‘Lights Out’ Jadi Testamen Kemunculan Semula I, Revival

oleh Mohd Asyraf Firdaus
396 bacaan

Dari kiri; Justin Ang, Johan Duclos dan Aiman Azhar.

Pada 12 Februari 2021, I, Revival mengejutkan kembali peminat muzik keras tempatan dengan pelancaran album Variations (Remastered). Sebagai salah satu unit metalcore tempatan yang telah wujud sejak 2011, mereka terus mengusik peminat dengan studio update melalui hantaran Reels di Instagram pada 8 Jun 2024 yang berdurasi 4 minit 11 saat. Reels tersebut memberikan gambaran bahawa mereka sedang membuat rakaman lagu baharu. Namun, kelibat bekas vokalis dan screamer utama yang pernah menunjangi I, Revival suatu ketika dahulu seperti Khairul Azim, Daniel Bek, dan Sanjay C. Damien tidak kelihatan sekaligus telah menimbulkan persoalan di minda kalangan peminat tentang kemunculan kembali mereka ini, adakah sekadar mahu menghidupkan kembali momen terdahulu atau sebaliknya.

Tahun 2025, I, Revival sekali lagi memberi kejutan menerusi lagu baharu, Lights Out yang telah diterbitkan pada 18 Januari lepas. Band ini kembali dengan arah muzik yang lebih segar dan berwarna, dengan Johan Duclos yang dahulunya selaku rhythm guitarist kini mengambil peranan sebagai vokalis utama. Jika sebelum ini I, Revival dikenali dengan muzik yang bertenaga dan keras, kali ini mereka tampil dengan sentuhan yang penuh berbeza. Elemen elektronik yang dinamik dimasukkan dalam permulaan lagu, serta gabungan bunyian metalcore dan melodic rock yang memberikan nuansa baharu kepada penikmat muzik mereka.

Lights Out  juga hadir bersama video muzik (MV) yang dihasilkan oleh Andrew Tan. Visual MV ini berjaya menyelitkan elemen gelap dan penuh emosi yang mengukuhkan lagi suasana lagu. Berdasarkan pemerhatian penulis, Lights Out adalah sebuah luahan perasaan yang jujur mengenai kehilangan seseorang dan perjalanan pencarian diri sendiri yang penuh tanda tanya. Visual yang dipersembahkan juga mencerminkan tema kesedihan dan pencarian diri, dengan penggunaan pencahayaan yang suram dan elemen simbolik seperti cermin yang memperlihatkan perasaan kehilangan dan kerinduan. Gabungan antara muzik dan visual ini mencipta pengalaman mendalam yang menguatkan lagi mesej lirik lagu, menjadikan karya ini bukan sahaja menarik tetapi juga memberi impak emosi yang kuat kepada penonton.

 

Naskhah ini juga menonjolkan penulisan lirik yang lebih mendalam dan penuh makna. Lights Out tidak lagi mengandungi elemen scream, sebaliknya menonjolkan kekuatan vokal Johan Duclos yang lebih dominan dan terarah kepada vokal high-range. Mutu produksi lagu yang dihasilkan berada pada tahap yang baik, hasil sentuhan teknikal Justin Ang, juga selaku gitaris utama telah berjaya mencerminkan sisi kehebatan beliau selain berjaya mencipta riff gitar yang memukau bagi I, Revival. Lagu ini turut diselitkan dengan solo gitar yang penuh jiwa. Sementara permainan dram yang mantap dari Aiman Azhar menambahkan lagi kekuatan lagu ini.

Jelaslah bahawa Lights Out menjadi testamen kukuh bahawa I, Revival merupakan sebuah unit metalcore yang sangat matang dan berpengalaman dalam scene tempatan. Dengan Lights Out, mereka bukan sahaja menunjukkan kematangan dalam penulisan lagu, tetapi juga dalam pendekatan muzik yang lebih segar dan mendalam. Penguasaan mereka terhadap elemen-elemen muzik yang lebih kompleks dan berjiwa menunjukkan betapa jauh mereka telah berkembang sejak penubuhan mereka pada 2011. Lights Out menegaskan lagi kedudukan mereka sebagai salah satu nama penting dalam industri muzik tempatan.

Penulis berharap I, Revival akan terus menghasilkan karya-karya yang segar dan kembali dengan album baharu untuk mengubati kerinduan peminat lama sekali gus memikat hati peminat baharu. Setelah bertahun-tahun berkecimpung dalam industri, amatlah sayang jika mereka tidak diberi perhatian yang sewajarnya daripada mana-mana media. Trio I, Revival Johan, Justin dan Aiman telah melalui pelbagai ujian dan cabaran sepanjang dalam perjalanan mereka untuk terus bersama dan berjaya membuktikan I, Revival masih relevan bagi tahun 2025 dan seterusnya.

Pihak Music Addicts Malaysia juga memberikan respek penuh atas sekembalinya mereka dan kami percaya di sebalik perjalanan mereka sejak 2011 ini pastinya akan memberi  impak besar dalam evolusi muzik mereka memandangkan pengalaman mereka cukup lama dalam industri ini.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅