Dari lorong-lorong kecil di Batu Pahat hingga ke pentas digital di seluruh dunia, band Oi!/Punk tempatan Single Stitch kini tampil dengan rilisan paling bermakna dalam perjalanan awal muzik mereka — EP sulung berjudul Three-Chord Knights.
Bagi yang mengikuti perkembangan scene Oi!/ Punk di Malaysia, nama Single Stitch mungkin masih baharu di radar. Namun, semangat yang mereka bawa jelas mencerminkan kematangan – lahir dari jiwa kelas pekerja, nilai persaudaraan yang kukuh dan api perjuangan melawan penindasan yang telah lama menyala.
Single Stitch bukan sekadar sebuah band. Ia adalah manifestasi sebuah persahabatan yang sudah terjalin lebih satu dekad antara tiga anggotanya: Jahn (vokal/gitar), Yot (vokal/bass) dan Ulau (dram).
Ditubuhkan secara rasmi pada penghujung tahun 2023, Single Stitch mula mencuri perhatian apabila tampil di gig pertama mereka di Petai Belalang pada Jun 2024. Persembahan itu menyaksikan debut live lagu “Still Alive N’ Kickin’” yang kemudiannya menjadi single pertama mereka di platform digital.
“Kawan-kawan kami dalam band ni dah bersama hampir 10 tahun lebih sebenarnya. Jadi bila buat lagu-lagu dalam EP ni, semuanya datang dari pengalaman dan realiti hidup kami sendiri,” kata Jahn ketika ditemubual.
EP ini menampilkan lima trek yang padat dengan semangat jalanan dan mesej sosial. Bermula dengan lagu “Oi! Calling”, pendengar terus dihentam dengan riff gitar agresif dan lirik yang membangkitkan semangat unity. Lagu ini sebenarnya asalnya hanya sebuah instrumental pendek untuk intro persembahan live, namun idea spontan ketika sesi jamming membuatkan ia berubah menjadi lagu penuh.
“Hayat Dan Nyawa”, sebuah lagu dalam Bahasa Melayu yang menyentuh soal survival dan nilai kehidupan. Melodi punk yang pantas disulam dengan lirik penuh makna, menjadikan lagu ini sebagai antara standout dalam EP ini.
“Bovver Boys’ Ballad” pula menjadi tribute kepada budaya working class yang sinonim dengan komuniti skinhead dan punk. Lagu ini kedengaran seperti sebuah anthem penghargaan kepada anak-anak muda yang tidak pernah tunduk kepada tekanan sosial.
Sementara itu, “Still Alive N’ Kickin’”, dengan penampilan istimewa Islan dari band Idle Hands membuktikan bahawa Single Stitch tidak takut berkolaborasi dengan rakan-rakan scene.
Penutup EP ini ialah “Ayuh Lawan”, sebuah lagu penuh tenaga menampilkan AzamRhadio dari ConflictCrisis. Liriknya lantang menyeru penentangan terhadap ketidakadilan – sebuah mesej yang jelas, keras dan terus-terang.
Satu perkara yang menarik perhatian ialah keberanian Single Stitch untuk menulis dan menyanyi dalam Bahasa Melayu dalam dua trek utama mereka. Dalam dunia punk yang selalunya didominasi bahasa Inggeris, langkah ini membuktikan keyakinan mereka terhadap identiti tempatan.
“Kami menyanyi dalam Bahasa Melayu sebab ini bahasa kami. Bahasa yang kami hidup dan bernafas setiap hari. Punk adalah tentang kejujuran, jadi kenapa perlu kami sembunyikan bahasa sendiri?” ujar Jahn.
Menurut mereka, muzik adalah medium tanpa sempadan. “Music brings people together no matter what language it’s in. Dalam scene Oi! global pun, kita ada band-band dari Jepun, Amerika Latin, Eropah Timur… dan mereka semua menyanyi dalam bahasa sendiri. Jadi kami buat perkara yang sama untuk Malaysia,” tambah Yot.
Dari segi produksi, EP ini direalisasikan sepenuhnya di Dominant Triangle Recordings, Subang Jaya dengan Hazardgeek dan Luques Xannial bertindak sebagai jurutera rakaman. Proses rakaman mengambil masa dua bulan dimana agak bagus untuk sebuah band DIY yang membiayai sendiri setiap proses dari rakaman hingga promosi.
Rekaan kulit hadapan pula diserahkan kepada natalieridzuan, manakala sesi fotografi band diatur oleh Dabeliu Creative Solution. Hasil akhir dari segi visual dan bunyi masih mengekalkan rasa mentah, kasar dan jujur – satu trademark yang sering dikaitkan dengan band Oi!/ Punk dari mana-mana pelusuk dunia.
Kritikan membina: Dari sudut teknikal, masih ada ruang untuk Single Stitch memperbaiki aspek mixing dan mastering. Beberapa trek mungkin boleh dipadatkan bunyinya untuk memberi lebih impak sonik. Namun dalam konteks EP debut yang sepenuhnya diusahakan secara DIY, hasil ini cukup membanggakan.
Lebih Dari Sekadar Muzik: Ini Tentang Komuniti
Apa yang membezakan Single Stitch dari band-band baharu lain ialah kesungguhan mereka untuk kekal setia kepada akar umbi budaya punk. Bagi mereka, setiap lagu adalah refleksi kehidupan sebenar – tentang sahabat, tentang perjuangan dan tentang hidup di Malaysia sebagai anak working class.
Dengan EP Three-Chord Knights, Single Stitch membuktikan bahawa suara dari Selatan tanah air juga punya kekuatan sendiri dalam scene muzik alternatif negara.
“Ini baru permulaan. Selepas ni, insya-Allah kami mahu tampil dengan album penuh. Tapi buat masa sekarang, kami hanya mahu lebih ramai orang dengar EP ni, faham mesej kami dan datang support gig-gig underground,” ujar Ulau.
Dalam era muzik yang semakin didominasi komersialisme, kemunculan band seperti Single Stitch menjadi peringatan bahawa muzik jalanan masih punya denyut nadi dan tempat istimewa di hati pendengar. Semoga lebih banyak band dari luar Lembah Klang tampil berani, menyuarakan kisah dan realiti mereka sendiri.
Ikuti perkembangan Single Stitch di Media Sosial:
Facebook
Instagram