
Konsert XPDC Reunion yang berlangsung pada 17 Oktober 2026 di Mega Star Arena, KL boleh dikatakan berjaya kerana menggabungkan dua unit –Kita Peng Yu dan Militia dalam satu pentas.
Bayangan sepentas Izo-Zuar-Amy-Ali-Arif-Jef dan Ary kini menjadi realiti walaupun sebelum ini dibelenggu dengan pelbagai isu dan konflik.
Bagi peminat-peminat Rock tanah air, terdapat beberapa momen menarik yang menghiasi sepanjang konsert yang wajar dikongsi:
1. Gandingan Ary – Mamu di bahagian vokal yang saling melengkapi dalam lagu ikonik seperti Titian Perjalanan dan Aku Masih di Sini.
2. Kemunculan khas Ali dalam segmen medley akustik tiga lagu Langsung Tak Faham, Semangat Perjuangan dan Apa Nak Dikata.
3. ‘Tuan Tanah’ Izo memencak solo gitar original terutama Titian Perjalanan dan C.I.N.T.A.
4. Pukulan drum Amy XPDC yang memaku keseluruhan muzikal konsert. Sebenarnya pukulan abang Amy yang meledak kerancakan konsert malam itu. Perlu diingat, Amy adalah kaki pukul bagi hampir keseluruhan lagu-lagu jadi tanpa ketukannya, pastinya suasana hambar.
5. Ary memainkan akustik lagu ‘Sedekah‘. Ramai merasakan seolah-olah roh arwah Mael telah turun semasa lagu ini. Alunan vokal Ary dikatakan ‘sampai ke lubang jiwa’ penonton. Tidak kurang juga ada yang katanya mengesat air mata.
6. Lagu ‘rare’ yang jarang-jarang dimainkan telah dibawa malam itu iaitu Cermin Dunia dan Khilaf.
Pemilihan lagu-lagu juga memainkan peranan. Ia membuktikan bahawa kekuatan XPDC sebenarnya terletak pada repertoir katalog lagu-lagu mereka. Bayangkan, banyak lagi lagu ikonik yang tidak dimainkan malam itu seperti Aku Dan Sesuatu, Hentian Ini, Pelesit, Teman dan Nafisa.
7. Penampilan Yan, Black dan Eddie Wings dalam beberapa lagu bagi memberi ruang rehat pada Amy dan Zuar.
8. Sistem bunyian yang terbaik – wajar dipuji. Kualiti bunyian yang padu, seimbang dan mantap. ‘Sound’ yang keluar daripada gitar Izo, Arif dan Jef sangat ‘crisp‘. Tahniah jurutera bunyian.
9. Ary telah membuktikan kemampuan beliau menghayun lagu-lagu XPDC, dari balada hingga ke lagu-lagu keras. Ternyata, pemilihan yang tepat sebagai vokalis XPDC unit Kita Peng Yu.
Dan momen paling epik?
10. Semestinya semasa antem keramat, ‘Kita Peng Yu’. Aksi ‘headbanging’ yang bertebaran terutama di bahagian pengakhiran lagu (part arabic). Sekiranya dari zon seating, kita dapat melihat kemeriahan optimum para ‘crowd’ dalam lagu tersebut. Ini baru nama konsert Rock!
Apapun, konsert XPDC Reunion ini mengukir sejarah tersendiri dan memberi makna kepada peminat-peminat. Kita tidak mempunyai bola kristal untuk menentukan apa yang terjadi masa depan, namun buat sementara walaupun ada jurang pemisah kreativiti dan ideologi antara kedua-dua unit Kita Peng Yu dan Militia, mereka dapat berdamai dengan takdir sesama mereka demi satu matlamat dan visi: perjuangan Muzik.
#ChivasAlexandria