Dari Writers Block ke “Sepertiga”: Nafas Baharu Nasyid Moden Ala Pop R&B oleh Adib Zahar

oleh Mohd Asyraf Firdaus
0 komen 244 bacaan

Apabila menyebut tentang lagu nasyid, lazimnya pasti terbayang imej berkopiah, alunan muzik mendayu dan lirik memuji-muji Yang Esa. Tahun 2025 menyaksikan kebangkitan semula irama nasyid dengan nafas baharu, dipelopori oleh gergasi tempatan seperti In Team dan Hijjaz yang membuat penampilan semula melalui konsert mega dan kempen aktif di platform TikTok yang sejajar dengan arus budaya anak muda hari ini. Sambutan hangat daripada peminat pelbagai usia membuktikan bahawa nasyid masih relevan dan diterima masyarakat secara meluas. Malah, beberapa lagu turut mencipta fenomena baharu apabila dijadikan remix dan ‘sound’ popular di TikTok, menandakan kebangkitan semula genre ini dengan wajah yang lebih segar dan moden.

Tidak ketinggalan juga, Adib Zahar atau lebih dikenali sebagai Ku Roy yang telah lebih tiga tahun berkecimpung dalam industri muzik memulakan langkah baharunya. Antara karya terdahulunya seperti Akur, Waktu dan Sinar telah menerima sambutan baik, malah berjaya didaftarkan secara rasmi di bawah MACP, satu langkah positif dalam perjalanan seninya. Adib membuka langkah baharunya pada tahun 2025 untuk meneruskan lagi momentum nasyid tempatan dengan memperkenalkan single terbaharunya yang berjudul Sepertiga.

Sepertiga merupakan karya keempat daripada Adib, hadir dengan video muzik (MV) rasmi yang menampilkan imej serta bunyi yang lebih matang dan mendalam. Penulisan lirik kali ini lebih bermakna, menggambarkan pencarian ketenangan diri, selari dengan tarikh pelancarannya pada 10 Oktober 2025, yang juga merupakan Hari Kesihatan Mental Sedunia. Sekilas dengar, rentak instrumental lagu ini mengundang nostalgia yang mengingatkan kepada nuansa R&B pop legenda tanah air, Hazami. Pada awalnya, ia mungkin kedengaran seperti lagu bertemakan cinta, namun Sepertiga sebenarnya mengangkat kisah jiwa yang terperangkap antara luka dan penyembuhan dalam pencarian menuju ketenangan hakiki.

Vokal Adib dalam Sepertiga memperlihatkan kematangan dan kawalan yang lebih baik berbanding karya-karyanya yang terdahulu. Lontaran vokalnya disampaikan dengan pitch yang seimbang; falsetto tidak terlalu mendatar, dan tidak pula melampaui batas. Ini menjadikan penyampaiannya seiring dengan emosi dan mood lagu yang ingin disampaikan kepada para pendengar.

Menambah kekuatan pada karya ini, Sepertiga turut menerima sentuhan istimewa daripada Hisyam Elharith, anggota boyband Marhaen yang pernah mencuri perhatian dalam program realiti All Together Now Malaysia musim kedua di Astro. Sebagai produser, Hisyam berjaya menyuntik nuansa moden dan profesional dalam susunan muzik, menjadikan lagu ini lebih segar dan relevan dalam arus nasyid kontemporari. Hisyam Elharith memainkan peranan penting dalam kelahiran Sepertiga, apabila beliau berjaya membantu Ku Roy keluar daripada fasa ‘writer’s block’ yang pernah membelenggunya. Hasil daripada kolaborasi ini, Sepertiga pun lahir; sebuah karya yang bukan sahaja mencerminkan kematangan emosi, tetapi juga menjadi titik tolak baharu dalam perjalanan seninya. Adib kemudiannya ditawarkan untuk bernaung di bawah label Soofi Studio, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam kariernya. Sentuhan rhythm dan susunan muzik oleh Melo G turut memperkukuh lagi struktur keseluruhan karya, menjadikan Sepertiga tampil lebih segar, moden dan relevan dalam landskap muzik semasa.

 

MV Sepertiga hadir dalam format konvensional yang dihasilkan oleh Khidir dan Haziq Zohri, menampilkan Adib mempersembahkan lagu secara langsung sekaligus menjawab persoalan ramai tentang siapakah di sebalik vokal lembut yang dialunkan sepanjang lagu. Dalam perbualan santai bersama Adib, sempat juga diselitkan soalan berseloroh; adakah Adib bersedia untuk muncul di radio Islamik tempatan seperti Zayyan FM? Jawapannya cukup positif.

Adib terbuka dan menyambut baik seandainya Sepertiga menjadi ‘killer song’ yang membuka jalan ke arus perdana. Buat pendengar baharu, jangan lupa untuk dengarkan juga karya terdahulunya, Waktu, sebagai pelengkap perjalanan muzik Ku Roy.

Sebenarnya, tiada istilah khusus untuk nasyid seperti ‘lagu agamawan’ kerana secara fitrahnya, setiap manusia memerlukan hiburan yang menyentuh jiwa dan membawa nilai. Usaha yang dilakukan oleh Adib melalui Sepertiga jelas menunjukkan arah yang positif dan memberi manfaat kepada semua lapisan pendengar.

Penulis berharap agar Adib terus teguh dan tidak mengenal lelah dalam meneruskan legasi nasyid kontemporari. Dengan sentuhan moden dan jiwa yang tulus, karya-karyanya diyakini mampu diterima dengan baik. Apa yang membezakan Ku Roy adalah keikhlasannya berkarya dari hati, bukan semata-mata mengejar jumlah tontonan di platform penstriman.

Sepertiga OUT NOW, dengarkan di semua platform penstriman digital anda sekarang.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅