
Sekalung tahniah diucapkan kepada Icon Entertainment dan KRU atas pencapaian membanggakan apabila meraih dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records — Penjualan Tiket Konsert Terpantas dalam Masa 1 Jam dan Persembahan Terbanyak Dilakukan dalam Satu Siri Konsert. Kedua-dua anugerah berprestij ini telah disampaikan semasa konsert keempat GenKRU yang berlangsung dengan penuh gemilang di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 11 Mac 2025.
Konsert hari keempat dalam siri ini bermula pada jam 8.40 malam dengan ledakan semangat melalui lagu Fanatik, disusuli dengan Di Dalam Dilema. KRU, kumpulan ikonik yang mula mencorak industri muzik tanah air sejak tahun 1992, meneruskan persembahan tanpa henti, termasuk lagu yang jarang kedengaran di corong radio, Balada Hati.
@fidaraha
Tidak membiarkan penonton panas punggung menunggu, KRU menaikkan semangat dengan lagu rancak The Way We Jam. Kemunculan mengejut kumpulan Feminin dalam lagu Untukmu mengundang sorakan gemuruh, seolah-olah merawat rindu peminat terhadap kumpulan wanita popular era 90-an itu.
@fidaraha
Seterusnya, kehadiran pelawak Abon dan penyanyi Adam dalam persembahan Terhangat di Pasaran membawa penonton mengimbau kembali muzik video asal lagu tersebut yang penuh jenaka. Persembahan diteruskan dengan deretan lagu nostalgia seperti Babe, Malam Kita, Semuanya OK, Voodoo, Bidadari, Hingga ke Jannah, Dekat Padamu, dan Wanita — semuanya dibawakan dengan penuh bertenaga dan emosional.
Antara momen paling menyentuh hati ialah ketika ribuan konfeti berbentuk bintang dengan lirik lagu Apa Saja berterbangan semasa KRU mempersembahkan lagu tersebut di pentas mini di tengah-tengah stadium. Suasana menjadi hening seketika apabila KRU tidak dapat menahan sebak ketika menyanyikan Penjunjung Namaku, lagu khas buat ibu mereka yang turut hadir menyaksikan konsert.
@fidaraha
Peminat terus dihiburkan dengan lagu Negatif, sebelum kehadiran kumpulan Elite menghangatkan pentas dengan lagu Di Pintu Syurga, disusuli korus dan tarian ringkas lagu Tamparan Wanita yang pernah menjadi kegilaan remaja satu ketika dahulu.
@fidaraha
KRU turut mempersembahkan medley lagu-lagu ciptaan mereka yang pernah dipopularkan oleh artis lain, antaranya Kekasih Separuh Masa (The Lima), Sedetik Lebih (Anuar Zain) dan Romancinta (Mojo) — bukti kehebatan mereka sebagai komposer tersohor dengan lebih 1,000 buah lagu ciptaan sendiri.
Konsert diteruskan dengan lagu romantis 2, sebelum paparan khas menampilkan kumpulan-kumpulan legenda seperti Nico, Res2, MSteen, Feminin dan 4U2C yang pernah mewarnai era keemasan muzik Malaysia. Suasana menjadi gamat apabila AC Mizal muncul bergaya dengan rantai cakera padat ikonik zaman 90-an dan turut serta menyanyikan lagu Inikah Ertinya Cinta/Hanya Kau bersama KRU.
@fidaraha
Antara lagu-lagu lain yang turut dipersembahkan termasuklah Mengerti, Perpisahan Terasing dan Janji Tinggal Janji. Saat lampu dipadam, ramai menyangka konsert telah tamat. Namun, KRU kembali ke pentas dengan persembahan Jangan Lafazkan dan diakhiri dengan Awas — lagu paling hit pada tahun 1996 sebagai penutup penuh simbolik. Sekali lagi, konfeti berukiran huruf “K R U” membanjiri stadium bersama beberapa bola gergasi yang berlegar-legar di udara. Konsert tamat sekitar jam 11.10 malam.
Secara keseluruhan, konsert ini mungkin bukan yang paling sempurna dari segi teknikal atau produksi, namun ia berjaya menyentuh jiwa. Keikhlasan dan kesungguhan KRU dalam memberikan yang terbaik buat peminat setia mereka terserlah di setiap lagu, setiap gerak, dan setiap detik. Penonton — kebanyakannya berusia 40 tahun ke atas seolah-olah dibawa merentasi terowong masa, kembali ke zaman remaja yang penuh kenangan.
Terima kasih KRU, kerana telah mencorakkan zaman remaja kami dengan lagu-lagu yang masih segar di ingatan sejak 1992 hingga kini. Selepas lebih tiga dekad, KRU kekal relevan dan terus menjadi lambang kecintaan muzik tempatan yang tidak lapuk dek zaman.






