FUGŌ Lancar Suci Mahsuri, Nukilan Cinta Seorang Bapa Buat Puterinya - Music Addicts Malaysia

FUGŌ Lancar Suci Mahsuri, Nukilan Cinta Seorang Bapa Buat Puterinya

Single kedua tahun ini mengangkat kisah kelahiran anak sulung pemain bass Kayrol Ami, selain memberi gambaran hala tuju muzik kumpulan itu menjelang album studio kedua pada 2027.

oleh Music Addicts Malaysia
0 komen 13 bacaan

Kumpulan Nu-Vintage dari Kuala Lumpur, FUGŌ, melancarkan single terbaharu berjudul Suci Mahsuri, yang menjadi karya kedua mereka bagi tahun ini selepas Izinkan Aku.

Dikenali menerusi karya yang meneroka tema di luar kebiasaan, FUGŌ sebelum ini mencuri perhatian menerusi lagu Pentas Sandiwara, yang mengangkat dilema manusia berdepan dunia penuh gangguan dan keseronokan sementara. Sementara itu, Izinkan Aku menyentuh hubungan seseorang dengan Sang Pencipta.

Menerusi Suci Mahsuri, FUGŌ memperlihatkan sisi yang lebih peribadi apabila lagu berkenaan didedikasikan khas buat anak sulung pemain bass dan vokal latar mereka, Kayrol Ami, yang turut berkongsi nama dengan single tersebut.

Lagu tersebut dimulakan dengan rakaman celoteh Suci Mahsuri sendiri sebelum berkembang menjadi sebuah nukilan cinta seorang bapa buat puterinya. Dibaluti melodi yang menyentuh hati dan menyimpan sinar harapan, karya ini turut menzahirkan rasa syukur mendalam atas kurniaan daripada Allah selepas melalui perjalanan menantikan cahaya mata yang panjang serta penuh dugaan.

Kayrol Ami, yang turut bertanggungjawab menulis lirik lagu berkenaan, berkongsi detik yang menjadi inspirasi kepada pembukaan Suci Mahsuri.

“Saya berada di wad bersalin ketika isteri saya sedang melahirkan Suci Mahsuri, tetapi saya hanya dibenarkan berada di sebalik tirai. Saat saya dengar tangisan pertamanya, hanya Allah yang mengetahui perasaan saya ketika itu. Detik itulah yang menjadi inspirasi kepada baris-baris pembukaan lagu ini,” katanya.

Dari segi muzik, Suci Mahsuri meneruskan kesinambungan bunyi yang diperkenalkan menerusi Izinkan Aku, sekali gus memberikan gambaran lebih jelas tentang hala tuju muzik FUGŌ menjelang pelancaran album studio kedua mereka yang dijadualkan pada pertengahan 2027.

Dalam mempromosikan single terbaharu ini, FUGŌ memilih pendekatan berbeza apabila mempersembahkannya buat pertama kali di konsert istimewa Panggung Sandiwara: FUGŌ & Midnight Fusic di Odeon KL pada 17 Oktober lalu.

Konsert double-bill yang mendapat sambutan hangat itu menjadi pentas sulung buat lagu Suci Mahsuri, yang kemudiannya dipersembahkan secara penuh pada malam menjelang pelancaran rasminya di platform penstriman digital.

Selepas berakhirnya konsert tersebut, penghujung 2026 dijangka menjadi tempoh yang menarik buat FUGŌ, meskipun perjalanan mereka pada separuh pertama tahun ini bermula agak perlahan.

November bakal menyaksikan beberapa perkembangan penting, termasuk kemunculan mereka menerusi persembahan istimewa RANGKAIAN FUGŌ di festival Ultra Kalcer Malaysia 2026. Persembahan itu pastinya dinantikan peminat dan pengkritik yang ingin melihat apa yang bakal dibawakan kumpulan berkenaan.

FUGŌ turut dijadualkan membuat persembahan di Ejen Ali in Concert dengan membawakan Some Other Day, lagu sumbangan mereka untuk runut bunyi filem Ejen Ali The Movie 2, bersama-sama sebuah orkestra penuh.

Satu lagi pencapaian penting FUGŌ tahun ini ialah kemenangan di Anugerah Lagu Indie 2025 baru-baru ini. Lagu hit mereka, Pentas Sandiwara, berjaya merangkul anugerah pilihan peminat, Anugerah Carta Indie Kita (CIK) Terpaling Platinum.

Single Suci Mahsuri kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 23 Oktober 2026. Video lirik rasmi lagu itu pula akan dilancarkan menerusi saluran YouTube rasmi FUGŌ pada hari yang sama, jam 9 malam.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅