
Kredit: Bangsawan
Penulis: Pokjay
Konsert Healing Nite 2026 yang berlangsung di Stadium Merdeka pada 24 Januari lalu nyata menghadirkan pengalaman muzik yang bukan sahaja menghiburkan, malah menenangkan jiwa. Bertemakan busana biru dan putih, keseluruhan suasana malam tersebut terasa harmoni serta selari dengan konsep “healing” yang diketengahkan oleh penganjur.
Dari sudut venue, Stadium Merdeka membuktikan ia masih relevan sebagai lokasi konsert berskala besar. Keadaan stadium yang selesa, susun atur vendor makanan yang mencukupi serta teratur dan proses daftar masuk tiket yang lancar tanpa kekecohan menyumbang kepada pengalaman penonton yang positif. Kawalan keselamatan pula dilaksanakan dengan tegas tetapi tidak berlebihan, manakala kedudukan pentas yang tidak terlalu jauh daripada audiens menjadikan setiap persembahan terasa lebih dekat dan intim.
Kualiti bunyi juga wajar dipuji apabila audio dari pentas kedengaran sangat jelas tanpa sebarang gangguan, mencerminkan pengendalian teknikal yang profesional. Kesan visual seperti pyro, bunga api dan asap digunakan secara tepat — tidak berlebihan, namun cukup untuk menaikkan emosi setiap set persembahan. Pengurusan masa antara artis pula berjalan cekap, memastikan konsert bergerak lancar tanpa sela yang membosankan. Paling dihargai, acara hanya dimulakan selepas waktu Isya’ sebagai tanda menghormati waktu solat. Berlatarbelakangkan Menara Merdeka 118 serta suasana malam yang sedikit berangin, keseluruhan pengalaman konsert terasa sangat santai dan menenangkan.
Konsert ini menampilkan barisan artis hebat iaitu Dayang Nurfaizah, Lyodra, Kangen Band, Ella dan Anuar Zain. Pembukaan dimulakan oleh Dayang Nurfaizah yang tampil bertenaga dan penuh semangat. Aura serta vokalnya yang mantap berjaya membangkitkan emosi audiens sejak awal dan sekali gus menghidupkan suasana stadium dalam sekelip mata.
Momentum tersebut diteruskan oleh penyanyi dari Indonesia, Lyodra. Dengan suara lunak dan persembahan penuh perasaan, beliau berjaya mengekalkan rentak emosi yang telah dibina. Antara momen paling manis malam itu ialah apabila Lyodra menjemput seorang penonton untuk berduet bersamanya di atas pentas. Detik tersebut menjadi lebih istimewa apabila diketahui konsert itu berlangsung pada hari lahir penonton berkenaan. Ia menjadi satu kenangan yang pastinya sukar dilupakan.
Seterusnya pentas dimeriahkan pula oleh Kangen Band yang membawa penonton mengimbau nostalgia lagu-lagu hit era 2000-an. Persembahan mereka diperkukuhkan dengan penggunaan pyro yang lebih ketara sekali gus menyuntik rasa kehangatan dan menghidupkan suasana stadium dengan sorakan penonton. Walaupun genre mereka sedikit berbeza berbanding artis lain yang lebih cenderung kepada balada, penerimaan audiens tetap positif.
Kemudian tiba giliran Ella, Ratu Rock tanah air yang disambut dengan tepukan dan sorakan gemuruh. Lagu-lagu yang dipersembahkan sememangnya sudah sebati di bibir peminat daripada pelbagai peringkat usia menjadikan sesi singalong berlangsung meriah sepanjang persembahan. Gelagat manja Ella di atas pentas turut mencuit hati penonton dan menambah elemen mesra dalam persembahannya.
Konsert malam itu diakhiri oleh Anuar Zain, seorang figura yang tidak pernah asing dalam dunia muzik Malaysia. Persembahannya menjadi antara yang paling diingati bukan sahaja kerana vokal berkualiti tetapi juga pendekatan unik yang diambil. Hanya sekitar 20 peratus masa dihabiskan di atas pentas manakala selebihnya beliau turun mendekati penonton menyanyi sambil berjalan dan mengagihkan barangan cenderamata kepada peminat.
Momen paling menyentuh hati berlaku apabila Anuar Zain melawat seorang peminat setianya, Makcik Rokiah yang kini menghidap demensia. Beliau hadir dari Terengganu bersama keluarga atas tajaan penganjur. Walaupun banyak perkara lain dalam hidupnya telah dilupakan, minat terhadap Anuar Zain kekal utuh. Detik ini bukan sahaja membuatkan penonton sebak malah menjadi simbol betapa muzik mampu meninggalkan kesan mendalam yang melangkaui ingatan dan masa.
Secara keseluruhan, Healing Nite 2026 bukan sekadar sebuah konsert tetapi satu pengalaman emosi yang lengkap, tenang, menghiburkan dan penuh makna. Pujian juga wajar diberikan kepada penganjur kerana memaparkan lirik bagi setiap lagu sekali gus memudahkan penonton untuk turut menyanyi dan lebih menikmati malam tersebut. Akhir kata, konsert ini membuktikan bahawa dengan pengurusan yang baik, barisan artis berkualiti dan sentuhan kemanusiaan, muzik benar-benar mampu menjadi terapi jiwa.




