Tiga Dekad Berlalu, Hijjaz Buktikan Nasyid Masih Relevan - Music Addicts Malaysia

Tiga Dekad Berlalu, Hijjaz Buktikan Nasyid Masih Relevan

oleh Music Addicts Malaysia
0 komen 41 bacaan

 

Oleh: Ayu Nadirah


Ada lagu yang kita dengar sekali, kemudian hilang begitu saja. Tapi ada juga lagu yang walaupun dah berpuluh tahun berlalu, bila dimainkan semula, kita masih boleh ikut menyanyi dari awal sampai habis. Itulah antara keistimewaan lagu-lagu Hijjaz yang terus dekat di hati pendengar, tak kira generasi.

Baru-baru ini, saya berkesempatan menghadiri Konsert Hijjaz 3 Dekad Rindu Sumayyah di Istana Budaya. Kalau anda membesar dengan lagu-lagu nasyid era 90-an dan awal 2000-an, malam itu memang terasa macam satu perjalanan kembali ke zaman yang penuh kenangan!

Dari Fatamorgana ke Sumayyah, semuanya kita layan

Sepanjang konsert, Hijjaz membawakan sebanyak 30 buah lagu, termasuk beberapa medley yang menggabungkan lagu-lagu popular mereka. Memang banyak lagu yang kita kenal dan boleh ikut menyanyi bersama.

Antara yang mencuri perhatian saya tentulah Fatamorgana, lagu yang mengingatkan kita tentang kehidupan dunia yang sementara. Lagu lain seperti Dia Kekasih Allah, Pelita Hidup, Puteriku Sayang, Kau Sahabat Kau Teman dan Rasulullah pula membawa kita kembali kepada mesej kasih sayang, persahabatan dan kecintaan kepada Rasulullah SAW.

Tak dilupakan juga Berkorban Demi Cinta, Sifat Mahmudah, Meniti Mimpi dan Sunnah Orang Berjuang yang mempunyai identiti tersendiri dalam perjalanan muzik Hijjaz.

Menariknya, konsert ini bukan sekadar tentang menyanyikan semula lagu-lagu lama. Ia juga mengingatkan kita bahawa nasyid boleh menjadi medium untuk menyampaikan nilai murni dengan cara yang dekat dengan kehidupan seharian.

Bila lagu-lagu ini dimainkan semula, terasa betapa kuatnya memori yang tersimpan di sebalik setiap melodi. Ada lagu yang mengingatkan kita kepada zaman sekolah, ada yang membawa kita kembali kepada kenangan bersama keluarga dan ada juga yang membuatkan kita berhenti seketika untuk bermuhasabah.

Mungkin itulah sebabnya lagu-lagu Hijjaz masih menjadi pilihan ramai sehingga ke hari ini, malah ada yang turut tular di platform media sosial hingga mampu menarik minat golongan muda masa kini. Menurut saya, walaupun muzik berubah mengikut peredaran zaman, mesej yang dibawa tetap relevan.

Aeman, Mestica, UNIC dan Inteam turut memeriahkan pentas

Lebih menarik, malam tersebut turut menampilkan kumpulan Aeman, Mestica, UNIC dan Inteam yang sama-sama mempunyai tempat dalam perjalanan muzik nasyid tempatan. Kumpulan Aeman yang dahulunya terkenal sewaktu mereka kanak-kanak, membuat rata-rata penonton kagum melihat semua ahlinya sudah dewasa. Lagu Buatmu Ibu yang disampaikan mengundang rasa sayu dan mengingatkan kita kepada pengorbanan seorang ibu.

Malah kumpulan Hijjaz Junior juga berjaya membawakan kelainan. Mereka ini terdiri daripada bakat muda yang merupakan anak-anak kepada ahli kumpulan Hijjaz sendiri.

Kehadiran kumpulan nasyid ini menambahkan lagi rasa nostalgia, apatah lagi apabila lagu-lagu daripada kumpulan yang berbeza ini mengingatkan kita kepada zaman nasyid pernah menjadi antara muzik yang sangat dekat dengan kehidupan masyarakat.

Bagi saya, inilah antara perkara yang menjadikan konsert seperti ini istimewa. Ia bukan hanya meraikan perjalanan sebuah kumpulan, tetapi turut menghidupkan kembali kenangan terhadap satu era muzik yang pernah menyatukan ramai pendengar.

Dan apabila tiba lagu Sumayyah, yang juga menjadi judul konsert ini, terasa seperti satu penutup yang cukup bermakna untuk meraikan perjalanan Hijjaz selama tiga dekad.

Apa harapan untuk industri nasyid?

Melihat sambutan terhadap lagu-lagu yang sudah berusia puluhan tahun ini, saya rasa industri nasyid masih mempunyai ruang yang besar untuk terus berkembang.

Kita tahu dunia muzik hari ini sangat berbeza. Pendengar mempunyai banyak pilihan, trend berubah dengan pantas dan lagu-lagu baharu bersaing untuk mendapatkan perhatian di platform digital. Namun, itu tidak bermakna nasyid perlu kekal dengan pendekatan yang sama seperti dahulu.

Sebaliknya, mungkin inilah masanya untuk lebih banyak karya nasyid diperkenalkan dengan susunan muzik yang segar, pendekatan kreatif yang dekat dengan anak muda dan mesej yang relevan dengan cabaran kehidupan masa kini.

Dalam masa yang sama, identiti nasyid itu sendiri perlu terus dipelihara. Kekuatan genre ini bukan hanya terletak pada melodi yang mudah diingati, tetapi juga pada lirik yang membawa makna, menyentuh hati dan mengajak pendengar menjadi insan yang lebih baik.

Harapannya, akan ada lebih banyak kolaborasi antara kumpulan nasyid senior dengan bakat-bakat baharu supaya warisan ini tidak terhenti pada satu generasi sahaja. Mana tahu, lagu-lagu yang pernah kita dengar daripada kaset, CD atau radio suatu ketika dahulu akan terus dikenali oleh anak-anak kita nanti, bukan sekadar kerana nostalgia ibu bapa mereka, tetapi kerana mereka sendiri jatuh cinta dengan mesej dan muziknya.

Tiga dekad berlalu, tetapi rindunya masih ada

Konsert Hijjaz 3 Dekad Rindu Sumayyah mengingatkan saya bahawa ada karya yang tidak perlu sentiasa mengikut trend untuk kekal relevan. Kadangkala, yang membuatkan sesebuah lagu terus hidup bukanlah kerana muziknya paling moden atau melodinya paling popular, tetapi kerana ada sesuatu dalam lagu itu yang melekat pada hati pendengar. Dan itulah yang saya rasa tentang lagu-lagu Hijjaz. Tiga dekad berlalu, tetapi lagu-lagu mereka masih mempunyai tempatnya sendiri.

Semoga perjalanan Hijjaz terus menjadi inspirasi kepada penggiat nasyid lain untuk menghasilkan karya yang bukan sahaja sedap didengar, tetapi turut meninggalkan kesan yang baik kepada pendengar.

 

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅