Pejuang Melayu-Mystic Death Metal, Langsuir, sebenarnya tidak pernah benar-benar berhenti menggegarkan pentas sejak jelajah Melayu-Mystic Peninsular Tour 2025 bermula awal tahun ini. Kini, menjelang separuh perjalanan, veteran Metal dari Perak ini (kini berpengkalan di Lembah Klang) bakal menyimpang seketika dari tour utama mereka.
Langsuir bakal menjadi headliner dalam showcase mereka, Malam Mistik Melayu yang bakal berlangsung pada 5 Julai 2025 di Sarang Bunyi Studio. Showcase ini merupakan sebahagian daripada siri Bumantara, dan judul “Malam Mistik Melayu” amat bertepatan sekali memandangkan Langsuir ialah antara pelopor utama gerakan Nusantara Metal yang menyatukan muzik berat dengan unsur mistik Melayu yang mendalam (dibangunkan bersama kumpulan seperti As-Sahar, Tasyim dan lain-lain sejak awal ’90-an).
Malam tersebut akan turut disuramkan oleh jelmaan Ruh Arasy (Nusantara Symphonic Deathcore) dan Tengku Hadhira (Nusantara Goth/Folk Pop), menjadikan malam tersebut satu ritual sonik budaya Melayu penuh kegelapan.
Acara ini juga bakal menjadi pentas tayangan perdana video muzik terbaru Langsuir, “Iradat Kematian” — dipetik dari EP mereka yang bakal dilancarkan. Ini juga merupakan video muzik rasmi pertama Langsuir dalam hampir dua dekad yang menandakan satu pencapaian besar dalam sejarah mereka.
Menurut Bentara (gitaris/komposer Langsuir):
“Sebab utama Malam Mistik Melayu diwujudkan cukup jelas: untuk lari dari kebiasaan. Selama 30 tahun, formatnya sama — kami datang show, main, dan balik. Jarang ada interaksi sebenar. Rasa dekat dengan crowd tu hilang. Tapi dengan showcase, suasananya berbeza — jumlah band sedikit, lebih dekat dengan crowd, lebih Santai, Death Metal-style. Malam Mistik Melayu bakal memberi nafas baharu pada muzik Langsuir dan nilai budaya Melayu itu sendiri. Kena datang sendiri untuk rasa. Ayuh berdansa!”
Zoul dari Sarang Bunyi Studio pula berkongsi mengenai siri Bumantara:
“Bumantara diwujudkan sebagai showcase yang bertujuan meletakkan satu band di pentas utama yang sebagai tanda yang mereka sebenarnya benar-benar layak dihormati, dinikmati dan dirai. Untuk Volume 16, kami pilih Langsuir sebagai penghormatan terhadap 34 tahun legasi mereka dalam scene underground Malaysia. Melalui kolaborasi ini, tema Malam Mistik Melayu yang digarap sepenuhnya oleh Langsuir, berjaya dijelmakan.”
Alami semangat Melayu-Mystic Death Metal yang akan dijampi oleh Langsuir. Tidurlah dalam ketakutan sebelum roh malam yang bergentayangan ini turun ke Kuala Lumpur, Julai ini. Bacalah serapahmu, bakarlah kemenyanmu, hunuslah kerismu — dan ayuh berdansa dalam satu malam mistik yang tidak akan dilupakan!
🎟️ Tiket boleh didapati di sini.