
Kredit: @artherockshow/@tapaufest
Hujung minggu 23 dan 24 Ogos 2025 tempoh hari berlalu dengan begitu pantas. Mana tidaknya, penulis berpeluang merealisasikan salah satu impian untuk menjadi sebahagian daripada crowd TAPAUfest 2025, edisi ke-7 istimewa ASEAN, yang diadakan di Resort Tasik Raban, Lenggong, Perak!
Dengan berlatar belakangkan keindahan Tasik Lenggong yang tenang dan gunung ganang yang menghijau, suasana festival terasa sangat magis, seakan-akan berada dalam dimensi lain yang sarat dengan muzik, seni dan alam. Angin lembut yang bertiup menambahkan rasa damai, menjadikan festival ini satu persinggahan yang sesuai untuk jiwa-jiwa yang memerlukan healing dan escapism.
Cuaca panas terik di Lenggong langsung tidak mematahkan semangat para pengunjung yang hadir. Senyuman puas jelas terpancar di wajah mereka tatkala menikmati panorama Tasik Lenggong yang memukau, sambil berpeluang untuk sing along lagu-lagu daripada kugiran kegemaran yang menghangatkan pentas utama.
Festival yang berlangsung secara outdoor dengan konsep santai ini menawarkan kebebasan kepada para pengunjung untuk menikmati acara mengikut cara mereka sendiri sama ada berdiri dan menari di hadapan pentas, duduk dengan selesa di kerusi lipat, atau berkelah sambil berehat di atas tikar dan menikmati suasana.
Sepanjang dua hari festival ini berlangsung, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan, antaranya BENGKEL; siri bengkel dan sesi perkongsian ilmu, LAYAR; tayangan filem pendek dan dokumentari indie, PASAR; pasar terpilih yang menampilkan jenama indie, hasil seni dan kraf, barangan cenderamata serta piring hitam (vinyl) dan WARUNG; pesta makanan sepanjang hari yang meraikan kepelbagaian citarasa Asia Tenggara.
Bukan itu sahaja, TAPAUfest 2025 turut membawakan sesuatu yang lebih istimewa! Buat pertama kalinya, pemegang-pemegang tiket weekend berpeluang menikmati pelbagai aktiviti KEMBARA secara PERCUMA termasuk menaiki bot, berkayak di sekitar tasik lenggong, melawat petting zoo serta menyertai sesi tikar mengkuang (yoga). Semua ini ditawarkan tanpa bayaran tambahan, menjadikan pengalaman festival lebih bermakna untuk semua pengunjung yang hadir.
Terlalu banyak perkara menarik sepanjang TAPAUfest 2025 berlangsung hinggakan kekurangan kecil langsung tidak menjejaskan kemeriahan dan keunikan acara. Salah satu highlights utama ialah penyediaan stesen air (water station) di kawasan festival yang membolehkan para pengunjung mengisi air minuman tanpa had (unlimited) sepanjang hari. Lebih istimewa, Spritzer turut tampil memberikan air mineral secara percuma untuk semua yang hadir sekaligus menjadikan festival TAPAUfest 2025 antara festival muzik pertama di Malaysia yang menawarkan inisiatif dan kemudahan sebegini.
Lebih menggembirakan, harga makanan, minuman dan barangan jualan vendor juga sangat berpatutan. Ini merupakan sesuatu yang jarang berlaku dalam festival berskala besar seperti ini. Pilihan yang pelbagai dengan harga mesra poket memberi keselesaan kepada pengunjung untuk menikmati pengalaman festival tanpa perlu berbelanja secara berlebihan.
Dari segi teknikal pula, sistem bunyi (sound system) adalah sangat memuaskan meskipun festival ini berkonsepkan outdoor. Kualiti bunyi yang jelas dan menyeluruh memenuhi setiap sudut kawasan festival, membolehkan setiap persembahan dinikmati tanpa gangguan. Ini sekaligus mencipta suasana yang imersif dan mengujakan sepanjang dua hari berlangsungnya festival.
Susun atur kawasan festival yang sistematik dan mudah diakses serta hiasan berwarna-warni di setiap sudut festival menjadikan TAPAUfest 2025 bukan sahaja indah di mata, malah sempurna untuk dirakam melalui lensa kamera sebagai kenangan.
Dari segi kebersihan pula, meskipun jumlah tong sampah agak terhad dan terletak agak jauh antara satu sama lain, kawasan festival kekal bersih hingga ke penghujung acara. Ini mencerminkan sikap tanggungjawab para pengunjung yang bukan sahaja hadir untuk berhibur, tetapi turut menghargai keindahan dan kelestarian alam semula jadi Lenggong.
Pujian harus diberikan kepada seluruh team TAPAUfest 2025 yang berjaya menghimpunkan pembikin karya indie dari empat negara serantau iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand dalam sebuah festival yang bukan sahaja meraikan kreativiti, malah menyatukan komuniti dengan tema #SerumpunBerpesta.
Sebanyak 12 kugiran hebat telah menggamatkan pentas utama menampilkan gabungan bakat tempatan dan serantau. Antara yang menghangatkan suasana dari Malaysia ialah Raksar, FUGO, Seru x Wani Ardy, Insomniacks, Okirama dan Couple. Turut menyerikan acara ialah kugiran dari Indonesia seperti Skandal, Perunggu, White Chorus dan Sal Priadi; dari Singapura; Cactus Cactus serta Thailand; KIKI.
Antara penampilan yang paling dinanti-nantikan ialah Couple, sebuah kugiran indie pop ikonik dari Ipoh yang meraikan ulang tahun ke‑30 mereka dengan kemunculan semula lineup original yang telah hampir dua dekad tidak berkongsi pentas bersama. Lenggong dan TAPAUfest 2025 telah menjadi saksi kepada momen penuh bersejarah ini yang mengimbau kembali perjalanan muzik mereka.
Menjengah ke laman media sosial seperti X, Threads, Instagram dan TikTok, rata-rata pengunjung yang hadir memberikan ulasan positif tentang keseluruhan festival dan ramai yang sudah pun menyatakan keterujaan untuk kembali memeriahkan festival TAPAUfest pada tahun hadapan.
Satu-satunya perkara yang mengecewakan bagi penulis adalah penganjur tidak memberitahu cara untuk move on daripada festival ini. Setakat artikel ini ditulis, penulis masih belum move on daripada keterujaan, rasa gembira, tenang serta vibes positif dan chill yang dirasai sepanjang dua hari festival berlangsung.
TAPAUfest 2025 nyata merupakan festival muzik terbaik di Malaysia yang pernah penulis hadiri dan penulis yakin sesiapa sahaja yang hadir pasti akan bersetuju dengan kenyataan ini.
Semoga TAPAUfest terus mekar dan menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan, membawa lebih banyak kegembiraan, inspirasi dan kenangan manis buat para peminat muzik indie dan seni kreatif. Dengan sokongan semua pihak, tidak mustahil festival ini akan terus mencipta sejarah dan menjadi lambang kejayaan seni tempatan dan serantau.