti audio yang padu.
- Grafik pada paparan LED juga kelihatan sambil lewa. Tidak tahu di mana silapnya, namun saya kira, grafik ketika klip kanak-kanak dan mangsa perang di Palestin saja dan ketika Opick mengambil alih pentas saja yang cantik dan menangkap perhatian. Untuk persembahan yang lain, grafik pada skrin LED ada sekadar ada. Terlalu biasa untuk dihidangkan pada persembahan berskala konsert.
- Saya tidak tahu, adakah penganjur punya masa yang cukup untuk persiapan konsert ini. Perjalanan konsert seperti kelam-kabut. Ada masanya, ketika pengacara sedang bercakap dengan artis, kru konsert datang dan membisikkan sesuatu ke telinga pengacara. Saya faham, untuk persembahan secara live, banyak benda di luar kawalan boleh berlaku. Tapi, bila perkara ini terjadi berulang kali, menjadi sedikit annoying dan mengganggu kosenstrasi penonton.
- Tindakan Sakti menamatkan persembahan secara tiba-tiba ke belakang pentas dan hilang begitu saja paling tidak boleh diterima. Untuk apa saja alasan, etika sebagai penghibur perlu diutamakan. Kasihan melihat pengacara yang juga terpinga-pinga tidak tahu apa yang sedang berlaku.
- Fazura lagi. Saya masih tidak boleh move on dengan persembahan Fazura pada malam itu. Saya kira, Fazura perlukan team yang lebih jujur dalam memberi komen pada karya-karya yang beliau hasilkan. Fazura adalah sebuah jenama besar dalam industri seni. Jangan kerana team Fazura tidak berani berkata jujur – bahawa dia tidak dikurniakan bakat dalam bidang nyanyian, boleh menjejaskan reputasi dan kredibiliti beliau sendiri.
- Ketika Opick tampil di atas pentas, banyak penonton telah beransur pulang. Konsert yang berjalan terlalu panjang, membuatkan sebahagian mereka tidak sanggup menunggu lama. Penganjur seharusnya perlu lebih berhati-hati dalam menyusun acara, dan memilih artis yang benar-benar tepat untuk tampil pada konsert akan datang.