Ini merupakan bahagian kedua temubual yang diselenggara oleh Muhammad Nazreen (Bukuku Press) bersama Zahid Ahmad.
Bahagian pertama: Temubual Eksklusif Bersama Zahid Ahmad – Ulang Tahun Ke-30 ‘Hijau’
SOALAN : Roslan Aziz adalah tulang belakang utama kejayaan album Hijau. Ada
sesetengah pihak pada awalnya menganggap ini semua kerja gila Roslan yang tak berani dibuat orang dan luar daripada kebiasaan syarikat rakaman di Malaysia pada tahun 90an. Mungkin saudara boleh ceritakan serba sedikit mengenai latar belakang budaya rakaman dan industri muzik pada ketika itu dan apa yang anda semua cuba untuk lakukan untuk mengubah lanskap muzik
di tanahair menerusi Hijau?
ZAHID AHMAD : Syarikat rakaman memang tak berapa sukakan Roslan Aziz. Bagi mereka bekerja dengan Roslan Aziz sangat sukar dan ambil masa yang lama untuk siapkan album. Tetapi sebenarnya mereka semua mahu ‘play safe’ untuk jaga kos dan tak mahu melabur kos yang banyak untuk pembikinan album. Disebabkan kami selalu terlepas ‘dateline’ yang agak ketat ditetapkan oleh syarikat rakaman, Roslan akhirnya ambil keputusan untuk tubuhkan Roslan Aziz Production (RAP) dan hasilkan album ini sendiri. Seperti yang aku katakan lebih awal tadi, kami nak buat album yang kita suka nak main dan dapat ketengahkan ilmu dan bakat kami sebagai pemuzik. Cara fikir syarikat rakaman pula berbeza. Mereka lihat apa yang boleh dan tak boleh jual.
Salah satu kelainan yang pihak RAP lakukan dalam album Hijau adalah cara bagaimana lagu-lagu disusun. Cara susunan lagu yang standard oleh syarikat rakaman ketika itu adalah lagu disusun mengikut cara kaset dimainkan. Lagu pertama di side A dan lagu yang terakhir di side B. Untuk piring hitam (LP) lain pula cara susunan lagunya. Tetapi seakan menjadi kebiasaan bahawa cara susunan kaset dipilih kerana sudah menjadi lumrah jualan kaset akan melebihi jualan piring hitam. Untuk album Hijau, kita ikut pendekatan baru dan bukan mengikut cara biasa yang digunakan oleh syarikat rakaman. Lagu-lagu disusun untuk konsert dan show yang akan kami persembahkan. Dimulakan dengan Senang-Senang dan Telaga yang merupakan lagu rancak dan energetik, kemudian diikuti lagu yang sederhana seperti Inayah dan seterusnya. Lama juga kami ambil masa untuk mesyuarat ke satu mesyuarat yang lain untuk putuskan susunan lagi mengikut perjalanan persembahan ataupun show.
SOALAN : Sebagai seorang ‘session’ drummer yang mempunyai reputasi unggul dan sangat dihormati di Malaysia, saudara pernah mengatakan bahawa proses rakaman album Hijau merupakan momen terbaik dan paling memuaskan jiwa saudara sebagai seorang pemuzik.
ZAHID AHMAD : Ceritanya bermula begini. Aku ingat sekitar tahun 1987-88 Roslan datang bertemu aku di All That Jazz, (ATJ), Petaling Jaya dan memberitahu aku rancangan beliau untuk buka satu production baru. Waktu itu aku masih bekerja dengan Michael Veerapen di ATJ. Waktu itu aku seorang sahaja pemuzik yang berpengalaman dan faham dengan kehendak Roslan Aziz. Disebabkan aku bermain dengan Michael Veerapen, aku ada ‘autoriti’ dan berpengalaman untuk mencorakkan muzik yang dimahukan oleh Roslan. Aku beri dia beberapa syarat jika Roslan mahu aku terlibat dengan rancangan dia. Salah satu syarat yang aku tetapkan adalah, aku berhak untuk pilih siapa yang aku mahukan. Dan mestilah aku yang ada ‘card’ untuk pilih mereka dan Roslan kena ikut. Sebab masa aku bermain dengan Michael, aku dah jam dengan ramai pemuzik tempatan dan aku tahu kebanyakan musician waktu itu tak ada ilmu yang cukup. Mereka cuma tahu main muzik tetapi tak tahu macam mana nak berbicara atau mempunyai perspektif sendiri dalam proses ‘musicmaking’. Tak ramai pemuzik yang tahu bagaimana hendak ‘communicate’ dengan lagu tersebut.
Aku berpendapat bahawa ritma dan muzik awalnya dicipta sebagai medium komunikasi. Ruang untuk manusia berbicara dan disitulah lahirnya apa yang kita kenal hari ini sebagai irama dan lagu. Aku diberi kepercayaan penuh untuk mengubah lagu-lagu yang kami rakamkan sebab aku ada pengalaman dan bermain dengan Michael Veerapan. Bukan senang nak bekerjasama dengan Michael Veerapan. Aku yang paling senior dalam pengalaman bermain dan mengubah rentak, Roslan memberi aku kepercayaan sepenuhnya. Kalau aku kata sedap atau boleh pakai, maka Roslan akan dengar dan gunakan. Walaupun banyak pertengkaran dan perbalahan yang berlaku, akhirnya kami akan dapat selesaikan masalah itu.
Mac Chew baru balik dari Berklee College of Music. Dia masih ‘fresh’ dan belum ada pengalaman untuk terlibat dalam industri rakaman. Kebiasaannya dia akan dengar cakap aku dan Roslan sebab kami lebih senior. Kami juga ada mencuba beberapa keyboardist yang lain seperti Mei Sian, Susan Goh dan angkatan pemuzik muda yang baru pulang daripada menuntut di Berklee. Kemudian, kami lebih selesa dengan Jenny Chin dan kekal menggunakan khidmat Jenny sehingga album tamat. Ada sebab kenapa aku dan Roslan tertarik dengan Jenny Chin. Sebab utamanya adalah dia pandai buat music scoring untuk filem dan kami suka voicing Jenny. Keputusan seterusnya adalah untuk gunakan Jenny sebagai second keyboard selepas Mac.
Mustapa Ramly (gitaris) pula memang unik. Dia tahu mainkan lagu tetapi dia tak
tahu apa yang dia sedang mainkan. Pelik kan? Ada sekali aku jam dengan Mus, dia ada mainkan satu chord yang sedap aku dengar. Jadi aku berhenti dan tanyakan dia,
“Mus, chord apa yang kau mainkan?”
“Tak tahu..Hahaha.”
Dia ketawa. Pernah sekali waktu kami ada persembahan di Jepun, Mus tak ingat
di mana dia letak strap gitar dan seperti kebiasaan sebelum persembahan bermula kami akan bersalaman dan berpelukan. Kemudian Mus pergi ke ruang dia untuk bersiap. Tak lama lepas itu dengan panik dia tanya aku kalau ada ternampak strap gitar. Ya. Tinggal 1 minit sahaja sebelum show bermula. Nak tak nak dia kena pegang gitar akustik dengan lutut yang meninggi. Dia berdiri dengan kaki macam bangau, sebelah lurus dan sebelah lagi membongkok. Aku gelak-gelak juga tapi rasa kasihan dengan Mus. Kami gunakan khidmat bassist Indonesia, Erwin Gutawa sebagai session dalam album Hijau. Sebenarnya aku dan Roslan sudah lama terbayang cara permainan bass Erwin yang sangat sedap dan sesuai dengan konsep album Zainal. Voicing/ harmony Erwin memang teramat sedap sekaligus kena dengan rancangan kami untuk Zainal. Seawal tahun 1988, kami memang sudah ada rancangan untuk bekerjasama dengan Erwin. Kami kenal Erwin semasa siri konsert jelajah Indonesia Sheila Majid. Kami bermain satu stage dengan band jazz, Karimata dalam satu persembahan di Anchol, Jakarta. Erwin bermain bass untuk kumpulan ini ketika itu.
Cuma apa yang aku cuba sampaikan adalah barisan pemuzik yang dipilih adalah crème de la crème. The best among the best. Mereka bukan sekadar mempunyai
kemahiran yang sangat baik tetapi komitmen dan kreativiti yang ditunjukkan itu juga luar biasa. Kami semua memang betul-betul puas dengan hasilnya walaupun ia ambil masa, tenaga dan kos yang sangat besar. Segala pertaruhan aku dengan Roslan berbaloi.
SOALAN : Nama Mukhlis Nor sering disebut-sebut sebagai penyumbang utama kejayaan pembikinan album Hijau. Sebahagian besar lagu di dalam album Hijau dicipta oleh Mukhlis dan liriknya ditulis sendiri oleh beliau. Boleh saudara cerita sedikit mengenai Mukhlis Nor dan sejauh mana penglibatan beliau dalam album ini?
ZAHID AHMAD : Aku kenal Mukhlis semasa aku ‘session’ satu lagu dalam album solo beliau, Nuri. Lagu yang aku mainkan itu bertajuk lagu Sesudah Hujan. Lagu ini memang dah dikira moden untuk telinga dan rasa naluri aku. Sampai ke hari ini aku masih suka lagu itu. Setelah berkenalan dengan Mukhlis, Roslan dan aku jadi kawan rapat kepada Mukhlis Nor. Kita juga selalu datang ke rumah Mukhlis untuk melepak dan ikut ‘clubbing’ sesekali bila di balik KL kerana waktu itu dia masih belajar di Amerika.
Kita selalu habiskan waktu dengan mendengar lagu-lagu koleksi LP yang Mukhlis
bawa balik daripada Amerika. Kadang-kadang Mukhlis akan memperdengarkan lagu-lagu ciptaan beliau yang dia dah siapkan kepada aku dan Roslan. Masa itu dia tidak berapa yakin sangat untuk memberi dengar lagu-lagu yang dia cipta. Aku masih ingat lagi kami bertiga duduk bersama di ruang loteng rumahnya dan Mukhlis perdengarkan lagu-lagu yang telah dia ciptakan termasuk lagu Hijau. Hijau sebenarnya sudah diciptakan Mukhlis lama dahulu sebelum pembikinan album Hijau. Lagu Hijau dicipta semasa Mukhlis masih lagi di Amerika. Masa itu dia tak tahu nak perdengarkan kepada siapa.
Sebahagian besar perjalanan album Hijau telahpun ditulis Mukhlis di Amerika. Bila dia pulang ke Malaysia waktu cuti semester, Mukhlis akan ‘join’ sesi rakaman dan selebihnya aku dan Roslan yang uruskan. Sebenarnya dia pun tidak menghabiskan banyak masa di studio. Cuma gubahan lagu-lagu yang dia bagi sudah cukup untuk memberikan konsep baru untuk kami menterjemahkannya. Kejayaan Hijau juga sinonim dengan vokal Datuk Zainal Abidin yang unik dengan karakternya yang tersendiri.
SOALAN : Sebagai seorang musician yang pernah bekerjasama dengan beliau, apa pandangan saudara mengenai Datuk Zainal Abidin?
ZAHID AHMAD : Salah satu perbincangan utama di antara aku dan Roslan ketika itu adalah bagaimana hendak cari penyanyi lelaki yang ada tarikan menarik. Kebanyakan penyanyi lelaki di Malaya ketika itu tak ada yang menepati citarasa kami. Kami ingin lakukan sesuatu yang baru dan luar daripada kebiasaan.
Masa pertengahan 80an, Roslan telah bekerjasama dengan band Headwind sebagai ‘sound engineer’ untuk Headwind semasa mereka bermain di kelab Rainbow, Plaza Yow Chuan. Headwind merupakan band kelab yang amat popular dan show mereka sering menjadi rebutan kelab-kelab di sekitar Kuala Lumpur.
Roslan dapati penyanyi Headwind ketika itu, Zainal Abidin memang artis yang bagus dan amat licik. Roslan buat keputusan untuk mencuba sesuatu yang baharu bersesuaian dengan karakter vokal Zainal. Dari situlah Roslan mendapat idea untuk mengambil Zainal sebagai artis kedua Roslan Aziz Production setelah Sheila Majid.
Aku ingat aku ada cakap dengan Roslan masa dia cakap dia nak ambik Zainal, aku cuma ingatkan dia (walaupun kami berdua tahu) yang Zainal masa dia nyanyi lagu Melayu dia akan jadi sengau, tapi bila nyanyi lagu Inggeris nyanyian dia tak sesengau sangat bila dia nyanyi lagu-lagu dari album Headwind. So Roslan kata,
“Don’t worry, kita cari the right key untuk dia sampai dapat.”
SOALAN : Sempena ulangtahun ke-30 pembikinan album Hijau, mungkin saudara boleh berkongsi kenangan yang paling tidak boleh dilupakan ketika saudara terlibat di dalam pembikinan album ini?
ZAHID AHMAD : Album Hijau adalah album yang sangat bermakna buat aku kerana aku terlibat sejak awal pembikinannya, dari mula nak rekod asas dram sampai ke proses ‘mixing’, aku bersama Roslan setiap masa, siang dan malam. Rekod perkusi, table, santur, sitar sampailah ke masa kami rekod vokal, aku ada di sebelah Roslan.
Aku ingat lagi aku pergi ke Pasar Keramat untuk cari tempurung kelapa untuk digunakan dalam rakaman lagu Manis. Aku duduk dengan percussionist Nizam Hassan yang berasal dari Kelantan untuk belajar dan cari loghat Kelantan yang sesuai untuk chorus lagu Hijau. Maka lahirlah verse “Ooo anok-anok, dok leh menghaso..”
Aku juga duduk dengan Mustapha Ramly (gitaris) untuk rakam dan bincangkan bahagian solo untuk lagu Senang-Senang dan kami ambil keputusan untuk ikut ‘structure’ solo gitar Van Halen di dalam lagu Beat It, Michael Jackson. Aku juga buat backing vocal dengan Roslan dan Mukhlis untuk lagu-lagu dalam album Hijau. Aku berikan komitmen 110 peratus di dalam pembikinan album ini dan itulah yang menjadikan Hijau sangat istimewa bagi diri aku.
SOALAN : Soalan terakhir. Apa pandangan saudara mengenai pemuzik dan artis zaman sekarang dan bagaimana mereka boleh belajar daripada pengalaman kejayaan album Hijau?
ZAHID AHMAD : Pemuzik sekarang tidak banyak berinteraksi sesama pemuzik. Tak seperti dulu, kami sering berkumpul dan bergaul. Kedua, kita harus letakkan kepuasan muzik dahulu sebelum fikir tentang keuntungan atau orang suka atau tidak. Aku percaya jika kita hasilkan sesuatu yang bagus, kita akan dapat balasan yang setimpal dengan usaha yang kita lakukan.
Masa kami buat Hijau, aku tak pernah tanya Roslan pasal berapa dia akan bayar aku, aku cuma seronok dapat bekerjasama dengan beliau dan ada sesuatu yang kami dapat lakukan untuk cuba mengubah masa hadapan muzik kami sendiri dan kami tak tahu pun jika orang lain suka apa yang kami suka. Tapi album Hijau mendapat perhatian ramai bila Roslan membuat pendekatan dengan membuat ‘Club Crawl’ dan persembahan di tempat-tempat awam. Lepas aktiviti ‘Club Crawl’ dilakukan, kemudian jualan album terus meningkat.
Kemudian Roslan bekerjasama dengan jenama seluar Jeans ‘Levi’s’ untuk buat video promo untuk Levi’s. Lepas itu juga jualan album Hijau meletop. Kalau Roslan tak buat ‘Club Crawl’ tu aku rasa mungkin susah atau lambat jugak album itu nak dijual.
Usaha dan cara fikir Roslan di luar kota adalah intipati utama kejayaan Hijau dan aku harap lebih ramai produser, komposer ataupun pemuzik yang sanggup dan berani ambil risiko untuk buat sesuatu yang baru. Aku amat bangga dapat bekerjasama dengan beliau dalam membuka dan mengorak langkah ke hadapan
untuk memajukan industri muzik di Malaysia.
Naskhah autobiografi Zahid Ahmad berjudul Tuk Tak : Cerita Zahid Ahmad tentang Muzik Malaysia, Drum dan Proses Bikin Lagu sedang dalam proses suntingan akhir. Buku ini dijangka akan beredar di pasaran pada penghujung Ogos 2021. Naskhah ini merupakan terbitan sulung Bukuku Press Publishing. Pra-pesan akan dibuka tidak lama lagi.
Untuk membaca lebih banyak petikan-petikan sebegini, ikuti: