MUSE: Penyambung Legasi Band Rock Dari Tanah Inggeris

oleh Music Addicts Malaysia
3K bacaan

Stadium Merdeka menjadi saksi ke”Hysteria“an peminat Muse di Malaysia dan sekitar Asia pada tanggal 25 Februari 2007. Aku yang pada masa itu masih di tingkatan 5 hanya mampu tersenyum membaca laporan akhbar tentang kehadiran Muse ke Kuala Lumpur. Sebelum mak aku buat bungkus nasi lemak, aku koyakkan halaman yang terpampang cerita tentang konsert malam tadi itu dan simpan sebagai pusaka bernilai. Aku sudah pun mengenali Muse dua tahun awal sebelum kedatangan mereka ke Malaysia. Itu pun cuma tahu tiga empat lagu, tak banyak. Dalam pada sibuk ber-jamming lagu-lagu ACAB, Anep rakan band aku perkenalkan kami dengan Time Is Running Out dan Citizen Erased. Katanya abang dia ada menyimpan koleksi album Muse di rumah. Pergh, cool juga ni kalau dapat layan band luar macam ni.

Aku mula menyelami selok belok perjalanan dan lagu-lagu Muse sewaktu tinggal di rumah sewa di Pajam bersama senior tempat aku belajar, kawan kawan panggil dia Wafi. Seorang pendukung tegar band dari Tanah Inggeris ni sampaikan gitar Manson pun ada beberapa koleksi dalam simpanan dia. Aku dan Wafi secara tak langsung bersepakat untuk menubuhkan band jamming selepas itu tapi tidaklah stick pada satu genre atau satu band sahaja. Plug In Baby adalah satu-satunya lagu Muse yang aku boleh main secara sempurna sampai sekarang. Lagu lain hancur kalau aku ketuk drum🤣. Album demi album, latar belakang band dan jenis muzik dari Muse aku sudah selongkar hasil carian di internet dan cerita kawan-kawan.

Salah satu perkara yang aku kagum dengan band yang ditubuhkan sekitar tahun 90an oleh tiga lelaki Inggeris ini adalah kesetiaan ahli bandnya. Matthew Bellamy, Christ Wolstenholme dan Dominic Howard merupakan tiga penuntut Teignmouth Community College yang bermain dengan tiga band yang berbeza. Chris yang asalnya pemain drum tetapi mula akur dengan permintaan Dominic dan Matthew untuk duduk di posisi bass. Carnage Mayhem menukar nama kepada Gothic Plague selepas Chris bersetuju menjadi pemain bass mereka.

Dari Gothic Plague ke Rocket Baby Dolls, memenangi battle of the bands dan menukar nama band kepada Muse, mereka mula memandang ke hadapan tentang masa depan dan berpindah keluar dari Teignmouth, Devon untuk memperjudikan nasib band mereka. Hasil penerbitan EP dan beberapa konsert di sekitar bandar-besar England, mereka sudah pun dapat mengumpul sebilangan peminat yang menerima kehadiran mereka. Di UK, nama Muse masih belum dapat diterima oleh beberapa syarikat rakaman, tetapi tampil Maverick Record dari US membantu mempromosi Muse dan mengikat kontrak selepas beberapa kali berulang alik ke US. Di bawah Maverick Record juga album debut Muse iaitu Showbiz diterbitkan. Muse mengambil masa lebih kurang satu bulan lebih untuk menyiapkan Showbiz. Lagu-lagu yang menjadi senarai trek dipilih dari lagu-lagu lama hasil ciptaan Bellamy sebelum ini. Lebih 50 buah lagu yang ditulis Bellamy dan akhirnya mereka memilih lagu-lagu yang dijangka boleh pergi jauh untuk dimuatkan di dalam album debut mereka ini. Dengan irama alternatif rock sama seperti mana dua EP mereka sebelum ni, antara lagu yang disenaraikan di dalam Showbiz adalah Uno, Cave, Muscle Museum dan Unintended. Dirilis pada 7 September 1999, album ini berjaya mendapat pengiktirafan jualan Platinum di UK.

September 2000, Muse mula bereksperimen dalam penghasilan dan sesi rakaman album studio kedua mereka. Album kali ini tidak lagi berteraskan hanya pada satu genre sahaja, tetapi mereka mula menambah beberapa elemen irama lain seperti space rock dan progressive rock dalam penciptaan lagu. Origin of Symmetry kali dilihat lebih energetik dengan menampilkan lagu-lagu yang menaikkan nama Muse dan diingati sehingga sekarang antaranya New Born, Plug In Baby, dan Hyper Music. Mendapat dua kali pengiktirafan Platinum di UK selepas salinan album terjual melebihi angka 600,000. Album yang melonjak naik nama Muse ini dirilis pada 17 Julai 2001 dan melalui proses rakaman di beberapa buah studio termasuk studio terkenal di Jalan Abbey.

Proses penghasilan album ketiga berjalan lancar. Kebijaksanaan Matthew dalam penulisan lirik membuatkan Muse tampak mampu bersaing dan kekal relevan dalam industri muzik. Absolution yang membariskan 14 buah lagu terus menjadi mercu tanda kejayaan Muse dalam memperjuangkan legasi band rock dari British. Time Is Running Out, Stockholm Syndrome, Hysteria dan Butterflies and Hurricane menjadi siulan peminat mereka. Dengan jumlah peminat yang semakin mencanak naik, album Absolution kali ini mendapat pengiktirafan 3 kali Platinum di UK selepas angka jualan mencecah 900,000 unit manakala di US jualan album dicatatkan sebanyak satu juta unit sekali gus mendapat pengiktirafan Platinum album. Dirilis pada 15 September 2003, album ini masih mempertaruhkan genre alternative rock, progressive rock dan genre baru art rock.

Nama Muse terus menjadi bualan dalam kalangan peminat muzik serata dunia. Mendapat pengiktirafan 3 kali Platinum di UK dan satu di US, Black Holes and Revelation mencatatkan penjualan yang meningkat berbanding album-album sebelumnya. Terjual lebih satu juta unit di UK, album ini memulakan rakamannya sekitar Ogos hingga penghujung tahun 2005 dan dirilis pada Julai 2006. Kali ini mereka masih mengekalkan genre alternative dan progressive rock dengan tambahan satu genre baru iaitu space rock. Lirik pula lebih berkisarkan tentang konspirasi New World Order, korupsi politik dan revolusi. BH&R juga mengungguli carta-carta album di beberapa buah negara di Eropah. Beberapa siri jelajah untuk tujuan mempromosi album ini diadakan sekitar Eropah, Amerika dan Asia termasuk Malaysia.

September 2008, mereka mendarat di Itali untuk proses rakaman album ke-5 yang diberi tajuk The Resistance. Album ini melalui proses rakaman sepenuhnya di Itali dan siap dirakam pada Mei 2009. Muse nampaknya semakin bernafsu untuk terus bereksperimen dalam setiap penghasilan album mereka. Kali ini mereka membawakan genre symphonic rock sebagai bahan eksperimen terbaharu. Boleh nampak dalam album ini mereka sedikit kurang agresif berbanding dua album sebelumnya. Album ini juga mendapat sedikit kritikan dan beberapa pihak mula membandingkan mereka dengan band rock British lain seperti Queen dan Radiohead. Lagu United States of Eurasia kedengaran sedikit Queen jika diperdengarkan. Segala kritikal diterima bukanlah masalah bagi Muse apabila album ini berjaya memenangi anugerah di Grammy Award sebagai album rock terbaik 2011 selepas dirilis pada September 2009. Berjaya menduduki tangga teratas dalam carta-carta album di pelbagai negara termasuk US Billboard 200, album ini terjual sebanyak satu juta unit lebih di US.

Setahun selepas merangkul anugerah di Grammy Award, Muse muncul dengan album ke-6. Untuk album kali ini mereka memberikan nafas baharu dengan menyuntik elemen muzik elektronik. The 2nd Law memulakan proses rakaman pada Oktober 2011 dan mula dirilis pada penghujung September 2012. Lagu Madness dan Panic Station dari album ini tersenarai dalam pencalonan kategori lagu rock terbaik di anugerah Grammy Award 55th & 56th. The 2nd Law juga tersenarai dalam pencalonan album rock terbaik di anugerah itu. Chris mendedahkan bandnya mula melakukan eksperimen dengan muzik dan bunyi untuk album terbaharu mereka ini. Tersenarai di tangga pertama dalam 14 senarai carta di negara sekitar Eropah dan Asia, album ini terjual sebanyak lebih 500,000 unit di US dan menerima pengiktirafan Gold album manakala 300,000 unit lebih terjual di UK.

Selepas bereksperimen dengan muzik elektronik dalam album The 2nd Law, kali ini Muse bersepakat untuk mengembalikan irama asal yang menjadi tunjang kejayaan mereka dalam album Absolution dan Black Holes and Revelation. Cukup dengan dua eksperimen dalam album sebelumnya, usai tamat konsert di Rome untuk siri jelajah album The 2nd Law Muse memulakan persiapan untuk album ke-7 mereka. Album Drone yang menyenaraikan lagu antaranya “Psycho,” “Dead Inside,” “Mercy” dan “Revolt” memulakan rakaman pada Oktober 2014 dan selesai menjalani sesi rakaman pada April 2015. Menerusi album Drone, Muse sekali lagi merangkul anugerah Grammy Award untuk kategori album rock terbaik kali kedua selepas album The Resistance. Drone World Tour antara konsert jelajah termahal Muse sejak melibatkan diri dalam dunia muzik mainstream. Drone juga menduduki tangga pertama carta US Billboard 200 pada 2015. Hasil jelajah untuk album Drone telah mencatatkan penjualan album satu juta lebih di seluruh dunia.

Album terbaharu bertemakan sains fiksyen dan 80s pop culture berjudul Simulation Theory merupakan album ke-8 Muse dan diterbitkan di bawah label Warner Bros Record-Helium 3. Album ini agak lari dari sinonim Muse di mana mereka membawa genre elektronik rock, pop rock dan synth-pop. Kurang mendapat sambutan berbanding album-album sebelum ini, Simulation Theory terjual 100,000 unit ke atas di UK dan menduduki tangga ke-12 carta Billboard 200 US pada tahun yang sama ia dirilis. Memulakan kerja-kerja rakaman pada Januari 2017, album ini mengambil masa agak lama untuk disiapkan. Proses rakaman tamat pada Ogos 2018 dan mula diterbitkan pada November 2018. Siri jelajah untuk album ini bermula pada 22 Februari sepertimana dinyatakan di sosial media mereka dan tamat pada 15 Oktober 2019 di Lima.

Tidak salah rasanya untuk meletakkan Muse sebaris dengan band lagenda dari British lain berdasarkan pencapaian sepanjang kemunculan mereka.

Lain orang lain pandangan. Jadi, pada pandangan anda, album mana yang berjaya menarik minat anda untuk menyenaraikan Muse di dalam playlist anda?

Penulis asal: Mohd Amirul

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅