Kugiran alt-country tempatan, Lasa, kembali dengan sebuah single yang cukup menyentuh jiwa berjudul Kembali — satu karya yang bukan sahaja menandakan evolusi muzik mereka, malah mencerminkan kebangkitan spiritual yang mendalam bagi tunjang utama band ini, Aiman Z.
Selepas mendapat perhatian melalui EP debut mereka dan album Cerita Kita, Kembali hadir sebagai kesinambungan naratif peribadi Aiman, tetapi kali ini dengan nada yang lebih kontemplatif dan spiritual. Dicipta ketika dunia terhenti akibat pandemik lima tahun lalu, lagu ini membawa pendengar ke dalam detik perubahan hidup seorang manusia — daripada kekosongan rohani kepada penemuan makna yang sebenar.
“Masa tu, aku dah lupakan muzik, agama, diri sendiri… semua benda yang pernah bentuk identiti aku. Tapi bila semua berhenti waktu pandemik, Tuhan seakan cakap, ‘Sekarang dah senyap, kau nak ke mana lagi?’ Dari situ aku kembali… dan jatuh cinta semula dengan muzik, dengan kehidupan dan dengan Tuhan.” – Aiman Z.
Dalam Kembali, Lasa mempertaruhkan bunyi banjo – satu instrumen yang jarang diterokai dalam muzik arus perdana tempatan, apatah lagi dalam genre alt-rock. Namun bagi Aiman, alat muzik ini adalah simbol kasih dan keberanian, dihadiahkan oleh isterinya ketika berada di UK.
“Bunyi banjo tu macam ada jiwa… macam getaran hidup yang sebenar. Aku suka gila sound twang dia, dan insya-Allah kita akan dengar lebih banyak banjo dalam material Lasa nanti.”
Dengan gabungan banjo dan lirikal yang penuh refleksi, lagu ini menyentuh perasaan tanpa perlu berlebihan — seperti sebuah doa yang dibisikkan di telinga malam.
Video muzik rasmi Kembali dirakam di Gliss Studio, Bukit Jelutong – ruang baharu yang menyuntik suasana megah dalam persembahan minimalis. Turut tampil dalam video adalah Shahran Zubir (Jazleen) dan Kopi (Smesta) yang masing-masing membawa aura tersendiri ke dalam visual lagu ini.
Menariknya, rilisan ini juga menandakan kembalinya Hazeeq Azhar di proses post-production – individu di sebalik polish sonik Mascot, kini menyumbang kepada Lasa dengan sentuhan yang lebih matang dan immersive.
Selepas Kembali, Aiman tidak menafikan kemungkinan adanya projek lebih besar. Walaupun belum mengesahkan album penuh, beliau menyatakan bahawa Kembali bakal menjadi cetak biru untuk hala tuju bunyi Lasa seterusnya.
Dan yang paling hampir, Lasa bakal membuat kemunculan sulung secara langsung pada 10 Mei ini di Petai Belalang, bersama beberapa rakan artis. Menampilkan Alan (Shahran) di posisi dram, serta kehadiran Dro dari Porcelane sebagai bassist baharu, Lasa kini bersedia untuk menggegarkan pentas tempatan dengan semangat yang segar dan tulus.
“Kami dah practice dua bulan lebih… now it’s time to go out and entertain again.”
Dengan Kembali, Lasa bukan sekadar mempersembahkan sebuah lagu — mereka sedang membuka lembaran baru tentang cinta, kehilangan dan penemuan semula makna hidup dalam bentuk yang paling jujur.