Cadenza of the Soul : Satu Bukti Effortless Jaguhnya Seorang Noh Salleh - Music Addicts Malaysia

Cadenza of the Soul : Satu Bukti Effortless Jaguhnya Seorang Noh Salleh

oleh Khaliq G
0 komen 16 bacaan

Kredit: Altus Prohouse & CK Star

Dua puluh tahun lalu, tidak pernah terlintas di fikiran seorang anak muda dari bumi Kenyalang ini bahawa suatu hari nanti namanya akan menjadi antara yang cukup disegani dalam industri muzik tanah air. Bermula sebagai pemuzik jalanan, perjalanan seni pemilik nama penuh Mohammad Noh bin Salleh Sadeli atau lebih dikenali sebagai Noh Salleh ternyata membawanya jauh melangkaui apa yang pernah dibayangkan.

Namun, malam Ahad lalu, menerusi Cadenza of The Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra, sebuah lagi lembaran penting tercipta. Bukan sekadar dalam perjalanan kerjaya seni Noh, tetapi juga sebagai satu pencapaian yang wajar diraikan dalam landskap muzik Malaysia.

Tirai konsert dibuka tepat jam 8.30 malam tanpa perlu sebarang celoteh pengacara mahupun mukadimah panjang. Segalanya berlangsung secara langsung dan bersahaja. Barisan pemuzik orkestra terus mengambil tempat dengan alunan muzik yang menjadi petanda bahawa malam bersejarah itu sudah bermula. Seluruh perhatian penonton tertumpu ke pentas sebelum kelibat Noh muncul, disambut sorakan gemuruh peminat yang sudah tidak sabar menantikan persembahannya.

Terbang dipilih sebagai pembuka tirai. Pilihan yang cukup simbolik, seolah-olah menjadi metafora kepada perjalanan dua dekad seorang Noh Salleh yang telah terbang jauh dan tinggi dalam dunia muzik. Lebih daripada itu, lagu tersebut turut mencerminkan jiwa seni Noh yang sentiasa bebas meneroka ruang kreatif tanpa mahu terkurung dalam satu identiti muzik semata-mata.

Dua album solonya, Angin Kencang dan Bisikan, sudah cukup membuktikan bahawa Noh bukan sekadar penyanyi daripada sebuah band indie. Dia mempunyai cita rasa, pendekatan dan bahasa muzik tersendiri yang terus berkembang mengikut perjalanan seninya.

Malam itu, Noh tidak terbang sendirian. Di belakangnya berdiri sebuah pasukan orkestra yang cukup mantap, dipimpin maestro muzik yang tidak perlu diperkenalkan lagi, the one and only, Aubrey Suwito.

Jika masih ada yang melihat Noh Salleh hanya sebagai ikon muzik indie, persembahan malam itu seharusnya mengubah tanggapan tersebut. Noh berdiri megah sebagai seorang penyanyi solo yang memiliki kualiti vokal, karisma dan penguasaan pentas yang cukup meyakinkan. Malah, penulis berani mengatakan bahawa ini antara persembahan paling luar biasa yang pernah disaksikan daripada beliau.

Selepas Terbang, Noh meneruskan persembahan menerusi Mr. Polia, Cinta Tak Lama, Bisikan dan Debu Bercahaya. Tiada gimik berlebihan, tiada percubaan untuk mencuri perhatian melalui elemen sensasi. Noh hanya memerlukan muzik dan kejujuran dalam penyampaiannya untuk menghidupkan suasana.

Antara momen yang cukup dekat di hati penulis ialah ketika Sarawak dipersembahkan. Lagu itu terasa seperti sebuah surat cinta Noh kepada tanah kelahirannya. Sebuah pengakuan bahawa sejauh mana pun langkahnya membawa diri, Sarawak tetap mempunyai tempat paling istimewa dalam jiwanya. Set pertama kemudian diteruskan dengan Gelung, Biar Seribu dan Jika Sempat.

Secara keseluruhannya, set pertama menjadi ruang untuk penonton menyelusuri perjalanan muzik solo Noh Salleh. Paling menarik, deretan lagu daripada dua albumnya itu menyerlahkan sisi berbeza seorang Noh. Jika bersama Hujan dia lebih sinonim dengan imej rugged, bertenaga dan lincah, karya solonya pula memperlihatkan sisi yang jauh lebih romantis, matang dan introspektif.

Baik dari segi penyampaian mahupun penulisan lirik yang sarat dengan metafora dan keindahan bahasa, Noh membuktikan bahawa seorang rockstar juga boleh memiliki jiwa yang cukup halus. Vokalnya yang berkarakter, dengan warna suara yang maskulin dan tersendiri, menjadikan setiap lagu terasa hidup. Penonton bukan sekadar mendengar, tetapi seolah-olah dibawa masuk ke dalam dunia yang cuba diceritakan menerusi setiap karya.

Dan sekali lagi, magis muzik orkestra menjadikan keseluruhan persembahan terasa lebih megah. Susunan muzik yang dimainkan memberikan dimensi baharu kepada karya-karya Noh. Ada ketika penulis terasa seperti sedang menyaksikan sebuah persembahan muzik latar filem James Bond. Setiap lapisan instrumen hadir dengan karakter tersendiri, namun tetap bersatu dalam sebuah persembahan yang cukup kemas.

Tepukan paling gemuruh pastinya wajar diberikan kepada Aubrey Suwito dan seluruh barisan orkestranya. Mereka bukan sekadar mengiringi Noh, sebaliknya memberikan nyawa baharu kepada karya-karya tersebut. Inilah keistimewaan sebuah persembahan orkestra apabila muzik yang sudah dikenali dapat diterjemahkan semula dengan skala, emosi dan kemewahan bunyi yang berbeza.

Malam itu juga menyaksikan Noh berkongsi pentas bersama diva muda negara, Aina Abdul. Kehadiran Aina menerusi Kotak Hati terus mengubah suasana Idea Live Arena. Vokalnya yang tersendiri memberikan warna baharu kepada lagu tersebut, apatah lagi apabila digandingkan dengan karakter suara Noh yang cukup berbeza.

Penulis sendiri tidak menyangka Kotak Hati yang sudah cukup indah dalam versi asalnya mampu diberikan dimensi sebegitu menarik menerusi gabungan dua vokal ini. Noh dan Aina saling melengkapi, bukan bersaing untuk menonjolkan kemampuan masing-masing. Mereka sebaliknya membina satu persembahan yang memperlihatkan keserasian dan pertukaran tenaga antara dua karakter muzik yang berbeza.

Sempat juga Noh mengusik penampilan Aina pada malam itu yang disifatkannya seakan-akan Datuk Seri Vida. Seluruh dewan pecah dengan gelak tawa. Itulah Noh Salleh yang kita kenali, bersahaja, nakal dan tidak pernah kekok menjadi dirinya sendiri di atas pentas.

Dalam kesempatan sama, Noh turut meminta hadirin mendoakan kejayaan Aina yang bakal membawa nama Malaysia ke pertandingan Eurovision Asia di Bangkok menerusi karya Bluest Sky. Kebetulan, keesokan harinya Aina dijadualkan berangkat ke Thailand bagi membawa misi tersebut.

Dan mana mungkin kehadiran Aina lengkap tanpa menyampaikan Sang Penikam bersama Noh.

Menariknya, kolaborasi mereka menerusi lagu tersebut bermula pada November tahun lalu ketika Aina menjadi artis jemputan dalam konsert orkestra Noh di Dewan Filharmonik Petronas (DFP). Persembahan mereka ketika itu mencuri perhatian ramai, malah rakamannya tular di media sosial dan mencetuskan permintaan peminat agar lagu tersebut dirakamkan semula sebagai sebuah duet rasmi.

Permintaan itu akhirnya direalisasikan menerusi Sang Penikam 2026 yang dilancarkan pada September lalu sebagai hadiah buat peminat kedua-dua penyanyi.

Namun, malam itu Sang Penikam sekali lagi hadir dengan roh yang berbeza. Noh dan Aina tampil dengan susunan serta pendekatan persembahan yang baharu. Jika ada yang menjangkakan lontaran vokal dan bahagian ad-lib Aina akan sama seperti persembahan di DFP mahupun versi rakaman, ternyata mereka tersilap.

Kali ini, Aina memilih pendekatan yang lebih terkawal, dengan lenggok vokal yang lebih classy dan bernuansa jazzy. Perubahan itu memberikan karakter tersendiri kepada persembahan mereka. Inilah yang menarik tentang Noh dan Aina. Mereka tidak sekadar mengulang formula yang pernah berjaya, sebaliknya berani bereksperimen dan memberikan tafsiran baharu terhadap karya sendiri.

Kreativiti seperti inilah yang membezakan seorang penghibur dengan seorang karyawan muzik. Keupayaan untuk terus meneroka, mencabar kebiasaan dan tidak terikat kepada satu bentuk persembahan merupakan antara perkara yang menjadikan muzik sentiasa berkembang.

Malam bersejarah itu juga cukup istimewa buat Noh atas sebab yang lebih peribadi. Kali ini, katanya, dia berjaya membawa kedua-dua ibu bapanya jauh dari bumi Kenyalang ke Damansara untuk menyaksikan sendiri perjalanan seni anak mereka. Sempat juga Noh berseloroh, mungkin ada saka di kampung halaman sehingga kedua-dua orang tuanya agak sukar untuk keluar dari kampung.

Sekali lagi, sisi spontan dan bersahaja Noh mencuri perhatian. Di sebalik pencapaian besar yang diraihnya, dia tetap seorang anak Sarawak yang tidak kehilangan sifat asalnya.

Malah, sokongan terhadap Noh malam itu bukan hanya datang daripada peminat, tetapi turut melibatkan barisan nama besar industri muzik tanah air. Antara yang hadir termasuk Yuna, Marsha Milan, Ernie Zakri dan Syamel, selain rakan-rakan seperjuangan dari persada muzik indie seperti Taja MUH, Farid Oh Chentaku dan DJ Uno Pop Shuvit.

Kehadiran mereka menjadi bukti bahawa perjalanan seni Noh turut mendapat penghormatan daripada rakan-rakan industri yang mengenali dan menyaksikan sendiri perkembangannya. Berkali-kali Noh merakamkan penghargaan kepada teman-teman seni yang hadir, malah turut mengingatkan bahawa mereka sanggup meluangkan masa dan membeli tiket untuk menyaksikan persembahannya.

Walau sejauh mana dia terbang, Noh tidak pernah lupa siapa yang pernah berjalan bersamanya ketika semuanya masih bermula.

Selepas segmen duet, Noh membawa penonton ke ruang persembahan yang lebih intim menerusi Renjana dan Nirmala. Dua karya yang cukup mempesonakan, dengan keindahan melodi dan lirik yang sekali lagi memperlihatkan kehalusan jiwa seninya.

Lebih manis, Noh turut memberikan penghormatan kepada seniman agung negara, Tan Sri P. Ramlee menerusi lagu Tunggu Sekejap. Dengan hanya iringan petikan piano daripada Aubrey, Noh sekali lagi membuktikan bahawa kekuatan sesebuah persembahan tidak semestinya terletak pada kemeriahan susunan muzik. Ada kalanya, kesederhanaan jauh lebih berkesan dalam menyampaikan emosi.

Antara karya lain yang dipersembahkan dalam segmen kedua ini termasuk Bila Aku Sudah Tiada, Angin Kencang, Bunga Di Telinga dan Rahsia Tuhan.

Konsert semakin menghampiri penghujung apabila Noh membawa penonton kembali mengimbau nostalgia menerusi lagu-lagu yang menjadi titik awal perjalanan muziknya bersama Hujan. Daripada pentas gig kecil-kecilan kepada kejayaan menembusi stesen radio arus perdana, perjalanan Hujan merupakan antara kisah penting dalam evolusi muzik indie Malaysia.

Menyedari suasana yang semakin hangat, Noh mengajak penonton untuk bangun dan merapat ke hadapan pentas.

“Saya nak semua peminat datang ke depan pentas. Sudah cukuplah konsert T20 kita ni!”

Selorohnya yang disambut gelak tawa penonton. Sekali lagi, Noh mengingatkan semua bahawa sebesar mana pun pentas yang didudukinya malam itu, semangat muzik yang membesarkan namanya tidak pernah berubah.

Segmen terakhir ini benar-benar membuatkan penonton hilang kawalan. Aku Scandal dan Pagi Yang Gelap didendangkan berturut-turut, sekali gus mengembalikan semangat gig yang cukup sinonim dengan Hujan. Penonton tidak melepaskan peluang untuk melompat, menyanyi dan meraikan lagu-lagu yang sudah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup mereka selama lebih dua dekad.

Menariknya, lagu-lagu tersebut bukan sekadar membawa nostalgia terhadap muzik Hujan, tetapi turut mengingatkan kita tentang perjalanan masa. Jika dahulu mereka menyanyikan lagu-lagu ini sebagai remaja yang baru mengenal dunia, kini sebahagian besarnya sudah mempunyai keluarga, kerjaya dan kehidupan masing-masing. Namun, apabila Aku Scandal dan Pagi Yang Gelap dimainkan, seolah-olah tiada apa yang berubah.

Noh sempat berseloroh bahawa jika dia tidak membawakan Aku Scandal malam itu, bimbang pula nanti akan ditanya di alam kubur. Sebuah gurauan nakal yang sekali lagi mengundang tawa penonton.

Konsert akhirnya melabuhkan tirai dengan perasaan yang bercampur baur. Di tengah sorakan dan jeritan kegembiraan penonton, penulis hanya mampu berdiri seketika. Memandang susuk seorang Haji Noh Salleh di atas pentas yang sedang bergembira dan berpelukan bersama Aubrey serta teman-teman pemuziknya.

Ketika itu, penulis terfikir betapa jauhnya perjalanan seni anak Sarawak ini. Daripada seorang pemuzik jalanan kepada figura yang berjaya mengubah landskap muzik indie tempatan, seterusnya menjadi seorang karyawan solo dengan cita rasa muzik yang semakin luas dan matang.

Noh bukan sekadar jaguh kampung yang hebat di tempat sendiri. Cita rasa muziknya melangkaui sempadan negara. Pengembaraan seninya ke Indonesia, hubungan persahabatan yang dibina bersama pemuzik di sana serta penghasilan karya-karya di luar kebiasaan membuktikan bahawa Noh sentiasa mempunyai keinginan untuk meneroka sesuatu yang baharu.

Dia bukan hanya seorang penyanyi atau penghibur. Noh Salleh ialah seorang karyawan muzik yang mempunyai identiti, keberanian dan visi tersendiri. Dalam sebuah industri yang sentiasa berubah, keupayaan untuk terus berkembang tanpa kehilangan jati diri merupakan sesuatu yang cukup bernilai.

Dan itulah yang paling besar penulis bawa pulang daripada Cadenza of The Soul.

Dua puluh tahun lalu, Noh mungkin tidak pernah membayangkan bahawa perjalanan yang bermula di jalanan akan membawanya berdiri megah di sebuah pentas orkestra, diraikan oleh peminat dan dihormati oleh rakan-rakan industri. Namun, malam itu membuktikan bahawa segala yang dicapainya bukan hadir secara kebetulan. Ia adalah hasil perjalanan panjang seorang pemuzik yang tidak pernah berhenti percaya kepada muziknya sendiri.

Noh, malam itu kau bukan sekadar meraikan 20 tahun perjalanan seni. Kau membuktikan bahawa selepas dua dekad, kau masih mempunyai sesuatu untuk diperkatakan, sesuatu untuk dikongsikan dan sesuatu untuk diperjuangkan menerusi muzik.

Kau masih relevan. Kau masih punya magis. Dan di atas pentas, kau masih seorang raja.

Untuk 20 tahun yang seterusnya, teruslah terbang.

Terima kasih, Noh Salleh.

 

 

 

 

 

 

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅