Ghea Indrawari Kembali Ke Kuala Lumpur Menerusi Konsert Solo “Rasi Jiwa”

oleh Music Addicts Malaysia
0 komen 115 bacaan

Penyanyi dari Indonesia, Ghea Indrawari, bakal kembali menemui peminat di Malaysia menerusi konsert solo istimewa bertajuk “GHEA INDRAWARI: RASI JIWA – Live in Kuala Lumpur” yang dijadualkan berlangsung pada 8 Mei 2026 di Zepp Kuala Lumpur.

Konsert ini dijangka menampilkan persembahan yang sarat emosi dan penuh keintiman, selari dengan identiti muzik Ghea yang terkenal dengan lagu-lagu balada berteraskan kejujuran perasaan serta penceritaan jiwa.

Menurut Ghea, “Rasi Jiwa” membawa falsafah tentang penerimaan diri dan proses emosi yang tidak semestinya sempurna.

“Rasi Jiwa menolak standard ‘harus baik-baik saja’. Ia mengajak anak muda untuk mengakui proses termasuk fasa bingung, jatuh dan belum selesai,” katanya.

Bagi memastikan penonton benar-benar merasai pengalaman lebih dekat, konsert ini direka dalam format yang menekankan interaksi dan keterhubungan emosi antara artis dan peminat. Beberapa kategori tiket turut ditawarkan termasuk free standing, tempat duduk bernombor serta zon VIP berhampiran pentas.

Menariknya, setiap kategori tiket dinamakan berasaskan fasa emosi kehidupan. Harga tiket ditawarkan bermula RM198 hingga RM238 bagi standing tingkat bawah, manakala RM338 hingga RM368 untuk seating tingkat atas. VIP Suite pula berharga RM5,000 sementara pakej Meet & Greet dijual pada harga RM300.

Pemilihan Zepp Kuala Lumpur dianggap tepat untuk konsep konsert ini kerana venue tersebut terkenal dengan suasana yang lebih intim dan dekat dengan penonton.

Tiket konsert “RASI JIWA – Live in Kuala Lumpur” boleh didapati menerusi laman web rasmi https://GheaRasiJiwaKL.com serta platform jualan tiket LOKET.

Bagi peminat yang ingin mendapatkan tiket lebih awal, tiket Pra-Jualan akan mula dijual pada 10 Januari 2026 jam 10.00 pagi untuk mereka yang telah mendaftar di laman tiket. Tiket Jualan Awam pula akan mula dijual pada 11 Januari 2026.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅