FUGŌ Kembali dengan “Izinkan Aku,” Sebuah Pengembaraan Spiritual Penuh Makna - Music Addicts Malaysia

FUGŌ Kembali dengan “Izinkan Aku,” Sebuah Pengembaraan Spiritual Penuh Makna

oleh Music Addicts Malaysia
0 komen 375 bacaan

Kumpulan indie-pop dari Kuala Lumpur, FUGŌ, kembali dengan single terbaharu berjudul “Izinkan Aku”, sebuah karya yang mengangkat tema refleksi spiritual dan pencarian makna di sebalik cinta serta nikmat kehidupan.

Dikenali kerana keberanian mereka meneroka tema yang tidak konvensional menerusi karya-karya terdahulu seperti “Pentas Sandiwara”, FUGŌ sekali lagi tampil dengan pendekatan yang mendalam menerusi lagu baharu ini. Jika “Pentas Sandiwara” menyentuh dilema kehidupan dunia yang penuh dengan senda gurau dan kepura-puraan, “Izinkan Aku” pula membawa pendengar menyusuri perjalanan antara sifat manusia yang mudah alpa dan kasih Tuhan yang tidak berpenghujung.

“Izinkan Aku” mengisahkan seseorang yang hanyut dalam kesibukan serta gangguan dunia sehingga perlahan-lahan melupakan sumber cinta yang sebenar. Melalui pelbagai emosi, keterikatan yang sementara dan nikmat kehidupan yang datang dan pergi, lagu ini mengetengahkan kesedaran bahawa ketenangan yang ditemukan dalam cinta dunia hanyalah bayangan kecil kepada sesuatu yang jauh lebih agung dan kekal abadi.

Menurut vokalis utama dan penulis lagu FUGŌ, Hakim Kamal, inspirasi lagu tersebut lahir daripada pengalaman emosi yang dekat dengan ramai insan.

“Inspirasi lagu ini lahir daripada rasa syukur, penyesalan dan kerinduan seorang hamba yang akhirnya menyedari bahawa setiap cinta di dunia ini yang membawa ketenangan hanyalah pantulan kecil daripada cinta abadi Sang Pencipta,” katanya.

Dari sudut muzik, “Izinkan Aku” menggabungkan tekstur nostalgia dengan elemen melodi dan bunyian kontemporari yang terus memperkukuhkan identiti indie-pop FUGŌ. Pendekatan itu sering digambarkan oleh pemain multi-instrumen kumpulan tersebut, Fai, sebagai “Nu-Vintage” iaitu satu bentuk nostalgia terhadap sesuatu yang sebenarnya tidak pernah wujud.

Dengan penceritaan yang intim dan susunan muzik yang ekspresif, lagu ini membuka ruang kepada pendengar untuk merenung serta menghayati keikhlasan emosi yang disampaikan.

Pelancaran “Izinkan Aku” hadir ketika FUGŌ terus menikmati momentum positif selepas beberapa pencapaian penting sejak pelancaran album sulung mereka, “99”, pada tahun 2024. Antara pencapaian tersebut termasuk kejayaan menjayakan siri jelajah mini di Indonesia pada tahun 2025, penglibatan dalam runut bunyi animasi blockbuster “Ejen Ali The Movie 2” menerusi lagu “Some Other Day”, serta pencalonan dalam kelompok Top 5 Anugerah Industri Muzik ke-24 bagi kategori Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik.

Menerusi “Izinkan Aku”, FUGŌ sekali lagi membuktikan kemampuan mereka menghasilkan karya yang bukan sahaja memikat dari sudut muzik, malah mengajak pendengar untuk menilai semula hubungan mereka dengan diri sendiri, dunia dan Sang Pencipta.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅