Imperial Dyslexia, atau lebih dikenali sebagai IDX, kembali dengan single kedua mereka untuk tahun 2025 yang bertajuk Sirna Holistik menampilkan Kie Joseph dari Measmata.
Sebagai sebuah band metal progresif moden dari Malaysia, mereka tidak asing lagi di persada muzik tempatan. Ditubuhkan pada tahun 2020 di Kuala Lumpur, IDX kini mengambil langkah lebih berani dalam menghantar mesej global melalui karya seni mereka.
Untuk pengetahuan semua, IDX menghadapi cabaran besar dalam mengekalkan barisan vokalis. Tahun 2024 menyaksikan pergolakan ini dengan perubahan vokalis sebanyak tiga kali. Kejayaan akhirnya datang pada Oktober 2024 apabila Radhi Karl menyertai band ini, membawa pengaruh vokalnya yang menyerupai Corey Taylor (Slipknot) dan Alex Terrible (Slaughter To Prevail). Walaupun pergolakan ini menjejaskan momentum band pada mulanya, komitmen Radhi memberi harapan baharu kepada peminat IDX.
Berbalik pada single ini, ‘Sirna Holistik’ adalah kesinambungan daripada visi IDX untuk menyuarakan isu-isu besar yang melanda dunia. Single ini menggabungkan komposisi muzik oleh Shazwan(gitaris) dan lirik mendalam oleh Naz Mikanaz (bassist). Menurut Naz,
Sirna Holistik sebenarnya bukanlah fokus terhadap perang dunia sahaja. Tetapi lebih merujuk kepada punca-punca utama yang membawa kepada kehancuran dunia secara holistik seperti peningkatan aktiviti nuklear, gangguan teknologi seperti kepandaian pembuatan (AI), ancaman bioteknologi, krisis cuaca dunia yang melampau dan perang-perang terkini seperti perang Russia-Ukrain, perang Israel-Hamas dan juga konflik tebing Barat.
Pada aku, IDX berjaya menyampaikan mesej melalui suara mereka yang kecil namun lantang, menegaskan bahawa perang dunia hanya membawa penderitaan dan kehancuran yang tidak berkesudahan.
Aku boleh lihat pada masa ini, banyak kugiran metal memilih untuk mengangkat tema konflik global, namun ‘Sirna Holistik’ tetap tampil dengan identiti tersendiri. Dengan sentuhan synth oleh Fairuz Pacat, lagu ini bukan sahaja sarat dengan emosi, tetapi juga mempunyai nuansa dramatik yang menonjol dari sudut permainan instrumen. Gabungan dual vokal Radhi Karl dan Kie Joseph dari Measmata menambahkan lapisan kedalaman pada trek ini, walaupun ada cabaran dalam proses adunan yang memerlukan keseimbangan sempurna antara vokal dan instrumen.
Dari segi produksi, jika dibandingkan dengan single terdahulu mereka, ada keluhan mengenai kualiti akhir yang terasa sedikit compressed. Walaupun tidak merosakkan pengalaman keseluruhan, ia mungkin satu aspek yang perlu diteliti IDX untuk produksi akan datang. Kualiti yang lebih halus perlu diberi perhatian agar dapat memenuhi jangkaan peminat metal yang semakin menuntut. Aku percaya Senndart boleh buat lebih baik untuk single mereka yang akan datang.
IDX memasang cita-cita besar untuk tahun 2025. Dengan album penuh yang kini dalam peringkat akhir penghasilan, mereka berharap dapat meninggalkan impak lebih besar dalam industri muzik metal Malaysia. Selain itu, penghasilan lebih banyak merchandise dan perancangan untuk bermain di festival-festival utama menunjukkan kesungguhan mereka untuk terus maju.
Imperial Dyslexia adalah bukti bahawa seni muzik metal mampu menjadi platform kritikal untuk menyampaikan mesej penting kepada dunia. ‘Sirna Holistik’ bukan sekadar lagu, tetapi cerminan dunia yang penuh dengan ancaman holistik. Walaupun terdapat kekurangan pada aspek teknikal dan cabaran dalam mengekalkan kestabilan anggota band, semangat dan keazaman mereka tetap menjadi inspirasi.
IDX juga mengingatkan kita semua bahawa muzik bukan hanya hiburan, tetapi juga medium perubahan. Seperti kata mereka, jangan pernah berputus asa dalam perjuangan seni, kerana setiap karya membawa mesej yang dapat membuka minda dunia.
IDX kini berada di persimpangan penting dalam perjalanan mereka. Adakah mereka akan terus melangkah dengan gagah, atau menjadi satu lagi band metal yang hilang dalam lautan persaingan? Masa akan menentukan. Bak kata Patrice Evra, kita tunggu apa yang akan jadi di musim seterusnya.
Ikuti Imperial Dyslexia di: