
NU Fest 2027 himpun sembilan band serumpun di pentas ikonik Stadium Merdeka. Kredit Foto: KOSMO!
Persada muzik tempatan bakal menerima kehadiran sebuah festival berskala besar menerusi NU FEST 2027 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Merdeka pada 30 Januari tahun depan.
Menghimpunkan barisan artis dari Malaysia dan Indonesia, festival anjuran COMs. Creative Studio dengan kerjasama AKE Seni itu bukan sekadar menawarkan persembahan muzik, malah membawa konsep Music, Culture & Community bagi meraikan kepelbagaian muzik, budaya dan kreativiti.
Antara nama yang bakal mengisi pentas utama ialah The Changcuters, Nidji, Masdo, Dukes, Lokarya, The Beretta’s, Saja dan Monosterio, selain kemunculan istimewa Band D_Va.
Barisan berkenaan diperkenalkan menerusi pengumuman Fasa 1 dan Fasa 2 yang menggabungkan kumpulan berpengalaman, bakat tempatan serta artis dengan kelompok peminat tersendiri.
The Changcuters yang memasuki tahun ke-22 perjalanan muzik mereka dijangka membawa tenaga persembahan tersendiri, manakala Nidji bakal tampil menerusi persembahan selama 90 minit.
Kumpulan popular Indonesia itu cukup dikenali menerusi lagu-lagu yang dekat dengan pendengar Malaysia, sekali gus menjadikan kemunculan mereka antara tarikan utama festival berkenaan.
Masdo pula bakal membawa identiti muzik retro dengan sentuhan kontemporari yang mendapat tempat dalam kalangan pendengar muda, khususnya Gen Z. Sementara itu, Band D_Va dijangka menghidupkan nostalgia era 2000-an.
Dukes dan Lokarya turut melengkapkan barisan artis bersama The Beretta’s, Saja dan Monosterio yang bakal menawarkan kepelbagaian karakter muzik sepanjang festival berlangsung.
Menurut wakil COMs. Creative Studio, Zairul Addry Helmy, pemilihan artis dibuat berdasarkan kepelbagaian genre, kekuatan kelompok peminat dan kesesuaian dengan identiti festival yang mahu merentasi pelbagai generasi.
“Kami mahu barisan artis yang boleh merentasi beberapa generasi dan kelompok peminat yang berbeza.
“Setiap nama mempunyai karakter tersendiri, daripada rock, pop dan nostalgia hinggalah muzik alternatif serta tenaga yang lebih segar. Gabungan ini diharap dapat memberikan pengalaman muzik yang pelbagai sepanjang berlangsungnya festival,” katanya.
Selain persembahan di pentas utama, pengunjung turut berpeluang menikmati persembahan Beats & Brew, sebuah komuniti DJ di Malaysia yang menghimpunkan penggiat industri dan peminat budaya DJ.
NU FEST 2027 turut merancang pelbagai tarikan di luar persembahan muzik, termasuk Rock Zone, kawasan Grandstand, ruang makanan, karnival, pasar kreatif dan aktiviti pengaktifan jenama (brand activation).
Pendekatan itu bertujuan menjadikan festival berkenaan sebagai destinasi gaya hidup yang membolehkan pengunjung menikmati pelbagai aktiviti sebelum dan selepas persembahan artis.
Aspek produksi seperti sistem bunyi, pencahayaan, skrin LED dan visual turut diberikan perhatian bagi memastikan mutu persembahan serta keselesaan pengunjung berada pada tahap yang diharapkan.
Penganjur juga merancang elemen istimewa yang berpotensi merangkumi gandingan artis, susunan muzik khas dan persembahan yang disediakan khusus untuk festival itu. Butiran lanjut akan diumumkan kemudian.
Dalam jangka panjang, NU FEST berhasrat berkembang sebagai festival tahunan yang turut menyediakan platform kepada jenama tempatan, usahawan, pengusaha makanan, pencipta kandungan dan bakat muda untuk membina peluang dalam industri kreatif.
“Kami mahu NU FEST menjadi sebuah festival yang mempunyai identiti tersendiri dan dinantikan setiap tahun. Kejayaan sebenar bukan hanya apabila orang datang pada hari festival, tetapi apabila mereka pulang dan mula menantikan edisi seterusnya.
“NU FEST 2027 ialah permulaan kepada sesuatu yang lebih besar. Kami mahu membina sebuah komuniti dan pengalaman yang boleh berkembang bersama generasi muda Malaysia,” ujar Zairul.
Bagi peminat yang ingin menghadiri festival itu, tiket ditawarkan pada harga bermula RM88 dengan tawaran khas untuk pembelian berkumpulan.
Jualan tiket Fasa 1 akan dibuka terlebih dahulu bagi kategori Standing, manakala maklumat mengenai kategori Seating termasuk kawasan Grandstand akan diumumkan kemudian.
NU FEST 2027 bakal berlangsung pada 30 Januari 2027 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Maklumat lanjut mengenai penjualan tiket dan pengumuman seterusnya boleh diperoleh menerusi saluran rasmi penganjur, COMs. Creative Studio dan AKE Seni.

