For You Nourul: Manifestasi Cita dan Cinta Nourul Depp - Music Addicts Malaysia

For You Nourul: Manifestasi Cita dan Cinta Nourul Depp

oleh Khaliq G
0 komen 109 bacaan

 

Nama Nourul pernah berada di puncak kegemilangannya sebagai antara penyanyi wanita paling menonjol dalam industri muzik tempatan suatu ketika dahulu; menjadi antara pasangan duet paling hebat yang pernah kita miliki serta deretan lagu malar segar dari katalog muziknya. Namun takdir bukan hanya merubah perjalanan hidup beliau, namun rencana kerjaya dan juga karier muziknya.

Selepas mendirikan rumah tangga, Nourul mengambil keputusan untuk memberi tumpuan kepada kehidupan keluarga sebelum berhijrah ke Bali bersama suaminya. Keputusan tersebut secara tidak langsung menyaksikan beliau mengurangkan penglibatan dalam dunia seni dan muzik selama hampir 15 tahun.

Sepanjang tempoh itu, ramai yang menganggap perjalanan karier muziknya telah sampai ke penghujung. Malah, tiada petanda jelas bahawa figura yang pernah mencipta nama sebagai penyanyi solo ini akan kembali aktif dalam industri. Tambahan pula, Nourul sebelum ini beberapa kali menegaskan bahawa beliau tidak berminat untuk menyertai program pertandingan realiti seperti Gegar Vaganza, meskipun pernah beberapa kali menerima tawaran daripada pihak produksi.

Hakikatnya, dengan pencapaian dan legasi yang telah dibina sepanjang kerjayanya, Nourul sememangnya tidak perlu membuktikan apa-apa lagi kepada sesiapa. Namun dunia hiburan sentiasa penuh dengan kejutan, dan kemunculan semula beliau pastinya membuka lembaran baharu yang menarik untuk disaksikan.

Namun aturan Tuhan mengatasi segala perancangan manusia. Setelah lebih tiga dekad mewarnai industri muzik, sosok wanita cekal ini akhirnya kembali melangkah ke pentas dengan penuh keberanian menerusi penganjuran konsert solo pertamanya.

Ia bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi manifestasi kepada impian yang telah lama tersimpan. Selepas bertahun-tahun memberi keutamaan kepada kehidupan keluarga, Nourul memilih untuk kembali meraikan cinta terbesarnya, iaitu muzik. Apa yang dahulunya sekadar cita-cita dan angan-angan, kini diterjemahkan menjadi realiti.

Konsert ini menjadi bukti bahawa semangat dan kecintaan terhadap seni tidak pernah padam. Malah, ia turut menandakan satu babak baharu dalam perjalanan seni Nourul, yang terus percaya bahawa impian tidak mempunyai tarikh luput, dan keberanian untuk mengejarnya boleh hadir pada bila-bila masa.

Konsert For You Nourul yang berlangsung cemerlang pada 30 Mei 2026 di Zepp Kuala Lumpur berjaya menghimpunkan lebih 1,000 peminat setia yang hadir untuk menyaksikan detik bersejarah dalam perjalanan seni beliau.

Hakikatnya, bukan mudah untuk merealisasikan sebuah konsert berskala besar, dan Nourul juga tidak terkecuali daripada berdepan pelbagai cabaran sepanjang proses penganjurannya. Bermula dengan penarikan diri penganjur asal, sehingga memaksa beliau mengambil keputusan berani untuk meneruskan projek tersebut secara sendiri menerusi syarikat miliknya, ND Entertainment. Tidak cukup dengan itu, tarikh konsert yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 17 April turut terpaksa dipinda ke 30 Mei bagi memberi laluan kepada musim perayaan Aidilfitri dan Aidiladha.

Namun segala rintangan yang hadir tidak sedikit pun menggugat tekadnya. Sebaliknya, setiap cabaran berjaya ditempuhi dengan penuh ketabahan demi memastikan impian mengadakan konsert solo pertama menjadi kenyataan.

Malam 30 Mei lalu akhirnya menjadi bukti bahawa tiada apa yang mampu menghalang hasrat Nourul untuk kembali berdiri megah di pentas sendiri. Lebih daripada sekadar sebuah konsert, For You Nourul menjadi pernyataan jelas bahawa penyanyi ini masih memiliki aura, kekuatan dan karisma yang pernah menjadikannya antara nama penting dalam industri muzik tempatan. Jika ada yang masih tertanya-tanya sama ada Nourul masih berbisa, malam itu telah memberikan jawapannya dengan cukup jelas.

Tiga puluh dua tahun mengabdikan diri kepada dunia seni bukanlah satu tempoh yang singkat. Jika usia itu disandarkan kepada seorang manusia, sudah tentu ia sudah cukup dewasa, matang dan sarat dengan pengalaman hidup. Begitulah juga perjalanan seni Nourul yang telah melalui pelbagai fasa, cabaran dan perubahan sepanjang lebih tiga dekad berada dalam industri.

Kematangan itu diterjemahkan dengan jelas sepanjang persembahan For You Nourul. Beliau bukan sekadar hadir sebagai seorang penyanyi yang menyampaikan lagu demi lagu, sebaliknya tampil sebagai seorang pengkarya yang mengajak penonton menyelami perjalanan hidup dan kerjayanya. Setiap segmen dirangka dengan teliti, membawa audiens mengembara melalui pelbagai emosi, daripada nostalgia dan kegembiraan sehingga kepada momen-momen yang lebih peribadi dan menyentuh perasaan.

Apa yang menjadikan konsert ini lebih istimewa adalah keberanian Nourul untuk merealisasikan pelbagai idea kreatif yang selama ini hanya tersimpan sebagai impian. Ada antaranya merupakan konsep dan gagasan yang tidak pernah berpeluang dipersembahkan sepanjang kariernya sebelum ini. Pada malam tersebut, satu demi satu idea itu diterjemahkan di atas pentas, mencipta pengalaman yang segar dan mengujakan buat para penonton.

Hasilnya, For You Nourul bukan sekadar sebuah konsert ulang kenang, tetapi sebuah karya yang meraikan perjalanan seni, keberanian dan kebebasan kreatif seorang penyanyi yang akhirnya diberikan ruang untuk mempersembahkan visinya tanpa batas.

Pentas dibuka dengan sebuah pembukaan yang cukup gah dan mengagumkan. Sebelum kemunculan Nourul di pentas utama, penonton terlebih dahulu disajikan dengan medley lagu-lagu popularnya yang dipersembahkan oleh kumpulan koir di bawah bimbingan guru vokal tersohor, Cikgu Siti Hajar. Persembahan itu menjadi petunjuk awal bahawa For You Nourul bukan sekadar sebuah konsert nostalgia biasa.

Lagu-lagu seperti Tika Cinta, Keliru, Cinta Azali, Kerana Terluka, Aku Cinta Aku Rindu dan Impianku diberikan nafas baharu menerusi susunan muzik yang disesuaikan dengan format koir. Hasilnya cukup mengujakan dan berjaya membangkitkan keterujaan penonton sejak minit pertama persembahan.

Dan seolah-olah menyimpan begitu banyak idea kreatif yang tidak sempat direalisasikan ketika berada di kemuncak populariti dahulu, For You Nourul menjadi ruang untuk beliau menterjemahkan segala impian tersebut. Tika Cinta dipilih sebagai lagu pembukaan rasmi, dipersembahkan dengan penuh tenaga, keyakinan dan sikap yang memukau. Nourul bukan sahaja menyanyi, malah turut menari bersama kumpulan penari dalam sebuah persembahan yang mengingatkan penonton kepada produksi teater muzikal bertaraf antarabangsa.

Malam itu, beliau seakan-akan mengingatkan para peminat bahawa dirinya bukan sekadar penyanyi lagu pop rancak yang pernah mendominasi carta suatu ketika dahulu. Nourul turut membuktikan kekuatan vokalnya menerusi segmen penghormatan kepada barisan penyanyi wanita yang menjadi inspirasi perjalanan seninya.

Janji Manismu nyanyian asal Aishah, Kau Kunci Cintaku oleh Ramlah Ram, balada ikonik Madah Berhelah milik Ziana Zain serta Sembilu nyanyian Ella dipersembahkan dengan penuh penghayatan dan keupayaan vokal yang mengagumkan. Setiap lagu disampaikan dengan cemerlang, sekali gus mengingatkan penonton bahawa Nourul sememangnya berada dalam kelompok vokalis wanita terbaik yang pernah dimiliki industri muzik tempatan.

Keterikatan penonton dengan karya-karyanya jelas terserlah ketika beliau menyampaikan Cinta Azali. Seluruh dewan bertukar menjadi ruang karaoke terbesar apabila hampir semua yang hadir menyanyikan lagu tersebut bersama-sama. Sorakan yang bergema selepas setiap nota tinggi yang berjaya dilunaskan dengan sempurna menjadi bukti betapa lagu itu masih mempunyai tempat yang istimewa dalam hati peminat.

Perkahwinan bersama Eric Daniel Depp membuka lembaran baharu dalam kehidupan Nourul. Demi keluarga, beliau memilih untuk memperlahankan kerjaya seni dan berpindah ke Bali. Namun istimewanya malam itu, ramai sahabatnya dari pelbagai negara sanggup terbang ke Kuala Lumpur bagi memberikan sokongan.

Penulis sendiri berpeluang duduk berdekatan beberapa rakan beliau yang hadir dari Hungary, United Kingdom dan Perancis. Walaupun tidak memahami bahasa Melayu, mereka tetap menikmati setiap persembahan yang disajikan. Ia menjadi bukti bahawa muzik sememangnya bahasa universal yang mampu menyatukan manusia tanpa mengira latar budaya dan bahasa.

Segmen antarabangsa turut menjadi antara tarikan apabila Nourul mempersembahkan That’s The Way It Is yang dipopularkan oleh Celine Dion serta lagu berbahasa Perancis yang pernah dirakamkannya, Aujourd’hui. Kedua-dua lagu tersebut memberikan dimensi berbeza kepada persembahan malam itu.

Konsert turut diserikan dengan kemunculan artis jemputan pertama yang cukup istimewa, iaitu anak beliau sendiri, Zachary Raphael. Remaja yang sebelum ini mencuri perhatian ketika sidang media konsert menerusi persembahan spontan Joget Kenangan Manis sekali lagi menghiburkan penonton dengan aksi bertenaga dan penuh karisma. Melihat keyakinannya di atas pentas, tidak mustahil Zachary memiliki potensi untuk mengikuti jejak langkah ibunya dalam dunia hiburan.

Selain itu, Nourul turut mengundang Mimifly, antara penghibur paling bertenaga dalam industri hari ini. Kemunculan Mimifly menerusi Temberang berjaya membakar suasana sebelum kedua-duanya meneruskan persembahan menerusi lagu-lagu seperti Persamaan, Maafkanku dan Keliru. Menariknya, Keliru yang pernah menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-17 diberikan susunan baharu yang lebih segar dan moden tanpa mengorbankan identiti asal lagu tersebut.

Sepanjang 32 tahun dalam industri, Nourul bukan sahaja mengumpul pencapaian seni, tetapi juga membina persahabatan yang erat dalam kalangan penggiat seni tanah air. Justeru tidak menghairankan apabila ramai figura besar hadir memberikan sokongan kepada konsert sulungnya.

Antara yang kelihatan hadir ialah Ziana Zain, Fauziah Latiff, Salamiah Hassan, Ning Baizura, Sharifah Syahirah, Azzah Aziz, Dee serta tokoh industri muzik, Datuk Aziz Bakar. Menariknya, Datuk Aziz merupakan individu yang bertanggungjawab memperkenalkan Nourul kepada dunia rakaman apabila menandatanganinya sebagai artis BMG Music suatu ketika dahulu.

Antara momen paling istimewa malam itu ialah apabila Nourul turun dari pentas dan menyampaikan Selagi Ada Cinta secara spontan bersama Ning Baizura. Ramai mungkin tidak mengetahui bahawa lirik lagu yang pernah memenangi kategori Lagu Terbaik di AIM 24 itu ditulis sendiri oleh Nourul. Persembahan kedua-dua penyanyi hebat ini benar-benar memukau apabila masing-masing saling melengkapi dan memberi ruang untuk menyerlah tanpa cuba mengatasi satu sama lain.

Tanpa disedari, hampir dua jam berlalu begitu pantas. Tiada ruang untuk penonton berasa bosan kerana setiap segmen dirancang dengan teliti dan penuh variasi. Ada ketikanya konsert ini mengingatkan penulis kepada persembahan Anugerah Juara Lagu apabila beberapa lagu dipersembahkan bersama koir dan elemen teater muzikal yang sarat dengan emosi dan dramatik.

Dan sudah tentu, For You Nourul tidak akan lengkap tanpa lagu yang begitu sinonim dengan dirinya, Kerana Terluka. Lagu yang sering dianggap antara balada paling mencabar untuk dinyanyikan itu menjadi penutup sempurna buat malam bersejarah tersebut.

Apa yang lebih mengagumkan, Nourul menyampaikan lagu itu dalam nada asal selepas hampir dua jam berada di atas pentas dan membawakan 19 buah lagu. Ia menjadi bukti paling jelas bahawa kemampuan vokalnya masih kekal ampuh dan mengagumkan.

Pada usia 49 tahun, Nourul membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang untuk merealisasikan impian. Menurutnya, kehadiran para penonton pada malam tersebut merupakan sebahagian daripada impian yang akhirnya menjadi kenyataan selepas 32 tahun bergelar anak seni. Malah beliau menegaskan bahawa konsert itu bukanlah sebuah kemunculan semula, sebaliknya satu langkah ke hadapan selepas 15 tahun memberi fokus kepada keluarga.

Malam itu bukan sahaja menjadi detik bersejarah buat Nourul Depp, tetapi juga buat para peminat dan industri muzik tempatan. Beliau membuktikan bahawa keazaman, kerja keras dan kesungguhan masih menjadi aset terpenting dalam memastikan kelangsungan seorang penggiat seni.

Apa yang berdiri di hadapan kami malam itu bukanlah Nourul yang sama seperti 15 tahun lalu. Beliau hadir dengan perspektif yang lebih matang, jiwa yang lebih tenang dan keyakinan yang lebih utuh. Dan jika ada satu perkara yang dapat disimpulkan daripada For You Nourul, ia adalah hakikat bahawa Nourul Depp kini berada pada versi terbaik dirinya.

Perjalanan seninya masih jauh daripada penghujung. Jika malam itu menjadi petunjuk, maka satu perkara cukup jelas: Nourul Depp masih mempunyai banyak lagi cerita untuk ditulis dalam sejarah muzik tanah air.

 

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅