![]()
Selepas tiga edisi berlangsung di Lenggong, Perak, festival seni dan alam TAPAUfest bakal membuka lembaran baharu di Chongkak Park & Resort, Hulu Langat, Selangor pada 12 dan 13 Disember ini. Edisi kelapan yang dikuasakan oleh Tourism Selangor itu bakal menampilkan 12 artis dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand, termasuk Noh Salleh, The Panturas, Forests serta DOTDOTDOT.
Perpindahan ke Chongkak menandakan fasa baharu buat TAPAUfest selepas menjadikan Lenggong sebagai lokasi penganjuran sejak 2022. Meskipun berpindah lokasi, festival yang menggabungkan muzik, seni dan aktiviti alam semula jadi itu tetap mengekalkan identitinya dengan menawarkan pengalaman yang lebih dekat dengan komuniti serta persekitaran semula jadi.
Menurut Pengarah Kreatif TAPAUasia merangkap Pengarah Festival TAPAUfest, Ahmad Faris, pemilihan Chongkak turut membawa festival itu lebih dekat dengan lokasi asalnya di Lembah Klang.
“Setelah tiga edisi yang cukup istimewa di Lenggong, tiba masanya untuk fasa baharu. Chongkak membawa kita lebih dekat dengan tempat kami bermula di Lembah Klang. Kami tetap bawa pengalaman yang menyatukan seni dan alam, cuma kali ini sungai dan hutan jadi latar belakangnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Puan Chua Yee Ling berkata, sokongan terhadap penganjuran TAPAUfest 2026 mencerminkan komitmen pihaknya dalam memperkukuh sektor pelancongan dan ekonomi festival di negeri Selangor.
“Tourism Selangor berbesar hati untuk menyokong penganjuran TAPAUfest 2026 menerusi pemilihan lokasi penganjuran acara di Chongkak Park & Resort.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen Tourism Selangor dalam menggalakkan lebih banyak penganjuran festival dan konsert di negeri Selangor, sekali gus merancakkan ekonomi festival dan konsert serta membuka lebih banyak peluang kepada industri pelancongan tempatan.
“Selain menawarkan pengalaman hiburan, TAPAUfest juga merupakan platform terbaik untuk memperkenalkan keindahan alam semula jadi dan potensi pelancongan Gombak Hulu Langat Geopark, khususnya di kawasan Sungai Chongkak dan persekitarannya,” katanya.
TAPAUfest mencipta sejarah pada 2014 apabila menjadi festival pertama di Asia Tenggara yang dibiayai menerusi kaedah crowdfunding. Edisi maya pada 2021 pula memperkenalkan kugiran dari Indonesia dan Singapura buat pertama kali dalam sejarah penganjurannya.
Sementara itu, edisi ASEAN yang berlangsung di Lenggong tahun lalu menghimpunkan artis dari sembilan negara dan turut dinobatkan sebagai Best Festival dalam JUICE Best of 2025.
Barisan artis serantau meriahkan pentas Chongkak
TAPAUfest 2026 bakal menyaksikan gabungan nama daripada pelbagai latar muzik indie serantau. Antara tarikan dari Malaysia ialah Mafidz dan The Impatient Sisters yang akan bergabung sebagai satu kugiran menerusi persembahan kolaborasi khas yang disediakan untuk festival ini.
Turut menyertai barisan tempatan ialah Empty Page, kugiran dari Kuala Lumpur yang bermula dengan pengaruh pop-punk sebelum bergerak ke arah karya lebih melankolik, serta Straw dari Kota Kinabalu yang terkenal dengan penulisan lagu berkisar tentang alam sekitar dan isu sosial.
Aizat Amdan pula bakal tampil bersama rakan-rakannya, Bunga, Layla Sania dan Mohsein Kush menerusi sebuah persembahan istimewa yang dikuasakan oleh Tourism Selangor.
Dari Singapura, Forests bakal membuat kemunculan fizikal pertama mereka di pentas TAPAUfest selepas pernah menyertai edisi maya pada 2021. Kugiran tersebut turut mencipta pencapaian tersendiri apabila menjadi satu-satunya kumpulan dari Asia yang tersenarai dalam senarai 100 Greatest Emo Songs of All Time terbitan Vulture.
Turut kembali ke pentas TAPAUfest ialah The Panturas dari Indonesia yang membawa pengaruh surf rock. Selain mereka, barisan artis dari negara jiran itu turut diperkuatkan oleh Banda Neira, Thee Marloes dan Alkateri.
Banda Neira kembali dengan gandingan Ananda Badudu dan Sasha selepas melalui tempoh perpisahan yang panjang. Thee Marloes dari Surabaya pula menggabungkan pengaruh hip-hop, soul dan reggae, manakala Alkateri dari Bandung mengambil nama sempena sebuah jalan lama di kota tersebut.
Melengkapkan barisan antarabangsa ialah DOTDOTDOT dari Thailand. Kugiran yang diasaskan oleh Nick itu menggabungkan bunyi alat muzik tradisional Isaan seperti khaen dan phin dengan elemen drum and bass serta trip-hop.
Menutup tirai festival pada hari kedua ialah Noh Salleh yang akan tampil selama sejam bersama Restu Iboe Band. Sepanjang tahun lalu, vokalis Hujan itu aktif menerusi beberapa projek solo termasuk rakaman semula lagu “Sang Penikam” bersama Aina Abdul, lagu tema filem Tarung: Unforgiven berjudul “Terbang” serta kolaborasi bersama penyanyi Indonesia, Feby Putri menerusi “Senandung Harapan”.
Berikut merupakan jadual persembahan TAPAUfest 2026:
Sabtu, 12 Disember
- Mafidz x The Impatient Sisters (Malaysia)
- Banda Neira (Indonesia)
- Pemenang Battle of the Bands (Malaysia)
- DOTDOTDOT (Thailand)
- Empty Page (Malaysia)
- The Panturas (Indonesia)
Ahad, 13 Disember
- Forests (Singapura)
- Straw (Malaysia)
- Thee Marloes (Indonesia)
- Aizat Amdan & Friends (Malaysia)
- Alkateri (Indonesia)
- Noh Salleh (Malaysia)
Lebih daripada sebuah festival muzik
Selain persembahan di pentas utama PENTAS, TAPAUfest 2026 turut menyediakan pelbagai aktiviti yang menggabungkan seni, komuniti dan alam semula jadi menerusi beberapa segmen khas.
WARUNG & PASAR bakal menjadi ruang untuk pengunjung menikmati makanan dan minuman tempatan serta Nusantara, selain mendapatkan piring hitam, karya seni dan barangan daripada artis serta jenama indie tempatan. Segmen ini dikurasi oleh Bijou.
Bagi pengunjung yang berminat untuk meneroka dunia seni dan perkongsian ilmu, BENGKEL menyediakan ruang pembelajaran menerusi sesi perkongsian serta bengkel yang dikurasi oleh Crossing Kongsi.
Sementara itu, LAYAR yang dikurasi oleh Sinema Raya memberi peluang kepada pengunjung untuk menonton dan mengenali karya filem tempatan.
Elemen alam pula diteruskan menerusi KEMBARA yang menawarkan pelbagai aktiviti di sekitar sungai dan hutan Chongkak. Antara aktiviti yang dirancang termasuk perkhemahan, berbasikal, larian, yoga, canopy walk dan flying fox dengan penglibatan Santuy Travellers, Outsiders Cycleworks, Joy Run Division, Sesi Tikar Mengkuang serta Skytrex.
Tiket bermula RM158
Tiket TAPAUfest 2026 kini boleh didapati menerusi laman web rasmi www.TAPAUfest.asia sehingga 11 Disember ini.
Tiket General Weekend ditawarkan pada harga RM288, manakala tiket harian bagi Day 1 atau Day 2 berharga RM158. Tiket turut boleh dibeli di pintu masuk sepanjang festival berlangsung.
Bagi pengunjung yang ingin berkhemah di kawasan festival, tempahan tapak perkhemahan perlu dibuat secara berasingan menerusi Santuy Travellers.
TAPAUfest 2026 dikuasakan oleh Tourism Selangor, Visit Selangor 2026 dan Gombak Hulu Langat Geopark, serta mendapat sokongan Visit Malaysia 2026–2027.
Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, layari www.TAPAUfest.asia.




