7 Fakta Menarik Tentang Arwah Loloq

oleh Music Addicts Malaysia
14.9K bacaan

Arwah Loloq atau nama sebenarnya Rosli Khamis sering diingati kerana sentuhan liriknya yang puitis dan magikal lebih-lebih lagi apabila bergandingan dengan komposer lagenda, M. Nasir.

Dilahirkan pada 21 Mei 1958 di Singapura, Loloq merupakan salah seorang penulis lirik terbaik yang pernah ada di Malaysia.

Baca tujuh fakta menarik tentang beliau di bawah:

1. Mula aktif dalam bidang penciptaan lagu bermula tahun 1987. Beliau mula menumpahkan idea menulis lirik pada usia 27 tahun.

2. Pernah menghasilkan 500 buah lirik lagu sepanjang berada di Luncai Emas milik M. Nasir. Di antara lirik lagu beliau yang pernah popular ialah Di Ambang Wati (Wings), Kau Bukan Brader, Awang Trasher (Wings), Nur Nilam Sari (Awie & Search), Analog 0.1, (Search), Asli Dan Tulus (Search), Laila Namamu Teratas (Search), Neo Romantik (Search), Zen-Bikin Wilayah (Search), Gemuruh (Search & Wings), Mantera Semerah Padi (M . Nasir), Kita Peng-Yu (XPDC), Tak Nak Jadi Soh Chai, Ratu Sanubari (Saleem), Laukku Cukup Masin (Spider), Kasih Latifah (Spider), Cinta Dewa-Dewi (SPIDER), Aladin (Spider), Kacap Terlabik (Spider) dan banyak lagi. Beliau juga pernah mendapat Anugerah Khas dalam Anugerah Planet Muzik 2007 di atas sumbangan besarnya dalam industri seni.

3. Beliau pernah terlibat dengan najis dadah selama enam tahun, mengikut ajaran Tasauf dan menjadi kutu rayau sebelum menemui paksi apabila bertemu M. Nasir dan Amy Search di Jalan Chow Kit sekitar tahun 1980-an. Pada waktu itu, beliau yang merupakan seorang penganggur dengan beraninya memujuk M.Nasir dan Amy menggunakan lirik ciptaannya untuk dimuatkan ke dalam album mereka.

4. Selain dari bakat menulis lirik yang berkualiti, Loloq juga berbakat dalam bidang lakonan. Antara filem yang pernah dibintanginya termasuklah Sara(2001), Embun (2002), Lang Buana (2003), Man Laksa (2006) dan Zombi Kampung Pisang (2007). Selain itu, beliau juga pernah membintangi sebuah telemovie Orang Kasar (2003) di mana beliau berlakon bersama Eman Manan serta telefilem Neon (2003). Beliau juga pernah beraksi di pentas teater suatu masa dahulu dalam persembahan teater Bukit Kepong arahan Othman Ghani dan drama sitkom Awie Record.

5. Selain nama Loloq, beliau turut menggunakan nama Nurbisa/ Fakir Iskandar/ Cenderawasih dan lain-lain untuk lirik-lirik ciptaannya.

6. Kejayaan yang pernah Loloq kecapi semasa hayatnya termasuklah beliau pernah dikurniakan beberapa anugerah seperti Penulis Lirik Terunggul dan menerima royalti tertinggi daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik Malaysia Berhad (MACP) ke-11 menerusi lagu “Dewa Dewi” nyanyian kumpulan Spider sekaligus menjulang namanya sebagai Penulis Lirik Terunggul untuk lima tahun berturut-turut. Selain itu, beliau turut menerima Anugerah Lirik Nasyid pada Majlis Anugerah Juara Nasyid Minggu Ini 2006 serta Anugerah Galakan Penulis Lirik pada Anugerah Citra Wangsa Malaysia 2005. Beliau juga turut terbabit dalam menulis skrip filem Aduh Saliha yang judul asalnya ialah Misteri Mimpi Syakila arahan M. Nasir.

7. Lirik lagu terakhir yang dicipta oleh Loloq berjudul Angkasawan yang dinyanyikan oleh kumpulan Butterfly pada tahun 2005.

Arwah Loloq menghembuskan nafas terakhirnya pada 30 Januari 2008 jam 1:30 tengah hari akibat pendarahan otak.

Ramai yang beranggapan bahawa penulisan lirik lagu-lagu arus perdana di Malaysia lebih-lebih lagi untuk lagu-lagu rock semakin merudum sejak kehilangan Loloq. Adakah kalian bersetuju?

Pada dekad baharu ini, masih relevankah penulis lirik berwibawa seperti Loloq atau seharusnya semua artis itu menulis liriknya sendiri?

Kredit:

1. Wikipedia
2. irwanmz.blogspot.com

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅