Kasar, garang, dan berkarisma. Itulah ungkapanku ketika kali pertama mendengar rilisan sulung Nightjar iaitu EP Nightcrawler.
Dilancarkan pada 21 Disember 2023, Nightjar sememangnya dinanti ramai pendengar muzik hardcore punk dan mereka seperti melaksanakan modus operandi easy to listen, easy to approach. Formasi ini bukan sekadar melancarkan EP ini secara digital namun turut mengeluarkan versi fizikal berbentuk piring hitam 7 inci yang terhad kepada 200 salinan di bawah label punk tempatan, Bollocks Records dan Resolve Records pada 29 Disember 2023.
Sedikit pengenalan; Nightjar dibentuk pada tahun 2020 dan berasal dari Kuala Lumpur. Mereka terdiri daripada empat orang pemuzik iaitu Jimmy Idris (vokal), Sam Pangkers (gitar), Ijam (dram) dan Afnan 48V (gitar). Menurut Jimmy, selain dengan niat untuk berkarya, tujuan mereka mengeluarkan EP ini adalah untuk have fun dengan lagu-lagu short, fast, and loud selain bereksperimentasi dengan lirik-lirik berunsurkan politik dan perjuangan kendiri. Kandungan lirik juga antara perkara yang ditekankan dalam rilisan ini.
Sebenarnya, tujuan kami hasilkan EP ini adalah untuk mendokumentasi lagu-lagu yang kami cipta setelah mengadakan beberapa sesi jamming semasa PKPB yang berlangsung ketika pandemik baru-baru ni. Ye lah, dah habiskan banyak masa jamming, baik kami buat recording, kan?
Apa yang bermain di fikiran saya adalah saya ingin hasilkan sound yang agak ganas, tapi juga melodik pada masa yang sama. Kalau didengarkan, Nightcrawler ada unsur hardcore, thrash, metal, hasil daripada pelbagai genre dan band yang kami gemar. Dari segi teknikal pula, kami suka adakan banyak “attacks” dalam alunan drumming, dan juga guitar riffs yang agak catchy.
Bermula dengan trek pembuka; Theocracy, liriknya jelas memberontak menentang campur tangan terhadap kebebasan peribadi atas nama agama. Mula-mula sahaja dah panas kepala sebab trek ini bakal menunjukkan keseluruhan amarah yang disimpan. Kerja gitar yang bagus, permainan instrumen yang mudah didengari dan semestinya vokal Jimmy yang serak-serak membuatkan aku menggangguk kepuasan. Pecah juga bila digabungkan sedikit blast beat. Kemudiannya terus ke trek Fuck Corporate Hardcore, We’ll Show You How yang merupakan sebuah cover lagu Suicide Me Not!. Buat yang tidak tahu, sebelum lahirnya Nightjar, Suicide Me Not! merupakan kugiran yang pernah menghiasi industri circa 2003 – 2007. Trek ini mengolok-olok personaliti yang berlagak dan sikap hipokrit dalam dunia hardcore.
Seterusnya, trek yang menjadi single pertama mereka, Kau Bukan Bossku yang menceritakan tentang rasuah politik, perpecahan antara kaum dan penyalahgunaan kuasa. Trek ini memang power dan aku sempat membayangkan jika lagu ini dimainkan di Rumah Api, pastinya membuatkan semua penonton tidak tentu arah. Lagu Being Broke Is So Much Fun mengeksplorasi cabaran-cabaran dalam menghadapi kemiskinan di bawah sistem yang korup yang memelihara ketidakadilan. Aku boleh cakap lagu ini penuh pakej dari pelbagai sudut sebagai sebuah produk hardcore punk.
Trek seterusnya, Nightcrawler menggambarkan seorang watak yang terputus dari dunia dan terganggu oleh masa lalu yang tidak menentu. Lagu berdurasi 4 minit 8 saat ini boleh dikatakan tunjang utama EP dan aku sudah mula menyukai kualiti seperti ini. Catchy sungguh trek ini dari aspek permainan instrumen dan untuk vokal pula, memang power gila. Penutup EP ini adalah Agent Orange yang membawa kritikan tajam tentang kerosakan dihasilkan oleh peperangan kimia. Sejujurnya mereka pandai membawa banyak elemen dalam EP ini dan Agent Orange merupakan penutup yang bagus.
Konklusinya, EP Nightcrawler telah membawaku ke satu fasa lain dalam skena muzik hardcore. Mungkin ada yang akan mengatakan lagu sebegini banyak kugiran dah bawa, namun pada pendapat aku Nightjar berjaya menawan hati aku dan aku yakin mereka telah cuba sehabis baik untuk membuktikan muzik sebegini bukan jahat.
Dari segi sound, kami juga bernasib baik dapat collaborate dengan gitaris kami Afnan48V, yang semasa proses rakaman, belum lagi join band dan hanya berkhidmat sebagai main sound Engineer yang merakam, mix, dan master EP ini. Beliau juga seorang peminat metal yang pernah belajar di School of Audio Engineering (SAE) di UK dan mempunyai recording equipment sendiri.
Dari segi “texture” rakaman pula, mungkin bagi golongan sesetengah pendengar, ia agak kasar dan agresif, tetapi ia masih lagi boleh dikira sebagai “clean” bagi scene Hardcore Punk yang lebih gemar dengan bunyian yang “raw” seperti yang popular ketika zaman 80an.
Mungkin ada dalam kalangan band yang inginkan sound bersih bagi memenuhi citarasa pendengar dan market yang tersendiri, mungkin sound yang clean dapat menaikkan “pop appeal” dan nama mereka di arena mainstream, tapi dalam hal ini Nightjar tak kisah sebab itu bukan objektif band ini.
Jimmy juga turut memberitahu bahawa mereka kini fokus untuk bergerak secara perlahan-lahan dengan bermain gig bila mendapat undangan dan mencipta lebih banyak lagu untuk mengembangkan set list dan diskografi mereka.
Di samping itu, mereka juga sedang dalam proses penjualan piring hitam (terhad kepada 200 salinan sahaja) yang dijual dengan harga yang cukup marhaen iaitu RM40 sahaja, dan dalam masa sama juga dalam proses menghasilkan merchandise lain seperti t-shirt, tote bag, dan sebagainya untuk membantu kelangsungan band ini.
Ikuti Nightjar di: