Di Antara Kehilangan dan Harapan, Margosa Bertemu Damai dalam ‘Muncul Kasih’

oleh Boes!
0 komen 258 bacaan

Margosa. Dari kiri Pjay (bass), Raja Nazrin (gitar, vokal), Resya (vokal) dan Aiman (dram).

Muncul Kasih, single terbaharu terbitan Margosa, membawa limpahan rasa hati dan rindu yang lama membungkam ke hadapan khalayak. Lagu ini memegang nilai sentimental yang mendalam buat pasangan vokalis dan gitaris kumpulan tersebut yang tidak sempat ‘bertemu’ dengan cinta hati pertama mereka. Sekali lagi, Margosa mengajak para peminat menyusuri perjalanan syahdu yang terpahat dalam penciptaan lirik dan muziknya, menjadikan karya baharu ini sebuah pengalaman emosi yang halus dan menyentuh.

Artwork Muncul Kasih. Kredit : Aiman Aqwa

Baru sahaja dilancarkan pada awal Disember 2025, kumpulan pop alternatif yang dibarisi Resya Razman (vokal), Raja Nazrin Shah (vokal, gitar), Pjay Hamzah (bass) dan Aiman Aqwa (dram) menghadirkan lagu ini sebagai wadah untuk meluahkan segala yang ditanggung dan dipendam sejak peristiwa sedih itu berlaku. Karya ini berdiri sebagai manifestasi kecintaan terhadap insan syurga mereka, lalu diterjemahkan bukan sahaja melalui melodi dan lirik tetapi juga secara visual dalam video muzik rasmi yang diluncurkan pada hari sama.

Hanya beberapa hari selepas pelancarannya, lagu ini telah menerima sambutan yang sangat menggalakkan daripada para peminat. Difahamkan lagu ini turut akan dimuatkan dalam album terbaharu mereka yang masih dalam proses pembikinan, bersama dua lagi karya iaitu Terlanjur Rasa dan Merentasi Waktu.

Bukan mudah bagi sesiapa yang melalui kehilangan, khususnya insan yang sangat dekat di hati, untuk melepaskan rasa hiba yang membelenggu. Ada kehilangan yang mengambil masa berbulan malah bertahun untuk benar-benar diterima. Kedalaman emosi itu terserlah dalam cara mereka mengungkapkan perasaan melalui penciptaan karya peribadi ini, seakan membuka jendela ke dalam luka yang masih belajar untuk sembuh.

Berikut merupakan penjelasan daripada Resya sebagai penulis lirik berkenaan single terbaharu mereka:

Selain mewakili perasaan saya terhadap anak yang tidak sempat melihat dunia, lagu ini sebenarnya dirakam ketika saya sendiri sedang melalui pelbagai fasa kehamilan yang tidak bernasib baik. Dari saat saya mengetahui saya mengandung sehinggalah terpaksa mengebumikan anak itu, dan kemudian disahkan mengandung lagi setahun selepasnya, semuanya menjadi latar kepada terhasilnya lagu ini.

Seakan belum cukup dengan badai emosi itu, lagu ini juga terpasang di telinga saya ketika saya terbaring di katil hospital sambil menempuh proses kelahiran anak seterusnya yang akhirnya selamat datang ke dunia.

Apabila mengamati setiap bait lirik dan perjalanan melodinya, penulis tidak dapat lari daripada terasa disapa oleh emosi yang disampaikan Margosa. Lagu ini menjadi salah satu cara mereka berkabung sambil memperlihatkan fasa kedukaan yang kini sudah menghampiri tahap terakhir iaitu penerimaan. Ada sesuatu yang begitu jujur dalam cara mereka menutup cerita ini, terutama pada bahagian korus terakhir menuju ke outro yang bagi penulis benar-benar merangkum seluruh perjalanan emosi mereka:

Muncul kasih, hapus segala siksa di hati ini,
Luntur jiwaku hilang degupanmu

Muncul kasih, tenanglah kau disana wahai syurgaku
Pastu kita kan bertemu semula.

Ringkas, jelas tapi terasa sampai ke hati.

Terdapat satu persoalan yang terus berputar dalam fikiran penulis setiap kali lagu ini dimainkan. Frasa Muncul Kasih sebagai tajuk dan kemunculannya dalam korus terakhir benar-benar mencuri perhatian.  Untuk memahami apa yang cuba disampaikan, penulis berjaya mendapatkan penjelasan dari Raja Nazrin Shah sebagai komposer:

Perkataan “kasih” dalam “Muncul Kasih”  sebenarnya merujuk kepada “Khalid” (insan Syurga mereka) but to put a name to it feels too heavy to sing it. Jadi kita putuskan untuk guna “Kasih” since ada la jugak huruf K kat situ.

Jelas cinta mereka terhadap arwah Raja Emir Khalid tergambar sangat besar dan bermakna berdasarkan penyataan di atas.

Ditanya sama ada Muncul Kasih ini adalah satu doa kepada Yang-Esa, beliau menjelaskan lagi tentang perihal tersebut:

I don’t think it’s a doa, more like a story telling. (waktu) Muncul (nya) “Khalid”, hapus segala siksa di hati ini. (namun) luntur jiwaku (sewaktu) hilang (nya) degupanmu.

Penulis juga bertanyakan kepada Raja Nazrin adakah lagu ini terinspirasi daripada mana mana peristiwa ataupun karya lain. Beliau menegeaskan yang karya ini berdasarkan pengalaman peribadi mereka:

Tak ada. Memang lagu ni 100% berdasarkan pengalaman peribadi. In fact, plan asalnya lagu ini ditulis untuk the celebration of love in a gf/bf or husband/wife relationship.

Beliau juga menyatakan yang struktur lagu (lirik dan melodi) ini sebenarnya dicipta dengan konsep cinta yang berbeza, di mana pada permulaannya bersifat ‘jatuh cinta’ dan kemudiannya ditunjukkan kesedihan di pertengahan dan penghujung, menggambarkan pengakhiran yang pahit manis (bittersweet).

Mendengar sambil menghayati setiap bait lirik yang dilontarkan dalam lagu ini seakan-akan membuat penulis turut meniti perjalanan hidup mereka. Lebih-lebih lagi apabila diri ini sudah berkeluarga dan berumah tangga, hati menjadi jauh lebih mudah tersentuh. Gabungan emosi, mood dan dinamik yang disulam kemas dalam lagu ini, khususnya pada bahagian korus terakhir hingga outro, benar-benar berjaya pada hemat penulis.

Namun, ada beberapa perkara yang membuatkan penulis tidak meletakkan lagu ini di tangga teratas carta hati. Susunan lagunya memerlukan masa untuk diresapi dan sukar untuk dikelaskan sebagai nuansa Margosa kerana pembinaan melodinya sedikit terkeluar daripada spektrum biasa mereka. Ada ketika, terutamanya pada bahagian permulaan, ia kedengaran seperti sesuatu yang pernah didengar. Mungkinkah lagu ini bersifat menjalar, yang kadar resapannya perlahan atau adakah ia sebuah acceptance song yang hadir mengikut musim kemudian berlalu pergi?

Walau begitu, berdasarkan kenyataan rasmi mereka, lagu ini memang bertujuan membawa pendengar menjelajah satu dimensi baharu dari segi hubungan antara lirik, melodi dan muzik. Sebagai pendengar, penulis menghormati keseluruhan usaha yang dicurahkan untuk melahirkan karya sentimental ini.

Akhir kata, semoga Muncul Kasih terus mendapat tempat di hati peminat setia dan pendengar baharu Margosa, serta terus berkembang mekar dalam industri muzik tanah air.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅