Kuala Lumpur bakal dihentam gelombang thrash metal pada Sabtu, 4 Oktober 2025 apabila Goatlordth Records dan Hellthrone Productions bergabung membawakan Steel Vortex Thrashfest di BE.KL Cheras bermula jam 2 petang hingga lewat malam.
Acara ini menjanjikan ledakan tenaga dengan 10 band thrash metal dari rantau ini, menggabungkan nama legenda dengan bakat baharu. Antara barisan yang bakal menghangatkan pentas termasuk Antologi, Kasck, Opposition Party, Samurai, Antacid, Vibratory, Iron Gaze, Atrocious, Dying Fate dan Catarrh.
Lebih daripada sekadar festival muzik, Steel Vortex Thrashfest berfungsi sebagai medan penyatuan komuniti bawah tanah tempatan dan serantau. Kehadirannya melanjutkan tradisi gig metal sebagai ruang kolektif untuk ekspresi bebas, solidariti dan semangat DIY (do-it-yourself) yang kental.
Tiket pra-jualan kini ditawarkan pada harga RM60 sehingga 1 Oktober 2025, manakala harga tiket di pintu adalah RM70. Pembelian tiket boleh dibuat melalui kod QR yang tertera pada poster rasmi atau terus ke hotline: wasap.my/60129345657
Festival ini turut menerima sokongan luas daripada pelbagai media, zine, kolektif muzik dan label bawah tanah termasuk Andy Audio Vault, Musix Hub, Astaka Arungan Music, Music Addicts Malaysia, Chenta Relektro, Keda Gedebe Distro, Dissecting The Euphony, Daddy Rain, Akmal Salam, Strap of Bullets dan Young Maniax Attack.
Dengan sokongan komuniti yang begitu kuat, Steel Vortex Thrashfest diyakini bakal tercatat sebagai salah satu festival thrash metal terbesar di Malaysia untuk tahun 2025. Metalhead tempatan dan serantau diseru untuk tidak melepaskan peluang menjadi sebahagian daripada sejarah pergerakan metal tanah air ini.