
Selepas edisi sulungnya, Steel Vortex Thrash Fest kembali menerusi edisi kedua yang menghimpunkan 11 kugiran Thrash dan Extreme Metal dari Malaysia serta Indonesia. Dianjurkan oleh Goatlordth Records, STEEL VORTEX THRASH FEST VOL. 2 bakal berlangsung pada 31 Oktober 2026 di Petai Belalang, Kuala Lumpur bermula pukul 2 petang.
Barisan tahun ini menampilkan Nattmaran (Black/Thrash Metal) dan Demon Sacrifice (Black Metal/Punk) dari Indonesia. Wakil Malaysia pula terdiri daripada 302 (Death/Thrash Metal), Militant Attack (Thrash Metal), Bömbshell (Speed Metal/Punk), Langgar Lari (Thrashcore), Oxidicide (Thrash Metal/Crossover), Secret Agenda (Groove/Thrash Metal), Swindle (UK82/Hardcore Punk), Argonist (Death/Thrash Metal) serta Puakerysm (Thrash Metal).
Pengasas Goatlordth Records, Aizat Rosebi berkata, pihaknya berbesar hati dapat kembali menganjurkan festival itu tahun ini dengan barisan kugiran yang lebih mantap, mewakili antara nama terbaik dalam arena Thrash dan Crossover di Asia Tenggara.
“Kami berbesar hati dapat kembali tahun ini dengan barisan kugiran yang lebih mantap, mewakili antara nama terbaik dalam arena Thrash dan Crossover di Asia Tenggara. Tahun ini, apa lagi yang tinggal selain memastikan mosh pit kita lebih besar!” katanya.
Menurut Aizat, festival itu turut menjadi ruang untuk peminat berkenalan dengan kugiran baharu serta membina hubungan sesama komuniti muzik ekstrem tempatan dan serantau.
“Datanglah lepak, kenali band-band baharu yang mungkin menjadi kegemaran korang dan cari kawan baharu dalam mosh pit. Anggaplah festival ini sebagai pertemuan peminat yang berkongsi minat sama, daripada pelbagai cabang muzik Thrash, untuk bersantai dan berseronok sambil menikmati muzik yang bingit dan agresif. Memang tak ada yang lebih baik daripada itu,” katanya.
Selain persembahan muzik, festival kali ini turut menyaksikan kepulangan BATTLE JACKET SHOWDOWN, segmen sampingan yang diperkenalkan pada edisi tahun lalu hasil kerjasama Goatlordth Records dan Dissecting the Euphony.
Menggabungkan elemen pertunjukan fesyen dengan dokumentasi budaya underground, segmen itu menggalakkan pengunjung hadir dengan battle jacket atau vest masing-masing untuk berpeluang memenangi hadiah daripada penaja, termasuk Rock At Large Distro, Let’s Coopi Roaster dan w/sub Zine.
“Datang dengan battle jacket atau vest terbaik korang. Barulah Thrash!” tambah Aizat.
Steel Vortex Thrash Fest Vol. 2 bakal berlangsung pada 31 Oktober 2026 di Petai Belalang, Kuala Lumpur bermula pukul 2 petang. Tiket kini boleh didapati menerusi saluran jualan penganjur.