Didasarkan oleh seorang anak muda yang dikenali sebagai Wan Umar Shahid Wan Ibrahim, beliau tampil bersama nama moniker yang digelar Sounds Of Kites. Seperti watak adiwira yang akan tampil berbeza setiap kali beraksi, apabila nama ini digunapakai sahaja, Shahid ternyata berjaya menjiwai watak untuk mengalunkan irama folk yang indah dan melayang ini.
Buat yang masih belum mengenali, Sounds Of Kites sebenarnya telah aktif beraksi dalam skena muzik tempatan terutamanya di sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sarawak, Johor malah di kota London juga turut bergema bakat nyanyian beliau sejak dari tahun 2015 lagi. Tambahan pula, pada tahun 2019 Sounds Of Kites juga pernah beraksi dalam salah satu tour di Jawa, Indonesia yang melibatkan 5 buah bandar dalam masa 5 hari bersama Azmyl Yunor(MY), Bayangan(MY) dan juga Hell Low(SG).
Debut album yang pernah diterbitkan pada tahun 2018 yang berjudul Remember Sycamore telah mendapat perhatian beberapa pihak dan impaknya diteruskan pada tahun 2022. Tahun ini menjadi bukti Sounds Of Kites bangkit dengan buah tangan terbaharu iaitu album berskala-penuh yang bertajuk Faceless Name. Album ini telah selamat berada di tatapan umum pada 15 April 2022 yang lepas.
Memuatkan sebanyak 10 buah lagu dan menampilkan kulit album yang ringkas, Faceless Name sarat dengan seni berat yang memungkinkan genre yang dibawakan Sounds Of Kites ini agak sukar ditemui dalam skena muzik Malaysia moden hari ini. Gaya irama bunyian folk yang dibawakannya ini dipasakkan bersama vokal bariton garau yang cukup-cukup jantan selain sebutan aksen Inggeris yang dibawakan dengan sangat baik. Album ini berjaya menambat hati penulis lalu membuatkan penulis hampir tidak percaya bahawa lagu-lagu di dalam album ini dinyanyikan oleh anak tempatan kerana kualitinya sangat mengagumkan. Teknik nyanyian bariton ini juga diakui selesa oleh Shahid sendiri. Selain menerima pengaruh dari otai folk seperti Richard Hawley, beliau juga mengambil inspirasi daripada Matt Berniger dari The National dimana nyanyian lagu melankoli dari Matt ini dapat dihidu emosi yang diadun bersama iaitu emosi amarah yang cuba disampaikan melalui lagu yang dinyanyikan.
Dari segi teknik nyanyian, aku rasa selesa nyanyi dengan range baritone aku ni. Grew up banyak dengar penyanyi UK Richard Hawley, dan bila aku nyanyi balik lagu dia, rasa selesa dan dapat projek dengan baik. So aku pun continue nyanyi dengan range baritone sejak 2015.
Naskah ini juga menampilkan beberapa buah lagu dalam Bahasa Melayu antaranya yang bertajuk Kau Hina, Tanah Ini Milikmu, dan Silap Siapa. Apa yang menarik, versi penuh bagi lagu Kau Hina hanya dapat didengari di dalam rilisan CD yang bakal dikeluarkan kelak. Shahid juga sempat berkongsi bersama penulis instrumen yang digunapakai dalam proses pembikinan album ini. Sound Of Kites juga sempat berkongsi bahawa permainan gitar yang dimuatkan dalam album ini telah menjadikan The Tallest Man On Earth dan juga Ben Howard sebagai kiblat rujukan beliau dek cara permainan dan alternate tuning yang agak berbeza daripada gitaris lain.
Dalam album Faceless Name ni, instrumen yang digunakan ialah 3 biji gitar (lain guitar, lain tuning ikut track) masuk lalu effect pedals, ada juga microkorg dalam track 7 Faceless Name, dan suitcase kickdrum dalam beberapa track juga. Oh dan samples yang aku collect over the years juga, digunakan dan selit masuk beberapa track. Semua track direkod, mix dan master oleh Shariman Suhaime dari band The Fatalis.
Jika ditanya penulis, peribadinya penulis gemar akan trek kedua yang berjudul Kamikaze Kid. Tidak tahu mengapa, lagu ini mengingatkan penulis kepada lagu-lagu nyanyian Eddie Vedder yang menjadi runut bunyi filem Into The Wild yang pernah ditayangkan pada tahun 2007 yang lalu. Namun berbeza bagi pengemudi album ini sendiri, Sounds Of Kites berpendapat album ini seakan sebuah rumah bagi segala emosi dan perasaan yang diluahkan dalam setiap lagu.
Secara asasnya, album ini merupakan sebuah rumah untuk segala emosi dan perasaan yang aku luahkan dalam setiap lagu. Macam lagu Kau Hina, aku berasa marah teramat apabila membaca berita tentang manusia-manusia yang pentingkan diri dan sanggup pijak orang lain. Lagu Faceless Name pula ditulis waktu aku berasa unimportant dalam dunia ni, dan aku terbayangkan muka aku pudar dan hilang apabila dikelilingi oleh ramai orang.
Jutaan tahniah diucapkan buat Sounds Of Kites kerana berani tampil dengan genre berbeza berbanding apa yang biasa didengari di Malaysia. Buat pendengar di luar sana, dapatkan rilisan CD yang akan keluar tidak lama lagi. Nantikan!
Skrol ke bawah untuk menyaksikan skor yang diperoleh bagi album ini.
Ikuti Sounds Of Kites dengan menekan pautan berikut: