Band metalcore moden dari Lembah Kelang, AKTA kembali menggempur tahun 2025 dengan single terbaharu mereka, “Tanpa Cahaya”.
Selepas kejayaan EP Neon City pada Ogos 2024 yang mengangkat mereka sebagai antara wajah baharu paling menyerlah dalam muzik alternatif tempatan, “Tanpa Cahaya” menjadi saksi pertumbuhan matang dalam penulisan lagu dan eksperimen sonik AKTA yang lebih berani.
Menggabungkan elemen emo dan metalcore moden dengan kekuatan korus yang ‘menangkap telinga’, single ini mempamerkan kematangan yang luar biasa — dan lebih menarik lagi, ia menampilkan saxophone, dimainkan oleh Saniy Wickweaky. Jarang sekali kita dengar kombinasi ini dalam genre berat tempatan, dan keberanian AKTA untuk mencuba sesuatu yang luar dari kebiasaan adalah antara kekuatan utama mereka.
Secara tematik, lagu ini mengetengahkan kepentingan menerima hakikat dan belajar melepaskan — satu mesej yang dekat di hati ramai. Vokal dan lirik oleh Shahril Redzwan dan Nadyra Yusri sarat dengan emosi, menyentuh soal kehilangan, kesedihan dan bagaimana manusia cuba bangkit perlahan-lahan daripada bayangan masa lalu.
Dalam penjelasan mereka, AKTA menyatakan bahawa lagu ini bukan sekadar tentang move on, tetapi tentang mengiktiraf kesedihan sebagai sebahagian daripada proses penyembuhan. Di satu sudut, lagu ini menjadi peringatan bahawa tidak mengapa untuk menangis — satu perkara yang jarang diangkat secara terbuka dalam budaya kita.
Pemilihan saxophone mungkin mengejutkan, tetapi hasilnya ternyata menjadi. Ia memberi keseimbangan yang indah antara riff berat dan suasana melankolia. Menurut AKTA, inspirasi ini datang daripada pengaruh band antarabangsa yang sering mencampur genre — dan ini menunjukkan keyakinan mereka untuk keluar dari zon selesa.
kita dah jumpa definisi karya AKTA yang akan datang – to modernisekan song writing kami dan cabar diri untuk step up our game. Saxophone dalam Tanpa Cahaya is a nice touch to smoothen the song, nak highlightkan that sad expression and mellow instead of focusing on the heavy tones in the song.
Kualiti produksi juga tidak kurang hebatnya. Parallel Records, SOG Production dan Melodiya Recordings berjaya menghasilkan sound yang bersih, padat, dan berlapis — satu peningkatan ketara daripada Neon City. Mixing dan mastering jelas sekali lebih refined, dan ini memperlihatkan kesungguhan mereka dalam menambah baik mutu karya.
Walaupun AKTA telah membina satu identiti kuat dengan naratif seperti Neon City, mereka kini berdepan cabaran lebih besar iaitu mengekalkan momentum dan memastikan variasi tanpa kehilangan ‘roh’ mereka. Lagu “Tanpa Cahaya” adalah langkah ke hadapan, tetapi cabaran seterusnya adalah untuk memastikan setiap eksperimen akan membawa hasil yang konsisten dan tidak terlalu bergantung kepada gimik unik seperti saxophone semata-mata.
Lirik mereka sangat jujur dan penuh emosi, tetapi mereka boleh menambah dimensi melalui storytelling yang lebih mendalam atau metafora visual yang lebih kuat, agar mesejnya lebih mudah diingati dan menyentuh lapisan makna yang lebih luas.
Buat masa ini, AKTA masih fokus pada persembahan pentas dan penulisan lagu. Walaupun belum ada perancangan rasmi untuk album penuh, “Tanpa Cahaya” jelas menunjukkan bahawa mereka sedang menyusun langkah ke arah yang lebih besar. Dengan keberanian berkarya dan identiti muzik yang semakin kukuh, AKTA berpotensi untuk menjadi perintis bagi metalcore moden tempatan yang lebih pelbagai dan berani.
Teruslah melangkah dengan kejujuran dalam muzik dan jangan takut untuk berinovasi. Tetapi dalam semua perubahan, jangan tinggalkan “jiwa” yang mula-mula buat kami semua jatuh cinta dengan AKTA.
Ikuti Akta di: