
Tulus bersama peminat. Kredit: RIF 25
Apa lagi yang penonton kita mahukan? Usai pasca pandemik, pintu negara kita tidak pernah berhenti dari menerima kunjungan barisan artis termasyhur dari seberang. Masing-masing seperti lepas geram, baik dari organizer kepada barisan artis itu sendiri, kota Kuala Lumpur ibarat rumah kedua bagi pemuzik Indonesia. Satu demi satu tampil menerusi persembahan berskala konsert bagi mengubati kerinduan peminat dan pastinya persembahan live merupakan satu manifestasi keseriusan mereka dalam bermuzik.
Menolak template yang biasa digunakan organizer sedia ada, keberanian Expoindo dengan kerjasama Thrive dalam membawa Ruang Inspirasi Festival (RIF) 2025 wajar mendapat tepukan gemuruh. Tidak mahu festival anjuran mereka dibarisi artis recycle dari festival-festival lain, RIF 2025 menerbangkan dua gergasi bumi Garuda – Tulus dan juga Juicy Luicy untuk menggegarkan pentas.
Acara yang berlangsung pada 17 Ogos yang lalu diadakan di Mega Star Arena KL, bersaksikan 8,000 penonton setia dua nama besar tersebut. Festival ini dipecahkan kepada dua sesi yang mana Tulus mengepalai pentas seawal jam 2.30 petang. Juicy Luicy pula diberikan mandat untuk menggegarkan panggung pada jam 8.30 malam.
Secara personal penulis cukup teruja bila dapat tahu penyanyi eksklusif yang satu ini – Tulus, bakal tampil di RIF 2025. Pertama sekali, Tulus bukan seperti teman-temannya seperti Afgan, Judika mahupun Rossa yang tiap-tiap tahun akan datang ke KL untuk mengadakan konsert. Kelibat Tulus di sini cukup sedikit, baru tiga kali saja mengadakan konsert. Itupun konsert terakhirnya pada tahun 2023 cukup hambar dan menghampakan. Tentu sekali kedatangan Tulus dengan barisan lagu-lagu berhantu dan berjiwanya dinantikan ribuan peminat setianya.
Tirai festival dibuka oleh Aziz Harun selaku pemanas panggung. Persona anak Brunei ini dalam kalangan peminat wanita cukup terserlah. Satu perkara yang wajar dipuji dalam perjalanan beliau selaku anak seni adalah betapa bijaknya dia dan pihak pengurusan dalam membina jalur muzik buat seorang Aziz Harun. Kita semua tahu kemampuan vokal Aziz bagaimana, dia bukanlah seorang penyanyi bernada tinggi mahupun memiliki range vocal yang besar. Namun kebijaksanaan pihak pengurusan beliau membina jenama Aziz Harun menghasilkan deretan karya yang cathy dan soothing. Cukup sesuai dan merdu dengan tone suara dan kemampuan beliau.
Tepat jam 2.30 petang, Tulus tampil menguasai pentas. Lagu Interaksi dari album Manusia menjadi ‘pembuka bicara’ dari Tulus. Seperti diserang histeria, sorakan ribuan peminat menyambut kemunculan beliau. Setelah hampir dua tahun tidak tampil di Malaysia, RIF 2025 umpama memberi hadiah buat peminat setianya.
Menampilkan 14 buah lagu dalam persembahan selama dua jam, siapa saja boleh meragui mahupun mempertikaikan kehebatan Tulus. Namakan segalanya, baik dari segi vokal hingga kemampuan bernyanyi secara langsung, juga kehandalan Tulus merajai panggung dan celoteh-celoteh santai selingan setiap persembahan, semuanya penulis berikan markah penuh buat beliau.
Kehebatan Tulus ternyata bukan hanya pada ketulenan suara yang tiada pada penyanyi lain, namun barisan karyanya yang jujur dan ikhlas menjadikan beliau terus kekal disayangi peminat merentasi sempadan negara mahupun perbezaan budaya. Karya-karya Tulus bukan sekadar sebuah tulisan dongeng, tetapi seperti suara hati jutaan manusia yang dipersembahkan penuh jiwa. Tidak tipu, ada penonton setianya yang menangis ketika beliau sedang bernyanyi. Penulis jadi saksi betapa Tulus begitu dekat dengan peminatnya, malahan karyanya menjadi teman suka dan duka, kadang menjadi pembakar semangat kadang pula menjadi penyembuh luka.
Menggunakan peluang untuk mempromosikan lagu yang jarang beliau bawakan, Tulus mempersembahkan lagu seperti Satu Kali, Jatuh Suka, Monokrom, Lagu Untuk Matahari dan Sewindu. Namun yang penulis sedikit kecewa apabila lagu-lagu besar beliau seperti Manusia Kuat, Gajah dan 1000 Tahun Lamanya tidak dibawakan. Penulis juga percaya lagu ini adalah lagu wajib yang ditunggu-tunggu semua peminat. Namun itulah, kehadiran Tulus bukanlah atas kapasiti konsert solonya, ini merupakan festival muzik yang mana ada limitation dalam peruntukan masa. Tidak mengapa, ini saja sudah cukup mengubat rindu peminat setianya dan menjadi kenangan indah buat peminat yang pertama kali menyaksikan persembahan beliau secara langsung.
Persembahan sesi petang telah tamat. RIF 2025 berehat seketika. Jam 7.30 malam, festival dimulakan semula. Our favourite singer songwriter, Aizat Amdan diberikan mandat untuk memanaskan acara. Walaupun seperti sudah jarang tampil di acara hiburan, pengalaman hampir dua dekad sebagai anak seni menjadikan ini kerja mudah buat seorang Aizat.
Mana mungkin lagu berhantu seperti Hanya Kau Yang Mampu dan Lagu Kita tidak dinyanyikan. Kemunculan Aizat ternyata mengubat rindu peminat dan juga berjaya untuk memanaskan panggung dan ‘punggung’ penonton!
Teriakan luar biasa bergema dan menggegarkan satu Mega Star Arena bila empat jejaka dari negara tetangga, yang menggelarkan diri mereka sebagai Juicy Luicy tampil di pentas. Pesona empat pemuzik ini ternyata luar biasa dan ditunggu ribuan peminat setia mereka.
Belasan lagu dipersembahkan cukup energetic. Malapetaka, Terlalu Tinggi, Bukan Orangnya, Tanpa Tergesa dan Mawar Jingga/Hahaha ditampilkan satu persatu. Sang vokalis – Julian Kaisar bijak mengemudi mood penonton. Pandai dia dalam membawa cerita dan mengusik penonton, menampilkan sisi humor Juicy Luicy kepada peminat di sini.
Asing/Sayangnya, Tanggungjawab, Lampu Kuning, Lantas dan Tampar juga menjadi deretan lagu yang mereka bawakan. Dan mana mungkin Sialan dilupakan. Sialan disimpan sebagai penutup acara, yang mana satu dewan bersama-sama bernyanyi pada malam itu. Penulis rasa pasti suara ribuan penonton itu didengari sampai ke kedai shawarma di Bukit Bintang tu. Heh.
Dalam deretan konsert dan festival muzik sepanjang tiga tahun ini, RIF 2025 antara acara yang penulis puji. Cukup ambitious, membawa penyanyi cukup ternama dan eksklusif, aspek teknikal di atas panggung wajar mendapat gred A, visual dan audio cemerlang dan bergerak seiring serta ternyata penganjur bukan sekadar membawa muzik besar ke sini, tetapi mereka membawa jiwa dan memberi dengan penuh ikhlas bagi memastikan penonton pulang dengan lapang dada dan tersenyum puas.
Penulis pasti RIF bakal menjadi acara tahunan yang akan dinantikan peminat di Malaysia dan menjadi sebuah jenama muzik yang dihormati jika penganjur konsisten memberikan tenaga produksi seperti malam itu. Tepukan paling gemuruh buat Expoindo dan Thrive di atas penganjuran yang serba cemerlang.
RIF 2026, jemput datang ke Kuala Lumpur! Kami nantikan!