Sama-Sama Tur Kuala Lumpur: Lima Suara, Satu Malam yang Menghangatkan Jiwa

oleh Wahyu Abadi
0 komen 194 bacaan

Kredit: Sama Sama Tur

Di tengah suasana hujan yang membasahi Kuala Lumpur, Idea Live Arena berubah menjadi ruang hangat yang penuh suara dan emosi. Sama-Sama Tur akhirnya menjejakkan kaki di Malaysia, menghimpunkan lima nama besar dari Indonesia iaitu Dere, Idgitaf, Kunto Aji, Sal Priadi dan Tulus – mereka bergabung dalam satu pentas kolaborasi yang bukan sekadar pertunjukan muzik, tetapi sebuah perayaan seni vokal yang jarang berlaku.

Perjalanan Suasana yang Mulus

Sejak pintu dibuka, pengalaman penonton lancar dan teratur. Proses masuk ke venue yang mudah, susun atur laluan yang jelas dan kehadiran kru yang menunjukkan tempat duduk masing-masing menjadikan penonton tidak perlu terpinga-pinga mencari.

Yang menarik perhatian penulis adalah sebuah photobooth berkonsepkan telefon retro menjadi tumpuan ramai. Sebuah konsep ringkas tetapi cukup menarik untuk memeriahkan suasana sebelum acara bermula.

Pembukaan Medley: Lima Artis, Satu Pentas

Ketika spotlight pertama menyala, sorakan penonton bergema bagaikan melepaskan rindu yang lama terbuku. Tur dimulakan dengan medley pembukaan kelima-lima artis – setiap suara masuk satu per satu, menyatukan identiti muzik masing-masing dalam satu harmoni.

Visual pentas yang sinematik, pencahayaan yang berubah mengikut mood dan staging transitions yang kemas membuatkan permulaan acara terasa megah.

Setlist yang Disusun Rapi, Mengalir Seperti Cerita

Setlist pada malam itu tersusun seperti sebuah naratif – Rollercoster yang naik turun dan emosi yang disusun dengan sengaja:

Pembukaan Medley dari 5 Artis

Nyanyian daripada setiap satu Artis:
Idgitaf: Mulai, Satu-satu
Dere: Puspa, Jona
Tulus: Jatuh Suka, Kelana
Sal Priadi: Irama Laot Teduh, Mesra-mesraannya Kecil-kecilan Dulu
Kunto Aji: Rona Merah Langit, Konon Katanya

Selepas sesi sapa penonton, dimulakan pula beberapa kolaborasi menarik:
– Tulus & Kunto Aji – Tujuh Belas
– Tulus, Kunto Aji & Sal Priadi – Mercusuar
– Sal Priadi & Dere – Kita Usahakan Rumah Itu
– Sal Priadi – Serta Mulia (dengan penonton dipanggil ke atas pentas untuk diraikan ulang tahun)
– Idgitaf – Sedia Aku Sebelum Hujan
– Dere – Kota
– Tulus & Sal Priadi – Biar Jadi Urusanku
– Dere & Tulus – Berisik
– Dere & Idgitaf – Tumbang
– Idgitaf – Pilu Membiru
– Idgitaf & Tulus – Akan Kukenang
– Tulus – Monokrom
– Kunto Aji – Hati-Hati di Jalan
– Sal Priadi & Kunto Aji – Planet Yang Lain
Interaksi (di bawakan oleh kelima-lima artis)
– Bacaan Puisi dari 5 Artis
– Kunto Aji – Sulung
– Tulus – Gala Bunga Matahari
– Finale – Satu Kali (di bawakan oleh kelima-lima artis)

Durasi persembahan sekitar 7.45 malam hingga 10.00 malam, tetapi ramai yang sepakat berkata “rasa macam sekejap sangat.”

Momen Paling Menggetarkan:

Di tengah perjalanan acara malam itu, kelima-lima artis membaca puisi yang bertema “memaafkan.” Puisi tersebut ringkas namun menusuk – mengenai penerimaan diri dan perjalanan manusia. Cara setiap artis menyampaikan bait dengan tone masing-masing membuatkan dewan sepi, seolah semua orang berkongsi nafas yang sama. Kemudian bersambung terus ke lagu “Sulung” oleh Kunto Aji, penonton seolah tidak ingin mengganggu magis yang sedang berlaku di atas pentas.

Kemudian hadir momen yang menjadi buah mulut ramai:

Antara detik paling mencuri tumpuan ketika Idgitaf menyampaikan “Pilu Membiru,” lagu ikonik milik Kunto Aji yang selama ini sinonim dengan perjalanan emosi ramai pendengar. Interpretasinya unik dan lembut. Walaupun versi asal masih menjadi rujukan emosional ramai, versi malam itu berjaya meninggalkan kesan baru yang berbeza. Penonton bangun memberikan standing ovation membuktikan betapa dalamnya lagu itu menyentuh hati peminat di Kuala Lumpur.

Sudut Industri:

Dalam era muzik yang bergerak sangat laju, kolaborasi seperti ini sangat relevan untuk disajikan. Ia membuka ruang baru untuk artis bereksplorasi ke belakang dan ke depan untuk menghidupkan semula karya rakan seperjuangan seperti bereksperimen dengan arrangement baru dan menunjukkan bahawa muzik bukanlah silo tetapi ruang pertukara yang unik.

Indonesia sendiri sedang berada dalam fasa evolusi menarik dengan munculnya subgenre seperti hipdut, kejayaan pelbagai nama baru di AMI, dan kebebasan berkarya yang semakin meluas. Sama-Sama Tur adalah refleksi betapa dinamisnya scene mereka.

Sambutan peminat Malaysia yang begitu hangat juga membuktikan bahawa pasaran serantau ini semakin terbuka dan saling mempengaruhi.

Acara yang Sempurna

Walaupun berlangsung selama dua jam lebih, ramai yang pulang dengan rasa “tak puas, nak lagi.”

Sama-Sama Tur Kuala Lumpur bukan sekadar sebuah pertunjukan muzik biasa, tetapi satu malam yang akan dikenang sebagai salah satu kolaborasi live paling indah yang pernah mendarat di Kuala Lumpur.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅