Di tengah gelora muzik tempatan, lahir satu suara baharu dengan gaya tersendiri. Tarimosi yang menggelarkan diri mereka sebagai Unit Penyelamat Auditori kini tampil dengan album sulung berjudul Audiopamine+. Rilisan ini bukan sekadar album biasa tetapi sebuah pengalaman konseptual yang meletakkan muzik sebagai ubat untuk jiwa.

Naskhah ini memuatkan 11 trek termasuk satu trek akustik bonus yang hanya boleh didapati dalam versi fizikal. Tarimosi mahu peminat benar-benar menghayati karya mereka melalui pengalaman membuka kotak fizikal berbentuk kotak ubat. Kotak ini bukan sekadar USB berisi muzik tetapi turut disertakan helaian lirik, karya seni, kandungan visual serta sentuhan rekaan klinikal yang melengkapkan tema Music Is Medicine. Setiap unit awal juga datang bersama baucar khas Fred Perry dan Nimroc Barbershop menjadikan ia koleksi yang unik serta eksklusif.
Tarimosi terbentuk semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama ketika mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan di rumah. Dari situ timbul idea untuk menubuhkan band baharu lalu lahirlah konsep Auditory Rescue Unit. Inspirasi itu datang apabila mereka melihat sendiri pasukan keselamatan berjuang memberi rawatan kecemasan. Bagi mereka muzik boleh jadi seperti rawatan kecemasan untuk jiwa yang letih. Line-up mereka terdiri daripada Arttech (dram), Jack (gitar), Mal (gitar), Tim (bass) dan Project Phantom sebagai vokalis misteri. Nama Tarimosi sendiri lahir daripada gabungan kata ‘Tarian Emosi’ — satu simbolik pada alunan perasaan yang diterjemahkan menjadi muzik. Apabila diterjemahkan dalam bentuk album, ia hadir sebagai satu tarian penuh turun naik, kadang berat kadang perlahan, kadang garang kadang lembut.

Keberanian mereka jelas apabila terus muncul dengan album penuh walaupun kebanyakan band tempatan memilih untuk bermula dengan EP. Bagi Tarimosi, mereka mahu lari daripada kebiasaan. Album ini dipenuhi pengaruh besar seperti Saosin, Funeral For A Friend, Underoath, Deftones hingga shoegaze tetapi bukan sekadar pengulangan. Sebaliknya ia menjadi campuran yang membentuk identiti tersendiri. Menurut Arttech ketika ditemuramah:
“Kami tak mahu album ini jadi sekadar playlist, kami mahu orang duduk, buka kotak dan benar-benar menghayati – macam ambil ubat untuk jiwa.”
Perjalanan ke arah rilisan album ini bukan tanpa cabaran. Vokalis asal Ayin meninggalkan band selepas sesi rakaman terakhir menyebabkan bahagian vokal seluruh album perlu direkod semula. Dari situ lahirlah Project Phantom, vokalis misteri yang boleh bertukar-tukar dan kekal tanpa wajah. Anggota band tidak menolak bahawa misteri ini sebahagiannya disengajakan. Mereka mahu biar orang berspekulasi kerana Phantom boleh jadi sesiapa sahaja.
“Project Phantom lahir kerana terpaksa, tapi kami biar orang berspekulasi. Phantom boleh jadi sesiapa, itu misterinya.”
Kolaborasi turut menjadi warna penting dalam Audiopamine+. Lagu Relapse menampilkan Syarul Reza dari Love Me Butch yang ketika itu berada di Australia. Semuanya bermula daripada keberanian menghantar DM lalu disambut positif. Hasilnya, vokal Syarul memberi nafas segar kepada trek yang penuh intensiti. Lagu Surrender pula menghadirkan Soraya Taib dari The Impatient Sisters. Tarimosi mencari suara dengan nuansa folk songwriter yang berbeza dari jalur pop arus perdana dan Soraya memenuhi ruang itu dengan sempurna.
Pilihan melancarkan versi fizikal terlebih dahulu juga menjadi tanda rebel yang jelas. Tarimosi sedar majoriti peminat kini lebih gemar mendengar lagu di platform streaming tetapi bagi mereka, pengalaman sebenar muzik hanya hadir apabila pendengar duduk membuka kotak, membaca inlay, menekan play dan menikmati perjalanan lagu tanpa skip. Wadah USB dipilih kerana praktikal serta membolehkan mereka memuatkan kandungan tambahan seperti video dan profil band. Setakat ini lebih 80 unit medicine box telah terjual, angka yang dilihat sebagai pencapaian baik untuk sebuah band yang baru debut. Edisi khas Auditory Emergency Kit pula hanya dihasilkan 25 set sahaja menjadikannya rebutan kolektor.
“Kami sedar orang lebih suka streaming, tapi rebel spirit kami kata muzik fizikal mesti dihidupkan semula.”
Namun cabaran besar masih menanti. Tarimosi perlu segera menetapkan vokalis tetap yang bakal menjadi wajah Project Phantom supaya identiti mereka tidak terus tergantung. Lebih penting, mereka harus segera kembali ke pentas kerana momentum yang sedang dibina melalui album ini hanya akan benar-benar bermakna apabila diuji di hadapan penonton.
Dengan hasil adunan dan mastering daripada Sendart yang kemas dan selaras dengan arah muzik mereka, ditambah pula dengan strategi pemasaran yang solid, Tarimosi jelas mempunyai masa depan cerah. Ubat paling mujarab buat mereka sekarang ialah pentas live. Jika terlalu lama ditangguhkan, degupan yang mereka bangunkan menerusi Audiopamine+ mungkin kembali perlahan sebelum sempat meledak sepenuhnya. Menurut Arttech lagi:
Dalam proses produksi, saya jadi co-producer manakala Senndart pegang peranan utama. Kolaborasi ini seronok sebab dia sentiasa ada idea segar terutama pada harmoni vokal dan adlibs. Malah beberapa harmoni dalam album ini sebenarnya dirakam oleh suara Senndart sendiri. Kerjasama saya dengan Senndart terasa sangat organik. Dia bukan sekadar producer tetapi juga penyumbang demi menghidupkan karakter album ini.
Audiopamine+ kini boleh didapati dalam bentuk fizikal bermula 25 Ogos 2025 melalui store.tarimosi.com dan acara pop-up terpilih. Bagi peminat muzik alternatif tempatan, ini mungkin antara rilisan paling segar dan berani tahun ini. Tarimosi sudah pun membuka pintu. Tinggal untuk kita lihat sejauh mana mereka mampu melangkah selepas ini.
Ikuti Tarimosi di:











