The Bangsart Hidupkan Suara Said Zahari Lewat Lagu ‘Anti Nasional’

The Bangsart Luncur Naskah Anti Nasional

oleh Aniq Ammar Ekhwan
0 komen 456 bacaan

Kugiran rock politik, The Bangsart baru sahaja meluncur single Anti Nasional pada 9 Ogos lepas.

Single perdana mereka ini mencuri perhatian apabila liriknya diadaptasi daripada sajak Said Zahari. Tokoh wartawan dan pejuang kebebasan bersuara itu pernah dipenjara selama 17 tahun tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan pernah mengetuai mogok bagi menghalang UMNO daripada mengambil alih Utusan Melayu.

Anti Nasional adalah tuduhan biasa yang dilemparkan oleh kerajaan kepada mereka yang kritis terhadap pemerintah. Puisi ini ditulis Said Zahari ketika beliau berada dalam penjara. Lagu yang mula dirakam pada tahun 2015 ini pernah dipersembahkan di hadapan beliau sempena ulang tahunnya pada tahun yang sama. Kini, ia diterbitkan semula sebagai seruan untuk berfikir secara kritis, mempertahankan kebenaran dan menolak naratif yang menindas atas nama bangsa.

Asal usul projek ini bermula apabila The Bangsart dihubungi aktivis sosial Hishamudin Rais untuk melagukan tiga sajak ciptaan Said Zahari bagi dimuatkan ke dalam CD “Salut Untuk Said Zahari.” CD kompilasi tersebut menghimpunkan bacaan karya bekas editor Utusan Melayu yang pernah ditahan di bawah ISA itu.

“Kami bersetuju untuk melakukan projek tersebut kerana ia seiring dengan perjuangan The Bangsart yang ingin membawa suara rakyat marhaen yang tertindas supaya didengari di seluruh negara,” kata vokalis Amir Abd Hadi.

Proses penulisan lagu berlangsung di Kelab Bangsar Utama, sebuah pusat aktivisme anak muda yang juga merupakan inspirasi asal nama The Bangsart. Rakaman dilakukan di Big A Studio, Petaling Jaya selama sebulan pada Ramadan tahun 2015. Setiap ahli ketika itu diberi tugasan untuk menggubah sajak berbeza. Lagu Azam diolah oleh Nik Jidan, Anti Nasional oleh Norman Jelita manakala Jeritan oleh Aiman Hakim. Selepas perbincangan dengan pihak penganjur dan penerbit, jumlah rakaman diperluas sehingga sepuluh lagu termasuk karya Amin Iskandar serta ciptaan asal Nik Jidan.

“Memang barai selama sebulan tu. Macam-macam cerita kelakar, sedih, marah. Segala emosi dicurahkan dan diekspresikan ke dalam lagu oleh setiap ahli kumpulan,” jelas Amir yang mengimbau pengalaman rakaman penuh cabaran itu.

The Bangsart turut menegaskan mereka mendapat keizinan Said Zahari sendiri untuk membawakan lagu-lagu ini. Segala hasil royalti projek ini juga disalurkan kepada waris keluarga Said Zahari sebagai tanda penghargaan terhadap perjuangan beliau.

“Untuk projek lagu-lagu dari Said Zahari ini, semua royalti akan diberikan kepada waris keluarga beliau. Kami amat berterima kasih kepada arwah Pak Said Zahari di atas segala perjuangan serta keluarganya yang membantu menyiapkan projek ini walaupun hanya selepas sepuluh tahun ia berjaya dikeluarkan,” kata Amir lagi.

Menurut gitaris Aiman Hakim, projek ini sebenarnya tergendala hampir sedekad.

“Masa 2015 dulu, lagu-lagu ini sudah release dalam CD yang disertakan sekali dalam buku memoir Pak Said Zahari, tapi sebab ahli band masa tu tak boleh nak commit 100 peratus, plan tergendala kejap. Masing-masing sibuk melawan kerajaan dan benda-benda lain sampai tak ada masa nak fokus pada muzik,” katanya sambil ketawa.

Selepas sepuluh tahun, perancangan untuk menghidupkan kembali projek ini muncul secara spontan.

“Plan untuk buat balik ni pun sangat last minit, mula dari sembang-sembang WhatsApp antara aku, Amir dan Norman Jelita masa tengah bulan Julai 2025. Kebetulan ada reunion geng aktivis sempena 10 Tahun Protes Tangkap Najib. Jadi kami fikir why not kita keluarkan balik. Tujuan asalnya cuma nak releasekan tiga lagu Said Zahari supaya generasi sekarang lebih ramai tahu dan kenal, tapi bila dah duduk balik sama-sama, macam-macam plan band untuk akan datang kami dah susun,” katanya.

Bagi kumpulan ini, mesej utama yang ingin disampaikan ialah muzik boleh menjadi alat penyebaran suara tertindas yang berkesan.

“Muzik kami tidak terlalu keras untuk sebuah muzik perlawanan, dengan harapan seluruh rakyat tidak mengira usia, kaum, agama, pegangan politik atau taraf ekonomi mampu mendengar mesej yang kami bawa,” ujar Norman Jelita.

Dengan karya yang tajam, penuh emosi dan semangat solidariti, The Bangsart terus membuktikan bahawa muzik bukan sekadar hiburan. Ia adalah medium untuk mendidik, membangkitkan kesedaran dan menyalakan harapan rakyat terhadap sebuah masa depan yang lebih adil.

Ikuti perkembangan The Bangsart di:

Facebook

Instagram

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅