Di sebalik hiruk-pikuk industri muzik arus perdana, wujud sebuah cerita evolusi yang jarang disentuh oleh media besar: perjalanan sebuah band metalcore tempatan yang tidak pernah berhenti berjuang sejak 2008. Massacre Conspiracy atau sering dirujuk oleh peminat sebagai MC16 adalah manifestasi bunyi padu dan semangat yang lahir dari bawah tanah muzik Malaysia, bermula sebagai kumpulan anak muda yang ingin mencabar norma muzik berat di tanah air.
Ditubuhkan pada 2008, Massacre Conspiracy melalui pelbagai fasa perubahan yang akhirnya membentuk identiti mereka hari ini. Formasi terkini menampilkan Ash sebagai vokalis, Brandon di gitar, Daniel pada bass dan Emy selaku pemain dram, satu barisan yang jelas menunjukkan kematangan baharu selepas perjalanan panjang dalam landskap muzik berat tempatan.
Bermula dari scene bawah tanah Kuala Lumpur dan Selangor, mereka membina reputasi melalui persembahan bertenaga dan bunyi melodic metalcore yang sarat emosi. Album sulung Lost Holocaust yang dilancarkan pada 2013 dan EP Kingslayer pada 2015 pernah menjadi antara rujukan penting dalam perkembangan metalcore tempatan, sebelum band ini memasuki tempoh senyap yang panjang. Kini, selepas hampir dua dekad turun naik, Massacre Conspiracy kembali dengan album kedua berjudul Immortality, sebuah karya yang lahir daripada pengalaman, masa dan evolusi semula jadi, seolah-olah satu peringatan bahawa sesetengah band tidak dicipta untuk berhenti.
Immortality bukan album yang dibina untuk menghidupkan nostalgia. Sebaliknya, ia hadir sebagai refleksi jujur tentang keadaan semasa band ini dan dunia yang mereka hadapi. Album ini terasa seperti satu perjalanan emosi yang menyeluruh, bergerak dari firasat awal bahawa hidup bakal berubah, menuju ke kegelapan, kekeliruan, kemarahan, penerimaan dan akhirnya penentangan.
Perjalanan Immortality dibuka dengan Premonition, yang membawa rasa firasat bahawa kehidupan sedang berada di ambang perubahan besar. Lagu ini mencerminkan ketidakpastian terhadap masa depan serta keperluan untuk melepaskan masa lalu demi mencari kekuatan dalaman. Suasana ini diteruskan melalui Everdeath, sebuah konfrontasi dengan takdir kematian dan perkara yang tidak diketahui, menggambarkan perasaan hilang arah dan terperangkap antara kehidupan dan kegelapan. Rasa keterasingan ini menjadi semakin jelas dalam The Illusion We Live, apabila realiti digambarkan sebagai sesuatu yang palsu dan mengelirukan, meninggalkan perasaan terputus dan hanyut tanpa tujuan yang jelas.
Naratif album ini kemudiannya bergerak lebih agresif menerusi Binary Sacrifice, yang menggambarkan tekanan perubahan pantas dan kuasa luar kawalan yang memaksa individu untuk terus menyesuaikan diri. Penentangan terhadap manipulasi dan kawalan disuarakan dengan tegas dalam Code Of An Error, sebelum album ini menyelami sisi gelap emosi melalui From The Shadows, sebuah perjalanan keluar dari ketakutan dan keputusasaan dalam usaha mencari cahaya. Tema kitaran hidup yang berulang dan sukar dilepaskan diterokai dalam Paradox, diikuti letusan naluri survival yang keras dan tanpa kompromi dalam Common Blood. Menjelang penghujung, Graveyard Of Dreams menggambarkan runtuhnya impian dan pencapaian masa lalu, sebelum album ini ditutup dengan Exit Void, sebuah penamat yang tegas tentang keberanian berdepan kegelapan, mencipta laluan sendiri dan enggan ditewaskan oleh ketidakpastian.
Dari sudut produksi, Immortality memperlihatkan kematangan yang ketara. Band ini tidak terikat dengan bunyi lama mereka. Fokus diberikan kepada bagaimana setiap lagu berfungsi sebagai sebahagian daripada keseluruhan naratif album, menjadikannya sebuah karya yang padu dan tersusun. Pendekatan ini turut mencerminkan keadaan semasa band yang kini bergerak menerusi empat anggota teras, sambil mengambil masa untuk mencari pemuzik sesi yang benar benar serasi dengan hala tuju mereka.
Secara keseluruhan, Immortality ialah album yang berat, jujur dan menuntut perhatian. Ia bukan karya yang mudah, tetapi ganjarannya besar bagi pendengar yang sanggup menyelami setiap lapisan emosi dan maknanya. Bagi peminat lama, album ini menandakan kematangan dan keberanian untuk berubah. Bagi pendengar baharu, ia membuka ruang untuk mengenali sisi muzik berat tempatan yang lebih reflektif dan relevan dengan realiti hari ini.
Dengan Immortality, Massacre Conspiracy membuktikan bahawa kebangkitan tidak semestinya hadir dengan sorakan besar. Kadangkala, ia hadir dalam bentuk karya yang jujur, gelap dan berani, sebuah pengakuan bahawa walaupun dunia terasa runtuh, keinginan untuk terus hidup masih ada.
Ikuti Massacre Conspiracy di:





