Moneybag 1327 Umum “The Hate & Vanity Tour” — Tiket RM10 Untuk Semua

oleh Aniq Ammar Ekhwan
0 komen 152 bacaan

Selepas beberapa tahun mengukuhkan nama di dalam dan luar negara, Moneybag 1327 kini kembali dengan single baharu yang jelas menunjukkan kemajuan ketara dari segi penulisan, susunan dan identiti bunyi. Jika karya-karya terdahulu lebih mentah dan agresif, material terbaharu ini hadir dengan pendekatan yang lebih matang tanpa mengorbankan karakter keras mereka. Elemen unik dalam struktur lagu dan ekspresi vokal memperlihatkan band ini tidak lagi selesa bermain di zon selamat — satu lonjakan yang menjadikan karya baharu mereka lebih kuat dan lebih baik daripada sebelum ini.

Single ini bukan sekadar lagu baharu, ia adalah pernyataan bahawa Moneybag 1327 sedang berada dalam fasa evolusi, bersedia membawa nama mereka ke pentas yang lebih besar.

Dalam masa yang sama, Moneybag 1327 tampil dengan satu langkah berani dan jarang dibuat: sebuah jelajah nasional yang berpaksikan prinsip benefit for all iaitu  “The Hate & Vanity Tour”. Dalam landskap muzik keras tempatan yang sering berdepan kekangan kos, akses dan sokongan, band ini bukan sekadar mempromosikan single baharu, tetapi membawa satu visi besar untuk membetulkan ekosistem band di Malaysia — dari akar umbi, untuk semua.

Tour ini bermula 16 Januari di Penang, diikuti 17 Januari (Ipoh), 18 Januari (Kuantan), kemudian menyambung perjalanan ke selatan pada 23 Januari (Negeri Sembilan), 24 Januari (Johor), 25 Januari (Melaka) dan ditutup di ibu negara pada 31 Januari (Kuala Lumpur). Paling mencuri perhatian, harga tiket ditetapkan RM10 sahaja bagi setiap negeri dimana satu keputusan yang jelas bukan berlandaskan keuntungan semata-mata, tetapi kepercayaan bahawa muzik seharusnya boleh diakses oleh semua.

Apa yang membezakan tour ini adalah misi dan visinya. Moneybag 1327 secara konsisten menegaskan bahawa jelajah ini adalah show benefit for all. Setiap negeri yang disinggahi akan menampilkan band tempatan negeri tersebut untuk perform di tempat sendiri, memberi ruang, pendedahan dan peluang yang sering dinafikan dalam struktur industri sedia ada.

Langkah ini juga mencerminkan usaha mereka untuk membetulkan ekosistem band — memastikan band bukan sekadar “main show”, tetapi mendapat platform yang adil untuk berkembang, membina jaringan dan berkongsi rezeki. Dalam masa yang sama, tour ini menjadi medium untuk mempromosikan single baharu mereka secara langsung kepada peminat tempatan, bukan hanya bergantung pada pasaran luar.

Sebelum ini, Moneybag 1327 telah aktif menjelajah luar negara, membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa. Namun kali ini, mereka memilih untuk kembali dan fokus di negara sendiri. Keputusan ini bukan langkah ke belakang, sebaliknya satu strategi jangka panjang — membina asas yang kukuh di tanah air agar lebih banyak band Malaysia mampu menembusi pasaran luar.

Menariknya, setiap kali Moneybag 1327 ke luar negara, mereka membawa bersama band Malaysia untuk dikongsi pentas, khususnya dalam scene hardcore. Pendekatan ini membuka jalan, memecahkan tembok dan membuktikan bahawa band tempatan mampu berdiri sama tinggi di peringkat antarabangsa.

Selepas tamat jelajah tempatan, Moneybag 1327 dijadualkan beraksi di Concrete Jungle Fest, Thailand, sebelum meneruskan tour di beberapa negara luar. Perjalanan ini bukan sahaja tentang nama Moneybag 1327, tetapi tentang membawa sekali identiti dan semangat scene Malaysia ke mata dunia.

“The Hate & Vanity Tour” bukan sekadar deretan tarikh dan pentas. Ia adalah manifestasi kepercayaan bahawa muzik boleh menjadi alat perubahan serta menghubungkan band, peminat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih adil. Dengan harga RM10, pintu dibuka seluas-luasnya. Dengan visi yang jelas, jalan dibina untuk generasi seterusnya.

Akhir kata, kami mendoakan Moneybag 1327 terus sukses, kekal konsisten dengan prinsip mereka, dan menjadi pencetus kepada lebih banyak band Malaysia untuk berani bermimpi, bergerak jauh dan berkongsi rezeki di dalam dan di luar negara.

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅