Hot For Preacher: Transmisi Adrenalin Melalui Emo dan Misteri

oleh Boes!
431 bacaan

Hot For Preacher. Dari Kiri: Zero (Gitaris), Doc Ork (Sampler), Reaper (Vokalis), Serious Man (Bassis), Crog (Gitaris), dan Shadow (Dram).

Hot For Preacher (HFP), sebuah kolektif spektum varia genre yang ditubuhkan pada tahun 2024  baru sahaja melepaskan material terbaharu mereka berjudul “Pale Skin, Red Dress” (PSRD).

Mengangkat genre Emo/ Post-Hardcore sebagai genre rasmi, single ini kini boleh dinikmati di semua platform penstriman digital. Dengarkan PSRD hari ini dan alami sendiri suntikan adrenalin yang dirumus khas buat para peminat yang merindui detik-detik gemilang genre yang kian dilupakan ini.

Formasi yang menggunakan alter-ego sebagai identiti ini memancarkan visual yang eksentrik dan tersendiri. Mereka terdiri daripada Zero (Gitaris), Crog (Gitaris), Reaper (Vokalis), Serious Man (Bassis), Shadow (Dram), dan Doc Ork (Sampler). Kesemua mereka datang dari kepakaran yang berbeza, bersatu menghasilkan karya yang utuh selari dengan jenama mereka sendiri.

Ikuti temubual penulis bersama Crog, wakil dari kumpulan ini untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan latar belakang kumpulan dan lagu terbaharu mereka:

MAMY : Penubuhan band kalian pada tahun lepas adalah berdasarkan gabungan ahli yang datang dari pelbagai projek yang berbeza sebelum ini. Boleh kami tahu projek yang macam mana? Ada yang dah tubuhkan kumpulan dan ada projek sendiri?

Sebenarnya, ahli kumpulan kami datang daripada band berlainan genre. Zero daripada band pop, Crog daripada band pop punk, Reaper daripada band grunge, Serious Man daripada band metal, Shadow daripada band pop dan Doc Ork daripada band alternative rock. Semua ahli kami mempunyai lagu sendiri daripada band masing-masing mengikut genre tersendiri. Pada asalnya, band ini hanyalah projek sampingan kerana kami ingin bermain band secara santai, tetapi tiba-tiba band ini menunjukkan potensi dan kami memutuskan untuk meneruskannya sebagai band utama.

MAMY : Kenapa memilih emo/post-hardcore sebagai genre utama? Adakah daripada common interest masing-masing atau ada faktor luaran yang menjadi asbab?

Untuk keputusan genre ini, sebenarnya kami ingin menubuhkan band alt emo rock yang berpaksi kepada My Chemical Romance (MCR). Namun, selepas bertukar selera dengan ahli, kami sedar genre emo ini sangat besar. Jadi, kami mengambil pendekatan untuk memilih MCR, Alesana, Aiden dan beberapa band emo post-hardcore lain sebagai pengaruh, memandangkan kami semua memang meminati kumpulan tersebut.

Tambah Crog, pemilihan genre ini bermatlamat untuk menghidupkan semula skena emo yang kian menyepi di Malaysia. Kekurangan kelibat anak-anak emo di pentas muzik tempatan menjadi pencetus semangat mereka untuk mengembalikan imej serta semangat era kegemilangan emo sekitar dua dekad yang lalu.

MAMY : Saya tertarik dengan penampilan kalian yang menampilkan sisi yang berbeza. Nama-nama yang kalian gunakan  berinspirasikan daripada apa? Dan kalau buat persembahan langsung memang menggunakan topeng-topeng itu ya?

Ini soalan yang bagus. Untuk nama-nama itu, kami tidak terinspirasi dari mana-mana secara spesifik. Namun, saya boleh jelaskan, contohnya saya (Crog) adalah singkatan dari “Scare Crog” dan memakai gogel. Doc Ork pula, jika kita lihat topengnya, ia adalah topeng doktor dalam keadaan wabak pada tahun 1800-an. Untuk Serious Man, topengnya adalah yang paling kelihatan manusiawi dan sangat serius, serta apabila dia memakai topeng itu, dia secara automatik menjadi seorang yang serius ketika memegang instrumennya. Nama Zero pula dekat dengan nama asalnya. Reaper pula jika mengikut DAW yang vokalis kami suka gunakan, dan nama Reaper itu sangat ganas. Shadow pula adalah satu-satunya yang memakai topeng separuh, dan ia adalah topeng samurai, yang menggambarkan kelajuannya seperti bayang-bayang. Topeng-topeng ini akan kami pakai setiap kali persembahan live kami.

 

Bagi kami, topeng ini adalah konsep dan karakter setiap ahli yang boleh membuat orang teringat-ingat. Identiti sebenar hanya diketahui oleh orang yang mengenali kami sebelum ini, dan bagi yang baru ingin mengenali, biarlah ia kekal misteri. Kami akan berpakaian biasa sebelum naik ke pentas dan akan hilang seketika untuk bersiap, jadi apabila kami di atas pentas, semua sudah berubah karakter. Selepas persembahan, kami akan kembali menjadi orang biasa, dan setakat ini, kebanyakan orang sukar untuk mengecam kami.

MAMY : Berdasarkan kenyataan yang diberikan, memang kalian ingin kekal misteri supaya tiada siapa tahu siapa kalian yang sebenarnya ya?

Ya, kami akan kekalkan identiti seperti ini sampai bila-bila kerana inilah konsep dan karakter kami. Sama seperti kita mula-mula mengenali Slipknot dulu yang susah sangat nak tahu muka sebenar masing-masing. Konsep macam itulah yang akan kami cuba buat selagi mana band ini berdiri.

Jarang untuk kita lihat pengkarya-pengkarya di Malaysia yang menggunakan identiti kedua sebagai jenama mereka. Dan kita boleh lihat HFP berani mengketengahkan gaya sebegini sebagai wadah untuk berkarya dan terus kekal misteri. Sekadar gimik atau jati diri? Apa yang pasti, mereka sahaja yang tahu. Sekarang, mari kita telusuri PSRD secara lebih mendalam.

Alter Ego yang tersendiri.

Dilancarkan secara rasmi pada Jun 2025, lagu ini menjadi lagu kedua mereka selepas pelancaran lagu “Starts From Here” yang dilancarkan sebulan sebelumnya. Lagu berentak laju ini sememangnya menimbulkan satu perasaan kagum apabila penulis mendengarnya buat kali pertama. Ikuti sambungan temu bual penulis untuk mengorek lagi cerita tentang lagu ini.

MAMY : Reaksi pertama saya bila mendengar lagu ini, saya suka sifatnya yang jelas, di mana pada pendapat saya dihasilkan dengan baik. Lagu ini dihasilkan oleh kalian sendiri, dan adakah dari segi adunan dan penerbitan juga sama?

Soalan yang bagus. Untuk lagu PSRD, ya, kami rekod sendiri, tetapi dari segi mixing dan mastering, kami hantar kepada Epul dari Bunkface Rockstation untuk mendapatkan sound yang lebih jelas, seimbang dan sedap. Jadi, hasil akhir yang semua orang dengar ini memang sentuhan jelas dari Epul. Bagi kami, kualiti final mixing dan producing itu adalah kunci yang sangat penting untuk sesebuah lagu, terutamanya bagi band underground seperti kami. Ini untuk menunjukkan kepada mainstream atau sesiapa sahaja yang beranggapan band underground tidak mempunyai sound atau final sound yang berkualiti dan bagus, bahawa mereka silap.

MAMY : Lagu ini secara ringkas menceritakan tentang apa dan berapa lama kalian ambil masa nak hasilkan material ini?

Inspirasi untuk lagu PSRD ini adalah dari lagu MCR – “Vampire Will Never Hurt You”, bertemakan kisah Vampire. Namun, kami tidak 100% merujuk kepada kisah Vampire dalam lagu ini. Ini lebih kepada simbolik kepada perwatakan sesetengah manusia. Maksudnya, ada manusia yang hidupnya banyak mengambil kesempatan ke atas orang lain, dan kesukaran untuk melepaskan diri daripada belenggu seseorang yang perangainya agak toksik. Ia lebih kepada toxic relationship di mana seorang perempuan yang ingin bebas tetapi pada masa yang sama dia masih menginginkan lelaki itu sehingga lelaki itu teringat-ingat akan perempuan tersebut.

 

Proses penulisan lagu ini mengambil masa dua bulan untuk mendapatkan kualiti seperti yang kita dengar di semua DSP (Digital Service Provider). Proses penulisan lirik juga diolah untuk disesuaikan dengan melodi. Riff gitar dan drum line juga diolah oleh setiap ahli mengikut idea dan kebolehan masing-masing. Sejujurnya, riff gitar sudah lama ada, dikarang oleh Zero, cuma proses lirik dan melodi baru sahaja dalam dua bulan lepas.

Sejujurnya, apabila mendengar lagu ini buat pertama kali, penulis sangat terkesima dengan penghasilannya yang begitu jelas, tidak terperap dan kedengaran ringan meskipun lagu ini bersifat berat. Lagu ini menang dari segi kualiti produksi dan penerbitan. Ini membuktikan kumpulan ini mengambil berat tentang kualiti produk muzik mereka. Penulis juga suka struktur lagu yang ditonjolkan dengan penguasaan dinamik dan tempo yang cantik.

Penulis juga memuji struktur riff gitar yang disokong dengan sulaman bass dan kehadiran sampler terutamanya sekali di bahagian verse awalan lagu ini. Corak yang menarik perhatian dan wajar diberi pujian. Namun begitu, penulis mengharapkan agar bunyi tersebut ditonjolkan lebih sedikit supaya prestasinya lebih sampai setara lagunya.

Percubaan kelantangan vokal juga harus diberikan pujian. Walaupun vokalnya kedengaran biasa untuk bahagian nyanyian, tetapi kesan screamo dalam lagu ini membantu untuk menyerikan lagi mood lagu ini. Kudos buat vokalis.

Satu perkara yang agak mengganggu penulis untuk lagu ini adalah kualiti bunyi dram yang kurang mencapai ekspektasi penulis. Bunyinya sedikit tidak menonjol terutama sekali pada penghasilan bunyi bass drum. Apapun ini hanya pendapat peribadi sahaja.

Sejajar dengan penerbitan lagu ini, HFP juga bakal menghasilkan EP sulung yang dijangka terbit pada penghujung tahun ini. Mereka turut berharap agar lagu ini diterima segenap lapisan masyarakat dan teruslah menyokong industri muzik Malaysia.

Akhir kata, teruslah berkarya dan ayuh tentang budaya celaka dalam industri!

Ikuti mereka di laman sosial rasmi :

Instagram : @hotforpreacher_my

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅