Section Angkat Artis Independen Tempatan Menerusi Projek “50/50 Collaboration Collection” - Music Addicts Malaysia

Section Angkat Artis Independen Tempatan Menerusi Projek “50/50 Collaboration Collection”

oleh Music Addicts Malaysia
0 komen 25 bacaan

Jenama streetwear tempatan, Section, memperkenalkan inisiatif terbaharu mereka menerusi projek “50/50 Collaboration Collection”, sebuah siri kolaborasi merchandise bersama artis dan band indie tempatan yang bertujuan menyokong perkembangan scene muzik lokal yang semakin berkembang.

Menurut pengasas Section, idea projek tersebut lahir daripada pemerhatiannya terhadap budaya penghasilan merchandise artis tempatan yang dilihat masih belum berkembang secara menyeluruh walaupun mempunyai potensi besar sebagai sumber pendapatan tambahan buat para penggiat muzik.

“Visi utama projek ini adalah untuk memeriahkan semula scene merch-making local artist yang saya nampak agak suram. Kebanyakan artis hanya release merch ketika album atau tour sahaja, sedangkan merchandise merupakan salah satu cara terbaik untuk mereka menjana pendapatan,” katanya.

Beliau turut berharap budaya memakai merchandise artis tempatan dapat diperluaskan dalam kehidupan seharian dan tidak hanya terhad ketika menghadiri acara atau konsert muzik.

Fokus utama projek ini diberikan kepada artis indie dan underground, sesuatu yang menurut beliau sangat dekat dengan latar belakang peribadinya sebagai individu yang membesar dalam persekitaran muzik alternatif tempatan.

“Saya tumbuh dewasa dalam persekitaran muzik underground. Dari venue gig, acara percuma mahupun berbayar, semua itu adalah hidup saya. Sebab itu saya lebih memilih untuk utamakan artis underground dan indie berbanding artis arus perdana yang sudah mempunyai peluang pendapatan lebih besar,” jelasnya.

Beliau juga melihat perkembangan yang positif dalam landskap muzik tempatan hari ini, khususnya dari aspek kreativiti dan kematangan para penggiat seni.

“Gig sekarang semakin banyak diadakan setiap minggu di pelbagai tempat. Artis tempatan juga semakin matang dari segi taste muzik, visual dan creative direction. Festival muzik pun semakin rancak dengan konsep kolaborasi dan special set.”

Menariknya, projek “50/50 Collaboration Collection” bermula secara spontan ketika bulan Ramadan lalu apabila beliau mula menghasilkan beberapa rekaan sebagai aktiviti mengisi masa lapang.

“Saya masa tu bosan dan mula bermain-main dengan design. Bila tengok balik folder, rupanya dah banyak design siap. Jadi saya cuba post di IG Story untuk ajak collab. Tak sangka semuanya terus on.”

Bagi siri pertama projek ini, pemilihan artis dan band dilakukan berdasarkan citarasa muzik peribadinya tanpa menetapkan sebarang kriteria khusus.

Melalui konsep “50/50 Collaboration Collection”, keuntungan hasil jualan t-shirt akan dibahagikan sama rata antara artis dan pihak Section. Inisiatif ini diwujudkan sebagai usaha membantu artis mendapatkan sumber kewangan tambahan untuk meneruskan proses kreatif mereka.

“Harap keuntungan ini sedikit sebanyak dapat membantu artis dari segi kos recording, mixing atau mastering. Mungkin tak banyak, tapi saya harap ia boleh membantu mereka terus berkarya.”

Dalam masa sama, beliau mengakui antara cabaran terbesar yang sedang dihadapi artis indie ketika ini ialah lambakan acara melibatkan artis luar negara serta perkembangan penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas dalam industri kreatif.

Beliau turut menyeru komuniti kreatif dan peminat muzik tempatan agar terus memberikan sokongan kepada karya-karya artis lokal demi memastikan ekosistem muzik tempatan terus berkembang.

“Komuniti local sebenarnya masih bernyawa, cuma belum cukup meluas. Walaupun sekarang banyak lambakan acara artis luar negara, artis tempatan kita masih aktif release lagu baru, local EO masih buat gig dan venue gig masih bertahan. Yang kurang menarik hanyalah jumlah sokongan.

 

“Buat mereka yang masih berjuang, terima kasih. Dan buat orang di luar sana, local artist kita juga ada bagusnya.”

Buat masa ini, Section merancang untuk memberi fokus sepenuhnya kepada projek “50/50 Collaboration Collection” sebelum mempertimbangkan kerjasama dengan lebih ramai artis tempatan pada masa hadapan sekiranya inisiatif tersebut menerima sambutan positif daripada komuniti muzik tempatan.

Untuk pra-pesan, boleh ke Instagram Section dan klik pada link di bio mereka.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅