
Mafidz selaku pemenang Lagu Terbaik Anugerah Lagu Indie 2024
Pentas Akhir Anugerah Lagu Indie (ALI) 2024 yang berlangsung di JioSpace pada 27 Julai 2025 menandakan edisi kelima penganjuran acara ini dan nyata, ia adalah edisi paling berjaya setakat ini.
Disiarkan secara langsung di YouTube, seramai 15 finalis dari seluruh Malaysia berentap dalam tiga kategori utama: Pop, Hip Hop dan Rock — masing-masing membawakan karya asli terbaik dengan satu tujuan: merangkul gelaran Lagu Terbaik ALI 2024.
Daripada 15 finalis, Mafidz bersama Otam mencuri tumpuan apabila lagu puitis dan menyentuh hati mereka, “Senandung” diumumkan sebagai Juara Lagu Terbaik serta memenangi kategori Lagu Rock Terbaik. Odelia Tirza pula menjuarai Kategori Pop Terbaik menerusi lagu “TV Show”.

Antara yang mencuri perhatian ialah Odelia Tirza yang membawa pulang Anugerah Kategori Pop Terbaik menerusi lagu catchy dan unik, “TV Show”.
Salah satu highlight malam itu ialah persembahan Fimie Don, yang bukan sahaja dikenali sebagai pelakon, tetapi turut membuktikan bakatnya dalam muzik menerusi lagu “Ke Akhirnya” (feat Heidi Moru). Lebih menyentuh, Fimie menjemput ibunya ke pentas sebagai sebahagian daripada persembahan, menjadikan momen itu antara paling emosional sepanjang malam.

Fimie Don menjemput ibunya untuk persembahan lagu “Ke Akhirnya”.
Turut mencuri perhatian, Ruebben Chelvan hadir dengan persembahan bergaya soul ala James Brown menerusi lagu “I Got A Woman”, yang penulis rasa satu persembahan penuh karisma dan menghiburkan.

Ruebben Chelvan dengan lagu “I Got A Woman”
Berikut adalah Senarai Pemenang Utama ALI 2024:
– Lagu Terbaik – Mafidz (feat. Otam) – “Senandung”
– Lagu Rock Terbaik – Mafidz – “Senandung”
– Lagu Pop Terbaik – Odelia Tirza – “TV SHOW”
– Lagu Hip Hop Terbaik – B-Heart – “Shh Shh”
– Persembahan Terbaik – Umar Akmal – “Dewasa Yang Ku Impikan”
– Lagu Terpaling Platinum Carta Indie Kita – Chylypdy – “Kelabu 2024
ALI terus membuktikan peranannya sebagai nadi penting industri muzik alternatif Malaysia. Dengan sokongan Kementerian Belia & Sukan serta nama-nama besar dalam industri, ALI bukan lagi sekadar acara alternatif — ia mula mencorak arus perdana baharu dalam muzik tempatan.
Turut hadir memeriahkan malam kemuncak ALI 2024 ialah YB Adam Adli (Timbalan Menteri Belia & Sukan), Med Faris (Penerbit Eksekutif ALI 2024) serta barisan hos Aqilah, Atoi & Bob dari Rakita 107.9.

YB Adam Adli (Timbalan Menteri Belia dan Sukan), Med Faris (Penerbit Eksekutif Anugerah Lagu Indie) bersama barisan hos ALI 2024
Anugerah Lagu Indie 2024 disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan, Gaya Hidup Rakan Muda, Rakan Muzik; Lokasi Rasmi, JioSpace; Motosikal Rasmi, Honda Motorcycle Malaysia; Radio Rasmi, Rakita 107.9; serta Rakan Media Strategik yang bersama-sama menyokong semangat Anugerah Lagu Indie, Malaysia Tribune, Medialah, Music Addicts Malaysia, Kaypoh Media, Malaysia Music Scene, Writer’s Daily dan LUAS.
Manakala panel juri yang terlibat untuk Anugerah Lagu Indie 2024 adalah AG Coco, Irena Taib, Leaism, Loy Ekzan, Luca Sickta, Roshan Jamrock, Prof. Madya Dr. Muhammad Sayyid dan juga Wing Meng selaku Ketua Juri, di samping Penerbit Eksekutif Anugerah Lagu Indie 2024, Med Faris dan Jennifer Thompson.
ALI 2024 telah mencipta satu malam yang luar biasa — penuh rasa, muzik dan semangat. Sejuta Tahniah diucapkan kepada Mafidz dan semua finalis yang menjadikan malam itu antara yang paling bersejarah dalam arena muzik indie Malaysia.