
Tahun baru, semangat baru, dan naskhah baru. Industri muzik Nusantara kembali meriah dengan kehadiran bakat-bakat segar yang sedia menggegar pentas seni. Siapa sangka, hanya bermula daripada tontonan cover merdu di TikTok, sebuah kolaborasi rentas sempadan berjaya direalisasikan.
Komposer dan penulis lirik muda yang berbakat dari Brunei, Azrul Sayril, membuktikan bahawa jarak bukan penghalang apabila beliau berjaya menyatukan dua anak muda kelahiran Sabah untuk sebuah projek istimewa. Lagu berjudul ‘Arunika’ yang telah dilancarkan pertengahan Januari lalu ini bukan sekadar karya biasa. Ia merupakan manifestasi cinta dan keikhlasan yang ditujukan khas buat bakal isteri beliau.
Mengangkat seri istilah ‘Arunika’ yang membawa maksud cahaya matahari terbit, lagu ini melambangkan sinar harapan dan permulaan baru. Dari segi gubahan, Azrul memberikan sentuhan klasik pada judul namun mengekalkan elemen moden menerusi genre R&B dan Soul. Inspirasi kreatifnya banyak dipengaruhi oleh nama-nama besar industri muzik Indonesia seperti Maliq & D’Essentials, Tulus dan Adrian Khalif.
Bagi anda yang ingin mengenali sentuhan magis Azrul Sayril dengan lebih dekat, karya-karya beliau boleh dihayati menerusi saluran YouTube rasminya. Dan secara ekslusif MAMY menemubual insan ini untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan dengan gubahan sentimental ini.
MAMY: Apakah sumber inspirasi atau rujukan Azrul semasa menghasilkan lagu ini?
Lagu ini tercipta sekitar Julai tahun lepas. Rujukan utama saya ketika itu adalah lagu “Sini” daripada Adrian Khalif. Secara peribadi, lagu ini sangat istimewa kerana saya ciptakan khusus untuk bakal isteri saya. Ia bertujuan sebagai penenang dan pemujuk hatinya sekiranya satu hari nanti saya sudah tiada lagi di dunia ini.
MAMY: Ada cerita menarik tentang bagaimana Azrul mendapat ilham melodi?
Saya percaya ini adalah ilham daripada Tuhan. Macam lagu saya yang sebelum ini (Terlanjur Disakiti), melodi korusnya saya dapat semasa waktu tidur, tetapi bukannya melalui mimpi. Saya terus tangkap idea tersebut dan jadikannya sebuah lagu.
Mengenali barisan penyanyi, Biboy dan Gummy, kedua-duanya merupakan bintang sedang meningkat naik di media sosial. Berdasarkan tinjauan penulis, mereka bukan sahaja memiliki vokal yang lunak, malah mempunyai pengikut tersendiri hasil daripada video cover yang tular di TikTok. Biboy dengan keunikan suaranya yang tersendiri dan Gummy pula cemerlang dalam menghasilkan karya-karya dalam loghat etniknya yang tersendiri. Hal ini diperincikan oleh Azrul menerusi soalan penulis berkenaan mereka:
Segalanya bermula di TikTok. Saya tertarik dengan suara Biboy selepas melihat video cover beliau. Walaupun pada mulanya dia agak rendah diri dan menganggap suaranya biasa sahaja, saya berjaya yakinkan dia untuk bekerjasama. Manakala untuk Gummy pula, saya tertarik selepas mendengar susunan lagu dalam Bahasa Bajau yang dihasilkan untuk artis sabah dan dia juga punyai lagu dalam Bahasa Melayu. Saya terus cari maklumat beliau di YouTube dan menghubungi mereka.

MAMY: Memandangkan Azrul di Brunei dan mereka di Sabah, bagaimana proses rakaman dilakukan?
Kami belum pernah berjumpa secara bersemuka. Seluruh proses dari awal hingga selesai hanya dilakukan melalui perhubungan di WhatsApp sahaja. Memandangkan saya di Brunei, hanya Biboy yang pergi ke studio Gummy (untuk proses mixing dan production) di Sabah. Jadi, rakaman ini dilakukan secara virtual.
Ternyata, jarak geografi bukan lagi penghalang untuk melahirkan magis dalam berkarya. Gabungan kepakaran tiga bakat ini berjaya melahirkan sebuah naskhah yang wajar dipuji, sebuah komposisi yang mampu menyentuh sanubari dan menceriakan emosi, walaupun dipersembahkan dalam rentak yang santai dan segar. Keunikan tona suara Biboy dan Gummy memberikan seri serta identiti yang kuat kepada lagu ini. Ditambah pula dengan lirik yang telus dan mudah difahami, ‘Arunika’ berdiri teguh sebagai sebuah manifestasi cinta yang mendalam buat pasangan hidup.
‘Arunika’ telahpun dilancarkan secara rasmi di semua platform pengstriman digital pada 15 Januari ini. Semoga karya ini menjadi jambatan seni yang menyatukan dua negara dalam mengekspresikan kasih sayang yang paling murni.
Mulakan langkah pertama anda untuk menghayati ‘Arunika’ dengan di pautan bawah sekarang:
Ikuti mereka di laman sosial berikut
Azrul Sayril – Instagram (https://www.instagram.com/mnhasbmy)
Biboy – Instagram (https://wwww.instagram.com/cbiboy)