Di sebalik nama yang keras dan provokatif, Bunuhdiri bukan sekadar sebuah band brutal death metal dari Malaysia — mereka adalah simbol keberanian, kelangsungan jiwa dan revolusi muzik bawah tanah yang kini menembusi sempadan antarabangsa. Ogos ini, Bunuhdiri akan menjelajah Jepun buat pertama kali, menyampaikan empat malam ledakan sonik yang dijangka meninggalkan kesan mendalam.
“Tour ini bukan sekadar tentang muzik berat. Ia tentang membunuh sisi gelap diri sendiri dan bangkit semula sebagai manusia yang lebih kuat.” – Wira, vokalis Bunuhdiri.
Jelajah ini bermula 8 Ogos di Minamihorie SOCORE Factory, Osaka, bersama ikon brutal death Itali, Putridity — sebuah nama yang tidak asing dalam kalangan peminat genre ekstrem. Bunuhdiri akan meneruskan keganasan sonik mereka ke Hatsudai Wall dan Earthdom di Tokyo, sebelum menutup tirai pada 11 Ogos di El Puente, Yokohama.
Bagaimana mereka sampai ke tahap ini? Berikut jawapan mereka
“Kami kenal Ayato-san dari Mikaido Pro semasa tour Indonesia. Bila mereka tengok persembahan live kami, mereka terus buka pintu untuk ke Jepun,” kata Wira. “Kemudian, Amputated Vein Records bagi surat tawaran rasmi dan urus semua dokumen penting untuk visa performer. Prosesnya rumit, tapi segalanya smooth. Masa visa diluluskan — masa tu lah kami tahu, this is real.”
Ditubuhkan pada tahun 2015, Bunuhdiri terkenal dengan gabungan brutal death metal, elemen teknikal, dan riff yang menggila. Mereka mula dikenali menerusi single ‘Dermatillomania’ dan kini aktif dengan EP baharu Cosmic Rebirth (2024), sebuah naskhah eksperimental yang turut menyelitkan elemen mengejutkan seperti solo saksofon.
“EP tu mewakili fasa baru kami — kami bukan sekadar nak main berat, tapi berat dengan makna. Kami ada mesej,” jelas Wira. “Bunuhdiri bukan tentang kematian, tapi tentang kelahiran semula.”
Barisan kini terdiri daripada Wira (vokal), Rezza (gitar), Usop (bass) dan Jay (dram). Mereka sedang menyiapkan album penuh baharu yang bakal dilancarkan tahun depan melalui label antarabangsa ternama.
Lebih menarik, single terbaru Bunuhdiri akan dilancarkan pada 6 Ogos di Slam Worldwide, sehari sebelum tour bermula.
Empat lokasi, empat malam — bukan sekadar persembahan, tetapi sebuah misi. Sambutan awal sangat memberangsangkan.
“Merch pre-order kami kat Jepun memang laku keras! Royalti dari album kompilasi pun bantu kami gerakkan tour tanpa terlalu fikir soal bajet, Kami juga dapat peratus jualan tiket. Sokongan luar biasa ni bagi kami motivasi luar biasa. Namun, jalan ke sana tidak mudah. “Mental dan fizikal kena kuat. Kita bukan saja jaga band, tapi juga kerja dan keluarga. Kena bijak bahagikan masa dan jangan sempitkan penyelesaian bila ada cabaran,”
Bunuhdiri bukan asing di pentas Asia Tenggara. Mereka pernah menggoncang Indonesia, Thailand, Sarawak, dan kini bersedia ke Filipina pada November 2025. Perancangan turut sedang dibuat ke India, Nepal (2026), serta Eropah, Taiwan dan Vietnam.
“Kalau ikutkan, tour ke India dan Nepal sepatutnya jadi lebih awal. Tapi sebab cuti kerja kami tak cukup, kena tunda ke tahun depan. Tapi itu bukan penghalang — semangat kami tetap membara,” katanya.
Buat Wira, muzik ini bukan sekadar minat — ia perjuangan.
“Lakukan apa yang anda minat, tapi jangan lupa seimbangkan dengan hidup. Hidup ni bukan tentang kejar mimpi semata — ia juga tentang tanggungjawab dan hubungan,”
Death metal bukan mati, ia sedang bangun dari tidur. Jangan diskriminasi genre, sebab muzik bukan untuk memecah belah, tapi untuk menyatukan kita semua.
Sebelum mereka memulakan tour, mereka bakal mengadakan sebuah ‘farewell show’ sebelum ke Japan dan semua dijemput hadir memeriahkan suasana bersama Bodyrag , Demolish Terror , Pancung dan Ruh Arasy pada 3 Ogos 2025
Tour Jepun Bunuhdiri 2025
- 08 Ogos – Osaka, Minamihorie SOCORE FACTORY (with Putridity)
- 09 Ogos – Tokyo, Hatsudai Wall (with Putridity)
- 10 Ogos – Tokyo, Earthdom
- 11 Ogos – Yokohama, El Puente
Ikuti Perkembagan Bunuhdiri di: