Asyraf Nasir Teroka Sisi Baharu Indie Pop-Rock Menerusi Single ‘Couple Things’ - Music Addicts Malaysia

Asyraf Nasir Teroka Sisi Baharu Indie Pop-Rock Menerusi Single ‘Couple Things’

oleh Music Addicts Malaysia
0 komen 9 bacaan

Selepas membina perjalanan muzik dalam landskap hip-hop tempatan, penyanyi rap dan penulis lagu dari Petaling Jaya, Selangor, Asyraf Nasir kini bersedia membuka lembaran baharu dalam karier seninya menerusi pendekatan muzik yang lebih segar apabila memilih untuk meneroka genre indie pop-rock.

Perubahan ini hadir selepas Asyraf mengambil keputusan meninggalkan sebuah label muzik perdana dan meneruskan perjalanan sebagai artis bebas. Langkah tersebut bukan sekadar memberikan ruang untuknya membentuk identiti muzik sendiri, malah membuka peluang untuk bereksperimen dengan arah kreatif yang selama ini ingin diterokainya.

Meskipun hip-hop menjadi antara identiti yang membentuk perjalanan muziknya sebelum ini, Asyraf tidak sepenuhnya meninggalkan akar tersebut. Sebaliknya, dia menggabungkan elemen indie pop-rock dengan aliran rap yang menjadi tanda pengenalannya, sekali gus menghasilkan pendekatan muzik yang mencerminkan perkembangan dirinya sebagai seorang pemuzik.

Minat mendalam terhadap muzik pop turut memainkan peranan dalam perubahan hala tuju ini. Selain bergelar penghibur, Asyraf juga mempunyai pengalaman sebagai penulis lagu merentas pelbagai genre. Kali ini, dia turut memberikan penekanan terhadap penggunaan instrumen secara langsung dalam proses rakaman serta persembahan pentas bagi menghasilkan karakter bunyi yang lebih organik.

Sebagai pengenalan kepada fasa baharu tersebut, Asyraf tampil dengan single berjudul ‘Couple Things’, yang dilancarkan pada 6 November lalu menerusi pelbagai platform penstriman digital.

Menariknya, ‘Couple Things’ turut memperlihatkan perubahan daripada segi bahasa apabila Asyraf memilih untuk menghasilkan karya sepenuhnya dalam bahasa Inggeris bagi keluaran terbaharunya ini.

Dari sudut konsep, lagu berdurasi tiga minit 45 saat itu membawa tema romantik yang cukup santai dan bersahaja. Ia berkisar tentang perasaan tertarik terhadap seseorang, termasuk perkara-perkara kecil yang menjadikan individu tersebut begitu istimewa, sama ada daripada segi penampilan fizikal, senyuman mahupun personaliti.

Liriknya menggambarkan usaha seseorang untuk menyampaikan pujian kepada insan yang diminati, dengan harapan perasaan tersebut mendapat balasan. Pendekatan penulisan yang ringan dan bersifat playful memberikan ‘Couple Things’ karakter tersendiri, selari dengan nuansa indie pop-rock yang diketengahkan.

Dari sudut pembikinan, lagu ini diterbitkan, dirakam, diadun dan dimasterkan oleh Zain, manakala penulisan lirik dikreditkan kepada Asyraf Nasir bersama Tasya Rickman.

Kemunculan ‘Couple Things’ menjadi titik permulaan kepada fasa baharu perjalanan muzik Asyraf Nasir yang kini lebih terbuka untuk meneroka bunyi dan pendekatan berbeza. Peralihan daripada hip-hop kepada indie pop-rock juga memperlihatkan kesediaannya untuk keluar daripada zon selesa tanpa mengetepikan elemen muzik yang telah membentuk identitinya selama ini.

Bagi Asyraf, perjalanan sebagai artis bebas kini membuka ruang untuknya menentukan sendiri arah muzik yang ingin dibawa, sekali gus memperkenalkan sisi artistik yang mungkin belum pernah diterokai sepenuhnya sebelum ini.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅