Noh Salleh Anggap Cadenza of the Soul Penghormatan Tertinggi Aubrey Suwito Buatnya - Music Addicts Malaysia

Noh Salleh Anggap Cadenza of the Soul Penghormatan Tertinggi Aubrey Suwito Buatnya

oleh Music Addicts Malaysia
0 komen 15 bacaan

Menjelang Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra pada 8 November ini, ada banyak debaran yang dirasakan oleh solois, vokalis dan composer berprolifik, Noh Salleh.

Salah satunya, akui Noh, konsert orkestra tersebut memberi signifikan yang tersendiri dalam karier 20 tahun miliknya.

Noh, 41, menyifatkan penglibatannya dalam konsert Cadenza of the Soul sebagai satu penghormatan besar daripada pengarah muzik tersohor, Aubrey Suwito selain memberi makna tersendiri kerana beliau melihatnya sebagai pengiktirafan terhadap perjalanan muzik yang dibina selama ini.

Bagi Noh, perkara paling penting bukan sekadar mempersembahkan lagu-lagunya dalam iringan orkestra, sebaliknya memastikan susunan muzik itu tidak menenggelamkan karakter yang menjadikan dirinya dikenali sebagai seorang pemuzik.

Malah, Noh mendedahkan Aubrey mahu mengekalkan sentuhan muziknya yang mempunyai pengaruh French pop, sambil memperkayakan persembahan menerusi susunan orkestra yang sesuai.

“Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra adalah sebuah penghormatan tertinggi buat saya kerana Aubrey Suwito yang saya segani datang dan melahirkan idea ini kepada saya.

 

“Aubrey datang kepada saya dan beliau beritahu tidak mahu kehilangan sentuhan seperti konsert saya sebelum ini. Beliau masih mahukan Noh Salleh yang mempunyai elemen French pop, tetapi dengan orkestra yang tidak mengganggu identiti saya,” ujarnya.

Noh ditemui sempena persiapan menjelang konsert yang dijadual berlangsung di Idea Live Arena, Kuala Lumpur pada 8 November ini.

Tambah Noh lagi, kepercayaan itu membuatkan Noh melihat tawaran berkenaan sebagai satu bentuk penghormatan yang cukup tinggi dalam perjalanan seninya.

Bagi Noh, pendekatan Aubrey membuktikan bahawa perubahan skala muzik tidak semestinya memerlukan seseorang artis meninggalkan identiti asal, sebaliknya boleh membuka ruang untuk sisi berbeza dirinya diteroka dengan lebih mendalam.

Dan untuk itu, Noh mengatakan dia memasang impian untuk menjadikan konsert sedemikian sebagai acara tahunan.

Namun pelantun Angin Kencang itu mengakui bukan mudah untuk memastikan konsert yang mahudijadikan acara tahunan itu terus tampil dengan kelainan, terutama apabila setiap persembahan perlu menawarkan sesuatu yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

“Saya cuba untuk buat konsert ini menjadi sesuatu yang tahunan. Tetapi perjuangannya adalah untuk memastikan setiap tahun ada kelainan daripada tahun sebelumnya. Ini percubaan kedua untuk mengadakan konsert Noh Salleh.

 

“Biasanya persembahan Noh Salleh lebih bersifat akustik dengan sebuah band. Saya juga ada sisi muzik yang lebih besar dan berkelas, tetapi sebagai pemuzik, kita sentiasa bergelut untuk menunjukkan  kita boleh menjadi lebih baik daripada tahun sebelumnya,” katanya lagi.

21 lagu, Aina Abdul & Siti Nurhaliza

Berbicara lanjut mengenai konsert pada malam tersebut, Noh memberitahu bakal menyampaikan sekitar 21 buah lagu yang telah menerima sentuhan magis bersama Aubrey.  Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra juga bakal menyaksikan Noh berkongsi pentas bersama rakan kolaborasinya menerusi hit Sang Penikam, Aina Abdul.

Selain Aina, Noh mengakui sangat mendambakan kehadiran Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai penyanyi jemputan yang akan menjadikan Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra sebuah perayaan yang luar biasa.

Ujar Noh, ia bukan soal keunggulan dan populariti Siti namun merupakan sebuah penghormatan buat dirinya kepada biduanita negara yang pernah memberi kesempatan buatnya dalam beberapa persembahan beliau termasuk menjadi penyanyi undangan di Konsert Legacy 30 Tahun Siti Nurhaliza, Januari lalu.

“Saya sedar siapalah Noh Salleh mahu Siti Nurhaliza ikut serta di Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra. Tapi itu memang impian bukan kerana beliau tidak pernah melupakan saya dalam banyak kegiatan seni termasuk konsert besarnya.

 

“Jadi dalam banyak keadaan saya memang akan dahulukan Siti Nurhaliza, ia umpama sebuah Tindakan sopan dari saya.

 

“Misalnya jika beliau setuju, saya beri ‘dulang lagu’, minta dan beri kebebasan beliau pilih sendiri lagu apa yang mahu dinyanyikan,” ujarnya seraya ketawa.

Dianjurkan bersama Altus Prohouse dan CK Star Entertainment, Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra bakal menjadi konsert kedua buat vokalis itu dalam format orkestra secara solo.

Noh pernah muncul dengan konsert solo orkestra bersama MPO di Dewan Philharmonik Petronas pada November tahun lalu.

Kategori tiket dengan harga RM188 (CAT 3), RM268 (CAT 2), RM368 (CAT 1), RM488 (VIP), RM588 (VVIP & SESI ‘MEET & GREET), RM788 (TWIN SEAT, SUITE ROOM 1-4) untuk menikmati Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra di Idea Live Arena masih boleh didapatkan di www.ticket2u.com.my atau www.fantopia.io.

 

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅