Kredit bersama : Ikramfadli
Selepas tiga tahun tidak berpentas di Malaysia, kumpulan legenda Indonesia, Dewa 19, akhirnya kembali mengubat kerinduan peminat menerusi konsert Cintaku TerTinggal di Malaysia: Dewa 19 feat. Ari Lasso, Virzha & Ello yang berlangsung di UniFi Arena, Bukit Jalil pada 6 Jun lalu.
Dianjurkan oleh ICON Entertainment, konsert ini bukan sekadar sebuah persembahan muzik, malah menjadi medan pertemuan semula antara peminat dan deretan lagu malar segar yang telah menemani pelbagai generasi selama lebih tiga dekad.
Poster Rasmi
Malam acara tersebut dimulakan dengan kemunculan Padi Reborn sebagai pembuka tirai. Pilihan tersebut ternyata tepat apabila mereka berjaya memanaskan suasana menerusi lapan buah lagu yang mendapat sambutan luar biasa daripada penonton. Antara yang paling menyerlah ialah “Begitu Indah” yang kedengaran cukup mantap dan bertenaga dalam versi langsung. Lagu “Menanti Sebuah Jawaban” dan “Sahabat Selamanya” pula mengundang nyanyian beramai-ramai daripada penonton yang memenuhi arena sejak awal. Persembahan mereka begitu meyakinkan sehingga ramai beranggapan Padi Reborn layak kembali mengadakan konsert solo di Malaysia pada masa akan datang.
Pembukaan bertenaga oleh Padi Reborn. Kredit : Bangsawan Pictures.
Usai persembahan pembukaan yang berlangsung hampir sejam itu, pentas ditutup seketika bagi memberi laluan kepada kemunculan Dewa 19. Walaupun tempoh transisi sekitar 15 minit bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam penganjuran konsert berskala besar, ia sedikit sebanyak menyebabkan momentum yang dibina sebelum itu mula menurun. Namun, sebaik sahaja anggota Dewa 19 muncul di pentas, sorakan gemuruh yang memenuhi UniFi Arena segera menghidupkan kembali suasana malam tersebut.
Deretan lagu ikonik seperti “Arjuna”, “Separuh Nafas”, “Roman Picisan”, “Dewi”, “Kangen”, “Satu”, “Pangeran Cinta”, “Larut” dan “Perempuan Paling Cantik di Negeriku” menjadi tunjang utama persembahan. Walaupun karya-karya ini telah berusia puluhan tahun, respons penonton membuktikan bahawa muzik Dewa 19 masih relevan dan berjaya merentasi pelbagai generasi dengan begitu gah.
Intimasi. Kredit : Bangsawan Pictures
Satu kejutan berlaku apabila pihak penganjur mengumumkan ketidakhadiran pemain dram asal, Tyo Nugros atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Namun, kekosongan tersebut diisi dengan cukup manis oleh Al-Ghazali, anak kepada Ahmad Dhani. Kehadirannya bukan sahaja menambah elemen kejutan yang segar, malah berjaya mencuri tumpuan ramai sebagai pemain dram gantian, sekali gus memberi satu nilai tambah yang unik untuk konsert malam itu.
Al-Ghazali come to the rescue! Kredit : Bangsawan Pictures
Ari Lasso muncul sebagai figura paling mencuri perhatian sepanjang malam. Karisma serta pengalaman beliau jelas terserlah setiap kali mengambil alih vokal utama. Lagu seperti “Satu” dan “Aku Milikmu” menjadi antara momen paling syahdu, dengan ribuan peminat menyanyi dari awal hingga akhir, satu bukti ikatan antara vokalis dan peminat yang masih utuh.
Ello pula berjaya membawa tenaga yang berbeza ke atas pentas. Ketika “Sedang Ingin Bercinta” dimainkan, suasana bertukar lebih meriah dan rancak. Lagu tersebut sememangnya mempunyai tempat tersendiri dalam kalangan peminat yang lebih muda, dan keupayaan Ello dalam menyuntik elemen moden pada lagu klasik Dewa 19 wajar diberikan pujian.
Ello. Kredit : Bangsawan Pictures
Virzha turut memberikan persembahan yang mantap menerusi lagu “Larut” dan “Perempuan Paling Cantik di Negeriku”. Vokalnya yang bertenaga berjaya memastikan momentum persembahan kekal konsisten sehingga ke penghujung malam.
Pengasas dan tulang belakang Dewa 19, Ahmad Dhani, turut tampil menyampaikan “Madu Tiga” serta “Pangeran Cinta” bersama Virzha. Kemunculan Dhani bukan sahaja memberikan aura tersendiri sebagai arkitek di sebalik karya agung kumpulan ini, malah kehadirannya menjadi magnet utama yang menyatukan seluruh elemen persembahan malam itu.
Vhirza. Kredit : Bangsawan Pictures.
Bagaimanapun, segmen khas yang menampilkan lagu “Imagine” oleh penyanyi jemputan antarabangsa dilihat kurang memberi impak kepada majoriti penonton. Walaupun dipersembahkan dengan baik dari segi vokal, sambutannya agak sederhana kerana sebahagian besar penonton hadir untuk meraikan katalog lagu Dewa 19. Segmen tersebut mungkin lebih berkesan sekiranya digantikan dengan lagu-lagu Dewa 19 yang jarang dipersembahkan secara langsung.
Secara kesimpulannya, konsert ini adalah salah satu konsert anjuran ICON Entertaiment yang berjaya di mata penulis. Cukup perasa dan perisanya. Dari segi persembahan dan penyampaian, jika dianjurkan dua malam sekalipun, pastinya semua akan terhibur dengan kemantapan tenaga yang diberikan oleh setiap individu yang menjayakan konsert tersebut. Namun ada beberapa aspek yang pada pendapat penulis mungkin dapat menaikkan seri penganjuran konsert tersebut secara keseluruhannya.
Pertama, dari sudut teknikal, sistem audio berada pada tahap yang memuaskan. Kualiti bunyi cukup jelas dan enak didengar, namun terdapat ruang penambahbaikan dari aspek keseimbangan bunyi instrumen agar impak setiap lagu menjadi lebih dinamik dan “hidup” di ruang arena yang besar.
Kedua, penulis merasakan penggunaan elemen orkestra agak kurang menyerlah. Walaupun kehadirannya menjanjikan dimensi yang lebih megah dan dramatik, bunyinya sering tenggelam di sebalik instrumen utama sehingga gagal memberikan impak yang benar-benar signifikan kepada keseluruhan persembahan.
Ketiga, dari aspek penganjuran, proses kemasukan ke ruang acara berjalan dengan lancar dan sangat teratur. Namun, kawasan menuju ke ruang berdiri (standing area) dilihat agak kosong dan kurang ceria. Pihak penganjur boleh mempertimbangkan penambahan elemen seperti pameran sejarah Dewa 19, sudut photobooth bertema, atau aktiviti interaktif peminat bagi menghidupkan suasana sebelum konsert bermula. Penyediaan merchandise rasmi di luar venue adalah satu langkah yang baik dan dihargai oleh peminat yang ingin membawa pulang kenangan.
Terakhir, mengenai persembahan pembukaan oleh Padi Reborn. Meskipun kehadiran mereka memukau, tempoh persembahan selama sejam mencetuskan perdebatan di media sosial. Sebahagian peminat merasakan durasi tersebut agak panjang dan ‘memakan masa’ untuk sebuah slot pembukaan, manakala sebahagian lagi menyambut baik kehadiran mereka. Penulis menyerahkan sepenuhnya kepada pembaca untuk menilai rasionaliti perkara ini.
Natijahnya, ini mungkin bukan sebuah konsert yang sempurna dari setiap sudut, namun ia tetap berjaya menghadiahkan sebuah malam yang penuh nostalgia. Saat satu arena menyanyikan lagu-lagu seperti “Kangen”, “Roman Picisan”, “Separuh Nafas” dan “Satu” secara beramai-ramai, ia menjadi bukti kukuh bahawa Dewa 19 masih lagi “raja” di hati peminat walaupun zaman terus berubah.
Akhir konsert. Kredit : Bangsawan Pictures
Jika anda peminat Dewa 19, sukar untuk tidak menikmati malam yang dipenuhi lagu-lagu malar segar seperti ini. Ia mungkin mempunyai beberapa kelemahan kecil dalam aspek teknikal dan susunan segmen, tetapi dari sudut pengalaman emosi dan nostalgia, konsert ini berjaya memberikan apa yang diharapkan oleh kebanyakan peminat yang hadir.
Terus maju Dewa 19!