‘Burning Bed’ Simbolik Kebangkitan Semula Hey Jay!

oleh Mohd Asyraf Firdaus
0 komen 89 bacaan

Hey Jay! 2025

Hey Jay! bukanlah nama asing di pentas indie tempatan. Keunikan mereka terletak pada kemampuan mengikat hati pendengar meskipun belum memiliki album penuh. Dengan kejujuran dalam setiap bait lirik, Hey Jay! berjaya membina identiti tersendiri dalam komuniti muzik bawah tanah Malaysia. Dari ruang kecil seperti Merdekarya hingga ke pentas acara tribut untuk kiblat muzik mereka sendiri, Nirvana – band ini tidak pernah gagal menghadirkan persembahan yang sarat emosi dan penuh jiwa.

Burning Bed Sebagai Testamen: Perubahan Hala Kreatif dan Re-Bonding

Kali terakhir single mereka diterbitkan kepada awam ialah pada tahun 2023 dan kemunculan Burning Bed pada 2025 ini menjadi bukti bahawa Hey Jay! masih teguh berdiri dalam dunia muzik yang sering berubah arah. Walaupun perjalanan mereka terhenti seketika selepas empat anggota memilih haluan kreatif masing-masing pada tahun 2024, semangat band ini tidak pernah benar-benar padam. Sebelum melangkah semula ke studio, mereka terlebih dahulu menghargai jasa ahli terdahulu dengan meriliskan semula Never End, single sulung mereka dalam versi akustik, seakan membuka jalan kepada kelahiran Burning Bed.

Perjalanan menuju Burning Bed bukanlah sesuatu yang mudah. Ia bukan tentang berharap segalanya kembali seperti dulu, tetapi tentang membina semula dari serpihan yang tinggal. Ketika empat anggota memilih untuk pergi, sahabat mereka sendiri tampil membantu, mengemudi semula pelayaran Hey Jay! dan memastikan api muzik itu terus menyala.

Tahun 2024 yang disangka sunyi sebenarnya menjadi ruang untuk mereka bernafas semula. Tahun itu menjadi masa untuk meneroka, berehat, dan membina semula chemistry yang pernah hilang. Dari proses itu, mereka kembali ke pentas melalui Run For Cover: Indie Edition di Kampung Attap, Kuala Lumpur, mempersembahkan tribute kepada Foo Fighters dengan tenaga dan kejujuran yang sama seperti dulu.

Hey Jay!, yang sinonim dengan vokalis dan gitaris Jay Ridzwan, sekali lagi menambat hati pendengar dengan penulisan lagu yang sederhana tetapi bermakna. Liriknya mudah difahami dan disampaikan dengan kejujuran yang membuat setiap bait terasa dekat, seolah-olah ia lahir daripada perbualan hati ke hati.

Make me, looking in your eyes
Tell me, I’m wasting my time

Bait lagu ini menggambarkan seseorang yang telah lama memendam rasa kecewa, namun dalam diam masih menyimpan harapan yang positif. Burning Bed hadir bersama muzik video rasmi yang memperkenalkan barisan baharu Hey Jay!, menandakan lembaran baru dalam perjalanan mereka. Dari segi komposisi, vokal Jay masih mengekalkan identitinya yang tersendiri, meskipun belum benar-benar mencapai tahap bisa yang memukau. Suaranya kekal memuaskan dan mungkin akan lebih mencabar jika diterjemahkan ke genre lain.

Permainan solo gitar pada permulaan lagu membawa pendengar ke suasana muzik era 90-an dan awal 2000-an, menjadikannya antara set piece paling unik dalam karya Hey Jay!. Walaupun ada ruang untuk Jay memperkukuh teknik vokalnya, susunan instrumen dalam lagu ini sudah cukup kuat untuk meyakinkan pendengar bahawa ini ialah lagu ciptaan Hey Jay!. Ada sesuatu yang sangat dikenali dalam komposisi mereka, seakan cap mohor bunyi yang hanya milik Hey Jay! — jujur, mentah dan terus dari hati.

Burning Bed, Skies Are Red dan Album Baharu?

Apabila berbicara tentang perjalanan sesebuah band, rasa teruja menantikan album baharu memang tidak pernah dapat dielak. Bagi peminat, album ibarat jiwa band itu sendiri, tempat segala idea, emosi dan bunyi disatukan menjadi satu nadi yang mewakili siapa mereka sebenarnya. Begitu juga dengan Hey Jay! yang kini sedang giat menyiapkan album sulung mereka yang masih dalam proses pembikinan.

Menariknya, album pertama ini bukan sekadar hasil kerja Hey Jay! semata-mata. Mereka turut menampilkan dua ahli dari Skies Are Red sebagai penampilan khas dalam salah satu trek mereka nanti, sesuatu yang pasti menambah warna dan suasana baharu dalam karya ini. Penulis percaya dengan karakter muzik yang tersendiri  akan dibawa Hey Jay! ini akan menjanjikan sesuatu yang segar dan berani, membuatkan ramai menantikan bagaimana gaya dan identiti Hey Jay! dalam album baharu ini.

Jika semuanya berjalan lancar, album debut ini dijangka menemui peminat pada tahun 2026. Mungkin inilah antara debut paling dinanti dalam kalendar muzik indie tempatan, bukan sahaja kerana perjalanan panjang di sebaliknya tetapi kerana kejujuran Hey Jay! yang terus menjadi nadi setiap lagu yang mereka hasilkan.

 

Hey Jay! bersama lineup baharunya.

Dengarkan single terbaharu mereka di semua platform strim digital dan nantikan kemunculan album baharu yang bakal menjadi satu lagi bab penting dalam perjalanan Hey Jay!. Syabas kepada Hey Jay! kerana terus melangkah walau pernah tersandung. Setiap dugaan bukan tanda untuk berhenti, tetapi isyarat untuk terus bergerak dan membuktikan bahawa muzik yang lahir dari hati tidak akan pernah padam.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅