Pertama Kali Di Malaysia, Latihan Pestapora Bakal Gegarkan Peminat Muzik Julai Ini

oleh Music Addicts Malaysia
553 bacaan

Oleh: Hanis Izzatul


Hitman Solutions, syarikat penganjur konsert terkemuka di Malaysia, bakal bekerjasama buat pertama kalinya dengan Boss Creator, penganjur asal Indonesia di sebalik festival muzik indie terkenal, Pestapora. Kolaborasi ini akan membawa pengalaman festival muzik yang penuh warna, bertenaga dan luar biasa ke Malaysia melalui acara sulung Latihan Pestapora Malaysia 2025, yang dijadual berlangsung di Surf Beach, Sunway Lagoon pada 26 Julai 2025.

Festival ini bakal menampilkan barisan artis-artis hebat dari Indonesia — termasuk nama-nama besar serta bakat baharu — bersama artis tempatan Malaysia yang menjadi kegilaan ramai.

Dikenali dengan pendekatan muzik yang merentasi pelbagai genre seperti pop, rock, alternatif, hip-hop dan indie, Pestapora meraikan kekayaan ekspresi muzik serta kepelbagaian budaya. Latihan Pestapora Malaysia akan memberikan peluang istimewa kepada peminat tempatan untuk merasai sendiri pengalaman festival yang penuh bertenaga dan warna-warni tanpa perlu berhabis ratusan ringgit untuk ke luar negara. Lebih daripada sekadar teaser, acara ini memberikan gambaran awal tentang edisi penuh Pestapora yang akan diadakan di Jakarta pada September 2025, sambil mengajak peminat untuk meneroka muzik baharu dan merasai sendiri pengalaman luar biasa menerusi persembahan artis-artis tempatan dan antarabangsa.

Pencapaian ini juga menandakan kemunculan di peringkat antarabangsa pertama bagi Pestapora sekaligus memperkukuhkan lagi hubungan kreatif antara Malaysia dan Indonesia. Kerjasama ini mencipta sebuah platform baharu untuk pertukaran seni merentas sempadan, menyatukan pemuzik dan peminat dari kedua-dua negara dalam sebuah perayaan muzik dan komuniti, sambil memperkasa suara landskap muzik Asia Tenggara yang penuh kepelbagaian.

Lebih menarik lagi, sebanyak 10 TIKET PERCUMA akan diberikan kepada peminat muzik tempatan yang berjaya meneka dengan tepat barisan artis Latihan Pestapora Malaysia, melalui posting rasmi mereka. Ini adalah peluang yang hanya datang sekali untuk anda menyaksikan persembahan artis kegemaran secara live, sambil menghayati dunia muzik indie dan rock Indonesia yang penuh warna dan energi.

Terdapat juga khabar angin yang mengatakan .Feast, Feel Koplo dan Pamungkas adalah antara artis yang akan turut serta dalam festival itu nanti. Sejauh mana kebenarannya, anda perlulah mengikut rapat perkembangan terkini mereka menerusi laman sosial penganjur.

Anda boleh bersiap sedia untuk pembelian tiket Early Bird dengan Pre-sale registration yang bermula pada 14 April 2025 (Isnin) dari 6 petang dan akan ditutup pada 15 April 2025 (Selasa) pada 11.59 malam. Tiket Pre-Sale akan dibuka pada 16 April 2025 (Rabu), jam 6 petang, diikuti dengan Pubic Ticket Sales pada 17 April 2025 (Khamis), tepat pada jam 12 malam.

Kategori tiket adalah seperti berikut: General Admissions (RM129 dan ke atas), Rockzone (RM199 dan ke atas), dan dengan tambahan RM100, peminat akan menikmati keistimewaan Express Lane. Tiket boleh didapati di www.latihanpestaporamalaysia.com.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi penganjur di +6012-2655783 atau concerts@hitman.group.

 

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅