33 tahun berpencak di industri seni, siapa sangka Siti Roziana Zain atau lebih dikenali sebagai Ziana Zain mampu mempertahankan kegemilangan beliau seperti zaman awal kemunculannya dahulu. Ziana Zain Konsert 2024 menjadi saksi bahawa setia peminat pada bintang yang satu ini tidak pernah terhenti, tidak kira dari zaman anak dara sehingga hampir mencecah usia 60 tahun, peminatnya sentiasa ada.
Konsert pada malam Sabtu 25 Mei lalu di Mega Star Arena berjaya menghimbukan lebih 5,000 peminat yang datang bukan hanya dari Malaysia, bahkan ada yang terbang dari Singapura, Brunei, Indonesia, Australia dan juga Sudan, semata-mata untuk menyaksikan kehebatan beliau. Tepat jam 9.05 malam, pemuzik di atas panggung mula memainkan magika mereka, menandakan konsert bakal bermula. Sorakan kuat peminat bergema saat sosok Ziana tampil di pentas, menaikkan bulu roma penulis. Gila! Macam mana penyanyi yang satu ini mampu menambat dan mengikat hati penonton lebih dari tiga dekad.
Ada Suara Ada Cinta didendangkan sebagai hadiah pertama buat penonton. Sayang sekali, ketika momentum sedang memuncak, Ziana terpaksa bergelut dengan masalah teknikal apabila ear monitornya tidak berfungsi. Dia memberi isyarat yang obvious buat kru di belakang pentas bahawa ear monitornya tidak kedengaran, tapi hingga habis lagu, masalah itu tidak juga selesai. Walaupun kita sebagai penonton faham bahawa masalah teknikal pada acara besar kadang-kala akan terjadi, tapi itulah, sedikit sebanyak mengganggu kosentrasi bintang besar itu untuk fokus dengan penonton. Lebih malang, pada lagu kedua, masalah sama masih terjadi, hingga memaksa kru tampil di pentas untuk cuba re-set alat tersebut. Tapi hingga lagu selesai, Ziana masih bergelut.
Tamat saja lagu kedua, pentas digelapkan sebentar bagi memberi ruang kru tampil membantu beliau. Sempat Ziana bergurau, zaman dia dahulu, tiada alat seperti ear monitor. Semua perlu peka dengan suara sendiri. Struggle Ziana asyik mengusik telinganya sampai tudungnya senget dan nampak anak rambut!
Tidak mahu membiarkan masalah sekecil itu menganggu mood penonton, Ziana pantas menaikkan gear persembahannya pada malam itu. Sangkar Cinta, Tiada Kepastian dan Kasih Ku Pertahankan dipersembahkan dengan penuh jiwa. Penonton semua yang membesar dan dewasa bersama lagu-lagu Ziana ternyata tidak melepaskan peluang dan rindu untuk bernyanyi bersama di bawah pentas. Iyalah, ketika lagu itu popular, rata-rata mereka masih lagi bujang, sekarang semuanya telah dewasa dan berkeluarga.
Genap menginjak usia 56 tahun pada 2 Mei lalu, Ziana berkongsi bahawa kegusaran utama beliau untuk menerima tawaran menjayakan konsert berskala besar ini adalah tenaga dia bukannya seperti dulu. Energinya pasti tidak sama seperti zaman anak dara, apatah lagi kesemua lagunya diciptakan dengan notasi-notasi yang tinggi, sesuai dengan kemampuan Ziana pada prime era beliau yang lalu. Tapi, Anuar Zain yang tidak putus-putus memberikan semangat buat anak sulung Pak Zain ini untuk menyahut cabaran.
“Do the best you can at your age” – itu mantera yang Ziana sematkan ketika beliau bersetuju untuk menerima tawaran tersebut. Tidak hairanlah, hampir kesemua lagu yang dipersembahkan pada malam itu, key lagu diturunkan dari key asal. Mungkin bagi peminat yang sentiasa terbayang kegemilangan Ziana menyanyikan lagu bernada tinggi, pasti rasa sedikit hampa. Tapi untuk berlaku adil, semua perlu sedar bahawa seiring peningkatan usia, kemampuan dan tenaga manusia juga pasti menurun. Yang pasti, Ziana tidak kalah dalam persembahan emosi dan penjiwaan. Semua lagu dia persembahkan dengan rasa yang cukup memukau seluruh dewan sudah pastinya!
Antara perkara yang penulis puji dalam penganjuran konsert ini ialah persembahan grafik pada skrin LED, lighting effect dan juga laser yang membantu menaikkan mood sepanjang tiga jam konsert berlangsung. Tiada paparan grafik bukan-bukan dan murahan, malah dipaparkan juga klip-klip filem lakonan Ziana bagi mengembalikan momen ketika lagu tersebut diterbitkan. Penulis puji ketelitian barisan tenaga kerja dalam konsert ini, yang mana tiada perkara yang dihasilkan cincai atau tangkap muat. Manakala permainan lighting pada malam itu sangat cemerlang. Ketika lagu sedih dimainkan, dewan digelapkan dengan cahaya minimal, manakala ketika lagu rancak, pentas bertukar meriah dengan limpahan cahaya laser bagi menaikkan roh persembahan.
Menjanjikan persembahan yang tidak boleh dilupakan peminat, seperti pepatah, lagu dan irama tiada pernah berpisah, Ziana membuat pilihan bijak dalam memilih Aubrey Suwito selaku kapten dalam pasukan pemuziknya. Genius Aubrey merencana dan mengolah semula sususan muzik bagi memastikan rendition konsert jauh lebih mega dari rakaman, tidak pernah gagal. Aubrey bijak mengolah sususan muzik, bagi memastikan bisa seorang Ziana Zain tidak pudar. Walaupun menampilkan key yang rendah dari asal, dengan arrangement muzik Aubrey, semuanya kedengaran gah dan hebat. Pilihan personal penulis ialah gubahan lagu Sangkar Cinta dan Madah Berhelah. Intro Sangkar Cinta cukup menggoda dan sounds modern! Dan Madah Berhelah malam itu ditampilkan denga cukup mega, membuatkan penonton teruja untuk bernyanyi bersama-sama.
Malam itu pastinya malam yang indah buat Ziana Folks (fans club Ziana Zain). Antara barisan lagu malar segar yang dipersembahkan pada malam tersebut ialah Tiada Kepastian, Kasih Ku Pertahankan, Anggapan Mu, Senja Nan Merah, Lara, dan Bersama Akhirnya. Turut dipersembahkan Kekal, Puncak Kasih, Setiaku Di Sini, Terkenang Jua, Fatalistik, Kemelut Di Muara Kasih, Berpisah Jua, Bukan, Dingin, dan Madah Berhelah.
Antara rakan-rakan artis yang hadir memberikan sokongan buat Ziana pada malam tersebut antaranya ialah the one and only Inspektor Maria – Erra Fazira, Hael Husaini, Misha Omar, Ernie Zakri, Syamel, Liza Hanim, Rozita Che Wan, Fara Fauzana, dan sudah semestinya, Anuar Zain.
Perkara menarik sewaktu Ziana Zain Konsert 2024
- Ziana Zain menampilkan sisi lain yang mungkin tidak ramai tahu, bahawa dia cukup pandai berseloroh. Konsert tiga jam tidak terasa lama, walaupun hanya 20 lagu dipersembahkan, Ziana banyak berceloteh dan mengusik penonton. Ternyata, pengalaman menjadi penghibur lebih 30 tahun memberi kelebihan buat dirinya.
- Senja Nan Merah dipersembahkan tanpa Datuk Awie di atas pentas. Bagi melengkapi persembahan, Ziana meminta penonton seluruh dewan itu menyanyikan part Datuk Awie. Penonton cukup sporting dan menyanyi beramai-ramai, menjadikan satu dewan bergema dengan Senja Nan Merah!
- Filem pertama beliau merupakan filem Sembilu. Ziana ceritakan, dia mendapat panggilan dari Datuk Aziz Bakar (Pengarah Artis & Repertoire BMG Music). Ketika itu, beliau berada di Brunei sedang menjayakan persembahan. Datuk Aziz bilang, Yusuf Haslam berhasrat untuk tawarkan Ziana membintangi filem terbitan Skop Production. Walaupun Ziana takut kerana dia hanya pandai menyanyi, tapi atas galakan Aziz Bakar, dia sahut cabaran tersebut. Hasilnya, filem Sembilu meletup dan mendapat kutipan sebanyak RM4.4 juta! Jumlah yang sangat besar untuk industri perfileman tempatan pada tahun 1994.
- Konsert pada malam itu bukan hanya menampilkan sisi kebahagiaan dan persona bintang Ziana Zain sahaja. Ziana juga turut tampil menceritakan perjalanan hidupnya di sela persembahan. Dia juga seperti manusia biasa, tidak terlepas daripada diuji. Siapa sangka, mahligai yang dibina bersama disangka kekal sehingga hujung usia, namun runtuh di pertengahan jalan. Tidak memilih untuk menyalahkan sesiapa, Ziana menampilkan sisi kuatnya sebagai seorang wanita dan ibu. Mengalah pada takdir bukan pilihan dirinya, apatah lagi dia perlu selalu kuat buat anak-anak yang sedang membesar.
- Tidak henti-henti Ziana menyatakan, berjayanya seorang Ziana Zain pada hari ini adalah berkat doa dan sokonga ibu dan bapanya. Tanpa doa dan sokongan keluarga, Ziana bilang, tidak mungkin dia boleh berdiri di atas pentas di hadapn semua peminatnya. Tidak lekang di mulutnya juga bahawa dia cukup bersyukur dikurniakan ibu dan bapa yang masih melindungi anaknya walaupun dia sendiri sudah berusia 56 tahun. Ziana sempat berpesan pada kesemua fans, dalam apa-apa yang dilakukan dalam kehidupan, meletakan ibu dan bapa pada keutamaan nombor satu adalah mustahak.
- Pak Zain tidak dapat datang menyaksikan konsert Ziana pada malam itu, atas faktor usia. Sempat Anuar Zain membuat panggilan video kepada ayah mereka, bagi memastikan Pak Zain dapat melihat persembahan Ziana di atas panggung. Ini antara momen paling cantik dan indah pada penulis pada malam itu. Sisi manja beliau terkeluar secara natural bila bercakap dengan bapanya.
- Ziana tanya kepada audience, cantik atau tidak mikrofon baru yang dia beli. Dia ceritakan, mikrofon itu dibeli atas hasutan Hael Husaini. Bermula dengan Hael menyuruh Ziana mencuba mikrofon miliknya, akhirnya Hael terus menghasut Ziana untuk membeli kerana bunyi yang dihasilkan sangat sedap.
- Ziana menutup konsert malam 25 Mei lalu dengan satu lagi berita gembira, bahawa dia akan mengadakan konsert solo di kota Singapura pada 28 September akan datang. Berita ini menerima sorakan dari peminat dari negara Temasek, yang sanggup terbang ke Kuala Lumpur pada malam tersebut.