Empat Tembok, Satu Suara: Kebangkitan Fourwalls Dari Pantai Timur

Fourwalls: Empat Tembok Yang Tidak Pernah Roboh

oleh Aniq Ammar Ekhwan
0 komen 247 bacaan

Dalam landskap muzik bawah tanah Malaysia, ada band yang muncul sekejap lalu lenyap begitu sahaja dan ada juga yang bertahan lama dalam senyap. Fourwalls tergolong dalam kelompok kedua. Ditubuhkan di Terengganu sekitar 2016, band punk rock ini membina perjalanan secara perlahan tetapi konsisten, berasaskan persahabatan, semangat DIY dan kepercayaan bahawa muzik yang jujur sentiasa menemukan ruangnya sendiri.

Fourwalls bermula seperti kebanyakan band bawah tanah lain; bermain di gig kecil, acara komuniti dan ruang alternatif yang terbuka kepada muzik bising bermelodi. Dari kedai makan ke pentas kampung, dari roadtrip jauh ke tidur di lantai studio, pengalaman ini membentuk identiti mereka hari ini. Walaupun berdepan pertukaran lineup dan tempoh tanpa sebarang keluaran, keinginan untuk menghasilkan karya tidak pernah terpadam. EP Four of the Walls menjadi penanda rasmi kemunculan semula Fourwalls selepas hampir sedekad bergerak dalam pelbagai fasa dan kini dianggotai oleh Abeb (Vokal), Arol (Gitar), Din (Gitar), dan Boi (Dram). Dirakam secara berperingkat antara Terengganu dan Kedah, EP ini dihasilkan dengan masa yang terhad dan bajet yang kecil. Seluruh proses dilakukan secara DIY daripada perancangan, rakaman, suntingan sehinggalah pencarian bunyi yang paling dekat dengan identiti band.

“Masa mula buat EP ni kami cuma nak satu karya yang betul-betul wakili sound dan identiti kami. Lagu-lagu ni sebenarnya ditulis sejak zaman remaja lagi dan EP ni jadi satu push untuk kami siapkan.”

Lagu-lagu dalam EP ini lahir dari ruang yang sangat nyata; bilik sempit, studio sewa, ruang tamu rumah rakan dan ruang sunyi dalam kepala mereka sendiri. Dari sudut muzik, Fourwalls menampilkan punk rock bertenaga dengan garis melodi yang jelas, memperlihatkan pengaruh Sum 41, Totalfat dan My Chemical Romance tanpa menenggelamkan identiti tempatan.

Cabaran terbesar dalam menyiapkan EP ini ialah jarak antara ahli band yang kini berpecah antara Alor Setar, Kuala Lumpur, Kuantan dan Terengganu. Dengan kerjaya tetap dan tanggungjawab keluarga, setiap sesi latihan dan rakaman memerlukan perancangan yang teliti.

“Kami masing-masing dah bekerja dan ada komitmen sendiri. Untuk siapkan EP ni kami kena betul-betul susun masa walaupun banyak kekangan.”

Walaupun berpuas hati dengan hasil semasa, Fourwalls sedar EP ini masih mempunyai ruang untuk diperhalusi. Dari sudut teknikal, terdapat bahagian yang kedengaran terlalu dominan dan ada segmen yang tenggelam dari segi dinamik bunyi. Ketidakseimbangan ini sedikit mengganggu pengalaman mendengar secara menyeluruh, namun tidak menjejaskan kekuatan utama band ini iaitu penulisan lagu yang kemas dan melodi yang mudah melekat. Dengan penalaan rakaman yang lebih konsisten, karya mereka berpotensi tampil jauh lebih matang.

Di tengah perjalanan mereka sebelum EP ini dilancarkan, Fourwalls telah mencipta satu detik penting melalui kolaborasi bersama Aru daripada Koffin Kanser. Dalam konteks muzik bawah tanah tempatan, kolaborasi ini membawa makna yang besar kerana ia mempertemukan dua generasi yang berkongsi semangat dan prinsip yang sama. Kolaborasi tersebut bukan sekadar penampilan nama besar, tetapi satu bentuk pengiktirafan terhadap Fourwalls sebagai band yang konsisten dan jujur dalam membawa nilai punk rock. Ia juga mengukuhkan keyakinan mereka untuk terus bergerak tanpa perlu mengejar arus perdana.

Selepas hampir 10 tahun bersama, Fourwalls memahami bahawa muzik bukan sekadar minat tetapi satu komitmen jangka panjang yang menuntut disiplin dan pengorbanan. Semua pengalaman yang dilalui membentuk hubungan yang lebih kukuh antara mereka.

“Semua yang kami lalui selama ni buat kami makin kuat. Kami bukan sekadar bandmate tapi macam keluarga.”

Ikatan ini menjadi asas kepada kelangsungan Fourwalls dalam scene yang kecil tetapi penuh makna seperti di Pantai Timur.

Buat masa ini, Fourwalls memberi fokus kepada promosi EP Four of the Walls dan kembali aktif ke pentas gig. Mereka berharap EP ini mendapat sokongan daripada scene indie Malaysia dan menjadi pemangkin kepada fasa seterusnya dalam perjalanan mereka. Perancangan jangka panjang menyasarkan sebuah album penuh dengan arah muzik yang lebih perlahan dan lebih dekat dengan emosi pendengar. Jika EP ini sarat dengan lagu-lagu pantas, karya seterusnya dijangka menampilkan sisi Fourwalls yang lebih matang dan reflektif.

Four of the Walls bukan sekadar EP pertama. Ia adalah dokumen perjalanan dan bukti bahawa empat individu ini masih memilih untuk bertahan di sebalik tembok masing-masing. Dengan konsistensi, penambahbaikan kualiti rakaman dan semangat DIY yang tidak pernah luntur, Fourwalls berpotensi meninggalkan legasi yang signifikan dalam sejarah punk rock tempatan.

Ikuti Fourwalls di:

Facebook
X
Instagram

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅