Panas, Haus & Huru-Hara – Ini Apa Yang Berlaku Di Latihan Pestapora Malaysia

oleh Hanis Izzatul
0 komen 1.6K bacaan

Kredit foto: Hitman Solutions

Latihan Pestapora Malaysia yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Julai 2025 baru-baru ini telah mencetuskan kontroversi apabila peminat muzik Malaysia dan Indonesia membanjiri platform media sosial dengan kritikan dan rasa tidak puas hati.

Bagi mereka yang pertama kali menghadiri festival muzik atau konsert berskala besar seperti ini, penulis turut bersimpati dengan pengalaman yang anda lalui di tempoh hari. Secara jujur, penulis sendiri beranggapan era penganjur ‘main tangkap muat’ ini sudah berakhir, tapi rupanya masih wujud!

Kali terakhir penulis mengalami pengurusan acara yang mengecewakan adalah ketika Rock The World 20th Anniversary pada tahun 2022 anjuran Jason Lo dan juga konsert Bring Me The Horizon featuring BABYMETAL pada tahun 2024 yang dianjurkan oleh penganjur yang sama iaitu Hitman Solutions.

Sebagai individu yang pernah menghadiri Pestapora di Jakarta dan juga Latihan Pestapora Malaysia, artikel ini ditulis berdasarkan pengalaman dan pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan team Music Addicts Malaysia.

Meskipun dihadiri hampir 25,000 peminat muzik dari Malaysia dan Indonesia, acara tersebut ternyata menjadi satu pengalaman yang mengecewakan bagi kebanyakan peminat yang hadir. Bahkan, peminat dari Indonesia yang sanggup terbang ke Malaysia demi menonton persembahan artis kegemaran mereka turut berkongsi rasa kecewa, dan situasi ini sememangnya sangat memalukan.

Kredit foto: Hitman Solutions

Salah satu isu utama adalah pemilihan lokasi. Sebenarnya, stadium atau mana-mana tempat tertutup adalah sangat tidak sesuai untuk konsep festival muzik berskala besar seperti ini kerana ia akan menjejaskan mood, vibes dan keselesaan peminat yang hadir. 

Dengan jumlah peminat-peminat muzik di Malaysia dan Indonesia, ditambah pula dengan pengumuman kemunculan semula Sheila On 7 selepas tujuh tahun tidak beraksi di Malaysia, penganjur seharusnya lebih peka dengan jumlah peminat yang bakal hadir pada hari tersebut dan mempertimbangkan untuk menganjurkan acara ini di lokasi yang lebih terbuka (open space) dan luas, seperti tapak festival atau padang terbuka yang lebih sesuai untuk acara seperti ini.

Isu kedua, yang paling banyak dibangkitkan oleh peminat yang hadir adalah tentang jumlah vendor atau booth makanan dan minuman yang sangat terhad! Hampir semua yang hadir pada hari tersebut berkongsi pengalaman yang sama iaitu, mereka terpaksa beratur hampir dua jam (atau lebih) hanya untuk mendapatkan sebotol air mineral berharga RM5. Kemudian, mereka perlu beratur lagi untuk membeli makanan, itupun dengan pilihan makanan berat yang sangat terhad sehinggakan ramai yang akhirnya terlepas peluang menonton persembahan artis kegemaran mereka. 

Belum lagi sentuh isu tentang senarai vendor yang langsung tidak masuk akal! Dah layan konsert, mestilah dahaga – orang nak minum air, bukan nak makan yogurt, dessert atau minum kopi! Yang lagi tak make sense, kenapa ada booth Troopers di sebuah festival muzik? Ada orang datang konsert nak cari kerja part time ke? Sangat tak masuk akal. 

Menjengah ke ruangan komen di platform media sosial seperti X, Threads, Instagram dan TikTok, ramai peminat sebelum ini telah menyuarakan cadangan agar disediakan water station, seperti yang dilakukan di Pestapora Jakarta. Namun, malangnya buat peminat di Malaysia, cadangan tersebut tidak dihiraukan. Tiada water station disediakan, water tumbler pula tidak dibenarkan untuk dibawa masuk, dan yang lebih mengecewakan, jumlah vendor minuman sangat terhad. Akhirnya, ribuan pengunjung terpaksa beratur panjang hanya untuk mendapatkan sebotol air mineral dalam cuaca panas, jerebu dan berhimpit.

Crowd control pun sangat lemah dan tidak efektif. Hanya satu pintu yang digunakan untuk laluan masuk dan keluar, menyebabkan pergerakan orang ramai menjadi terhad dan terganggu. Apatah lagi dengan kehadiran ribuan peminat, situasi sebegini sangat membahayakan keselamatan orang ramai. Dari awal festival sehinggalah ke penghujung acara, ramai yang pengsan kerana mengalami dehidrasi akibat cuaca yang sangat panas ditambah pula dengan jerebu yang teruk. Ironinya, penganjur berulang kali mengingatkan untuk “stay hydrated” namun untuk mendapatkan sebotol air mineral, pengunjung terpaksa bersesak-sesak dalam kawasan vendor yang sememangnya padat dan dipenuhi lautan manusia. Arahan dan peringatan yang diberikan langsung tidak selari dengan kemudahan yang disediakan dan hal ini merupakan satu kegagalan besar bagi sebuah syarikat penganjur acara yang sebelum ini pernah mengendalikan beberapa konsert berskala besar lain.

Susun atur pentas dan acara (stage and event layout) juga tidak teratur. Tiga pentas disediakan iaitu Hitman Arena, Boss Arena (pentas utama), serta Hingar Bingar (pentas sampingan). Malangnya, ramai peminat tidak mengetahui kewujudan pentas Hingar Bingar kerana kedudukannya yang tersorok dan tidak strategik. Pentas Hingar Bingar ini terletak berhampiran kawasan vendor makanan, menyebabkan mereka yang ingin ke pentas ini perlu bersesak-sesak melalui lautan manusia yang sedang beratur untuk membeli makanan dan minuman. 

Tidak lengkap rasanya sebuah festival muzik sekiranya tidak menyentuh soal sistem bunyi (sound system) dan produksi visual seperti Multi-Camera Production (MCP), yang sepatutnya menjadi antara elemen paling penting dalam memastikan pengalaman penonton benar-benar memuaskan. Malangnya, sistem bunyi sepanjang festival ini sangat mengecewakan. Mikrofon kerap hilang bunyi, kejap dengar, kejap tenggelam, sehingga menjejaskan persembahan artis dan juga pengalaman penonton.

Lebih mengecewakan lagi, pasukan MCP juga gagal menjalankan tugas dengan baik. Sudut rakaman yang tidak konsisten, serta kegagalan menangkap momen-momen penting menimbulkan persoalan penulis, adakah mereka sekadar ‘hadir’ untuk masuk konsert secara percuma?

Berbeza dengan acara utama Pestapora di Jakarta, meskipun berlangsung selama tiga hari, harga tiketnya jauh lebih berpatutan. Susun atur pentas dan acara (stage and event layout) juga jauh lebih teratur. Bukan itu sahaja, water station disediakan di pelbagai lokasi, air minuman juga mudah didapati kerana ia dijual hampir di setiap sudut, serta pilihan makanan dan minuman yang ditawarkan juga lebih menarik dan meriah. Malah, pelbagai aktiviti sampingan turut dianjurkan sepanjang festival menjadikannya lebih daripada sekadar pengalaman menonton konsert.

Walaupun hanya sekadar ‘latihan’, itu bukan alasan untuk penganjur menjalankan tanggungjawab secara sambil lewa. Lebih-lebih lagi apabila Malaysia menjadi tuan rumah bagi sebuah festival muzik antarabangsa berskala besar seperti ini. Penganjur seharusnya memberikan yang terbaik, malah lebih baik daripada apa yang peminat jangakakan kerana setiap individu yang hadir membayar tiket dengan wang sendiri dan mereka berhak menerima layanan serta pengalaman yang sepatutnya.

Meskipun dihujani pelbagai kritikan terhadap aspek pengurusan festival ini, satu perkara yang layak dipuji adalah keberhasilan penganjur membawa masuk barisan artis ternama dari Indonesia ke Malaysia. Kehadiran Sheila On 7 dan artis-artis hebat Indonesia seperti Hindia, .Feast, Nadin Amizah dan lain-lain berjaya menghidupkan dan memeriahkan suasana festival. Persembahan yang penuh bertenaga serta seleksi lagu yang tepat memberi sedikit harapan untuk peminat melupakan rasa kecewa terhadap kelemahan pengurusan acara.

Dalam kemeriahan barisan artis antarabangsa, artis tempatan juga tidak kurang hebatnya. Bunkface, Bittersweet, Dolla, Salammusik, Empty Page, Naki, Yonnyboii dan ramai lagi tampil dengan persembahan bertenaga yang membuktikan bahawa muzik tempatan wajar diberi perhatian dan sokongan sewajarnya. Mereka bukan sekadar pengisi slot, tetapi juga tulang belakang festival ini.

Sekiranya Latihan Pestapora Malaysia menjadi sebuah acara tahunan, diharapkan agar penganjur asal Pestapora iaitu Boss Creator (Kiki Ucup) mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan penganjur tempatan yang lebih berpengalaman dan mempunyai rekod cemerlang dalam mengurus festival muzik berskala besar.

Semoga segala kritikan dan pandangan yang disuarakan oleh warganet dijadikan iktibar dan pengajaran oleh semua penganjur acara di luar sana.

Untuk pulihkan semula rasa kecewa anda, penulis sarankan untuk anda hadirkan diri dan rasai sendiri pengalaman festival muzik yang sebenar dan luar biasa di acara utama, Pestapora yang akan berlangsung pada 5, 6 dan 7 September 2025 di Jakarta Indonesia. Lebih daripada 200 pemuzik Indonesia dijadualkan membuat persembahan di sekitar 17 pentas berbeza menjadikan Pestapora antara festival muzik tahunan yang paling dinanti-nantikan. Menariknya, buat pertama kalinya pada tahun 2025, penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza serta DJ kelahiran Ipoh, Perak, Miko Naiko bakal tampil menggegarkan pentas Pestapora!

Sekali anda dah rasai pengalaman berkunjung ke Pestapora di Jakarta, confirm anda akan jatuh cinta, takkan menyesal dan confirm nak repeat lagi! 

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅