Tunjang utama, pelakar sempadan muzik, genius, arkitek irama – ini hanyalah sebahagian daripada gelaran yang diberikan kepada komposer jazz, penerbit, dan artis tersohor Yussef Dayes. Saksikan keajaiban ini secara langsung apabila Dayes membawakan The Yussef Dayes Experience ke Vox Live, Kuala Lumpur pada 4 Jun 2025, dalam sebuah persembahan istimewa untuk satu malam sahaja, dibawakan khas oleh RK Live Asia.
Selain karya muziknya yang mengagumkan, Dayes telah membina reputasi sebagai artis yang menghadirkan pengalaman persembahan langsung yang imersif dan melangkaui kebiasaan. Menerusi siri video yang mendapat pujian – merakam perjalanan muziknya merentasi lautan dan benua, dari Joshua Tree dan Malibu hingga ke Jepun – Dayes kini membawa karya seninya ke Asia Tenggara. Para pencinta muzik boleh menjangkakan sebuah malam persembahan yang unik, penuh dengan gabungan jazz moden, neo-soul dan Afrobeats, disertai alunan ritma mendalam, elemen spontan, dan hubungan menakjubkan antara artis dan penonton.
Anak kelahiran Selatan London ini telah memahat namanya sebagai pemain dram tersohor. Album studio solo sulungnya, Black Classical Music (2023), meraih Anugerah Ivor Novello bagi Album Terbaik, serta dua pencalonan di Anugerah BRIT. Kolaborasinya bersama artis seperti Masego, Chronixx, Jamilah Barry, dan Tom Misch menyerlahkan adunan muzik unik yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Sejak mula menceburi dunia muzik, Dayes berada di barisan hadapan dalam kebangkitan jazz UK, memainkan peranan penting dalam perkembangannya. Persembahan larisnya di Royal Albert Hall yang habis terjual pada tahun 2023, serta penampilan bersejarahnya sebagai pemain dram solo pertama di A COLORS SHOW, memperkukuh lagi kedudukannya sebagai artis yang berjaya mengangkat perkusi ke barisan hadapan dunia muzik.
“Set persembahan langsung Dayes adalah satu pameran penguasaan teknikal,” tulis Ammar Kalia dari The Guardian. “Beliau sangat bagus, bertenaga, dan berjaya memenuhi ruang konsert serta mengukuhkan tempatnya sebagai antara pemuzik terhebat generasinya.”
Melihat kepada sambutan hangat terhadap persembahan-persembahan beliau di seluruh dunia, para peminat di Malaysia disarankan mendapatkan tiket lebih awal agar tidak terlepas peluang menyaksikan sebuah malam yang pastinya akan menjadi pengalaman muzik yang luar biasa.
Tiket kini boleh didapati di:
https://www.ticketmelon.com/rklive/yussefdayes
Sebarang pertanyaan media boleh dikemukakan kepada:
erin@tongtong.asia