
Muzik dan fesyen bergerak seiringan di konsert Search Endemik. (Kredit: Hazmil Japilus)
Dalam satu video promo untuk konsert Endemik baru-baru ini, Arthur Kam menjawab soalan wartawan mengenai persediaannya dengan jawapan, “Aku rasa sangat gementar. Umur aku separuh daripada mereka!”
Mengapa Arthur perlu gementar sedangkan beliau baru berumur 31 tahun, punya stamina yang mantap dan antara pemain dram generasi baharu terbaik Malaysia? Jawapannya adalah aura, persona pentas dan status legendari empat sosok yang berada di hadapannya pada malam 4 dan 5 Jun 2022.
Amy (64), Man Kidal (59), Hillary Ang (60) dan Nasir (63) membuktikan umur bukan penghalang untuk terus rock sekaligus meninggalkan impak magis dan manis kepada ribuan peminat mereka sepanjang dua hari konsert Endemik berlangsung.

Nasir, Hillary Ang dan Man Kidal cemerlang di posisi masing-masing. (Kredit: Hazmil Japilus)
Dikuasakan oleh venue bertaraf antarabangsa Zepp Kuala Lumpur, jurutera bunyi ikonik Akira Yamauchi serta sistem penataan cahaya dan visual yang memukau, Search menggegar Kuala Lumpur dengan seleksi 23 buah lagu malar segar termasuk yang jarang-jarang dibawakan secara langsung, selama dua jam tanpa henti, untuk dua hari berturut-turut!
Ketepikan soal kontroversi, jika diambil kira dari aspek muzikaliti semata-mata, ternyata konsert Endemik adalah sebuah persembahan pentas yang sangat berjaya dari segala sudut.
Dibantu Genervie Kam di bahagian keyboards, Search turut memperkenalkan dua buah lagu baharu mereka, Endemik I dan Endemik II, hasil nukilan seorang komposer muda dari Sabah, Jun. Kombinasi virtuoso Man Kidal dan Hillary Ang ternyata amat menyerlah dalam kedua-dua naskah dan penulis amat terpukau dengan persembahan live Endemik II yang dirasakan berbeza dengan karya-karya Search sebelum ini. Walaupun bernuansa power ballad, Endemik II adalah testamen kematangan Search dari segi permainan dan curahan rasa, dengan sedikit sentuhan progresif yang mengukuhkan lagi penjenamaan semula mereka di era terkini.
Selain lagu-lagu ikonik yang sudah biasa kita dengar di radio mahupun di konsert-konsert mereka sebelum ini, peminat turut dihidangkan dengan beberapa naskah langka seperti Nigina, No Way, Hello Kawan! (tribute untuk arwah Yazit), Pada Satu Kedudukan dan banyak lagi (bergantung kepada sejauh mana anda meminati mereka). Dari segi persembahan, kesemuanya telah memberikan yang terbaik dan bintang pada malam itu pada pandangan penulis adalah Man Kidal yang mungkin terlalu hebat untuk Search. Haha!

Di usia 64 tahun, Amy masih kekal dengan status bintang rock terulung negara. (Kredit: Hazmil Japilus)
Amy pula seperti biasa, masih ligat mengawal pentas sambil melantunkan suara emas yang sudah kita kenali sejak lebih 37 tahun dahulu. Hulur mikrofon kepada penonton? Itu perkara biasa. Siapa sahaja yang tidak mahu menyanyi bersama-sama legenda ini? Sedangkan band bawah tanah yang hanya membawakan tiga ke lima lagu setiap set pun buat perkara yang sama, inikan pula Amy yang sudah berusia 64 tahun dan menyanyikan 23 buah lagu tanpa henti untuk dua malam.
Seperkara lagi yang menarik tentang konsert Endemik ini adalah Search turut hadir dengan gaya dan fesyen eksentrik yang memberi impak besar kepada imej dan persembahan mereka. Penata gaya, Jiman Casablancas cemerlang dengan krafnya menjadikan Search tampak jauh lebih muda daripada usia mereka.
“Fesyen adalah di antara elemen yang amat diambil berat oleh Amy dan dia sentiasa mahukan sesuatu yang fashion forward. Saya bekerjasama dengan Kit Woo dan Wardrobe Privato untuk memastikan penampilan kesemua ahli-ahli SEARCH serta sesiapa sahaja yang beraksi di atas pentas menyokong visi SEARCH dari segi visual. Pasukan grooming SEARCH pula diketuai oleh Khir Khalid dan bersamanya adalah David Shaw, Jijie Zainal dan Kasih Cicie.” – Jiman Casablancas
Menurut Amy pula, “Kami percaya bahawa konsert ini telah berjaya menjadi penanda aras bagi penganjuran konsert fasa endemik di Malaysia dan rantau ini. InsyaAllah kami akan bawakan konsert Endemik ke serata Malaysia dan mungkin juga ke luar negara.”
“Bagi pihak Search, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat terutamanya peminat-peminat Search yang menyokong perjalanan kami sejak ia ditubuhkan sehingga kini.” – Amy
Konklusinya, majoriti yang hadir pada kedua-dua malam panggung Endemik telahpun meluahkan rasa puas hati masing-masing membuktikan bahawa Search masih lagi band nombor satu Malaysia yang tiada tolok bandingnya. Sebagai peminat, lupakan segala kontroversi yang membelenggu kerana hanya mereka sahaja yang tahu perkara sebenar. Satu perkara yang boleh kita buat adalah terus hargai mereka selagi hayat dikandung badan. Enjoy!

Bergambar dengan peminat. (Kredit: Saiful Chin)
Senarai lagu konsert Search Endemik 2022:
- Endemik I
- Pelesit Kota
- Nigina
- Meniti Titian Usang
- Kejora
- Gelora Cintaku
- Isi Atau Kulit
- No Way!
- Endemik II
- Hello Kawan! (Tribute to Allahyarham Yazit Ahmad)
- Setelah Hujan
- Rozana
- Gadisku
- Songsang
- Pada Satu Kedudukan
- Isabella
- Fantasia Bulan Madu
- Diari Habil & Qabil
- Melastik ke Bintang
- Balada Pemuzik Jalanan
- Pawana
- Mat Rock (bonus)
- Pasti (bonus)