Nyata: Manifesto Kebangkitan Six Odd Figures

oleh Aniq Ammar Ekhwan
0 komen 272 bacaan

Dalam dunia yang sering menjanjikan keadilan, keharmonian dan kebebasan, manusia akhirnya terpaksa berdepan dengan hakikat bahawa tidak segalanya telus, tulus dan benar. Harapan sering bertembung dengan realiti sistem yang memihak kepada mereka yang lebih kaya dan berkuasa, meninggalkan individu biasa dalam keadaan terhimpit dan tidak berdaya. Dari kesedaran pahit inilah lahir sebuah suara yang memilih untuk tidak lagi diam.

Suara itu datang daripada Six Odd Figures (SOF), sebuah band metal moden dari Kuching Sarawak yang telah melalui perjalanan panjang sejak ditubuhkan pada 2014. Dahulunya dikenali sebagai The Rambos, band ini dibentuk oleh pemuzik-pemuzik berpengalaman dalam scene tempatan dan sering dianggap sebagai sebuah supergroup. Setiap ahlinya datang daripada latar band yang kukuh dan aktif dalam komuniti muzik berat tempatan.

Selepas tempoh panjang yang dipengaruhi oleh komitmen hidup, perubahan ahli serta pandemik, mereka kembali dengan identiti baharu dan hala tuju yang lebih jelas serta serius. Kini SOF dianggotai oleh Noct dan Totoi sebagai vokalis, Amon dan Cikong di posisi gitar, Kui di bahagian bass dan Kurik sebagai pemain dram dengan Amir selaku pengurus merangkap penulis lagu serta penerbit utama. Six Odd Figures membawa pendekatan metal moden yang menggabungkan agresi bunyi berat dengan suasana melodik dan emosi. Penulisan lirik mereka pula banyak berkisar tentang pengalaman hidup, konflik dalaman serta realiti sosial yang dekat dengan pendengar.

Single terbaharu mereka berjudul Nyata menjadi cerminan paling jelas kepada falsafah tersebut. Lagu ini tidak digambarkan sebagai sebuah keindahan sebaliknya satu kesedaran pahit tentang kehidupan. Nyata berbicara mengenai manusia yang menginginkan keadilan, keharmonian dan kebebasan untuk jiwa-jiwa yang terpelihara namun akhirnya sedar bahawa dunia ini penuh dengan ketidakadilan. Di sinilah Nyata menjadi titik di mana kenaifan mati dan digantikan oleh kewaspadaan.

Naratif lagu ini turut menonjolkan ketidakberdayaan individu apabila berdepan dengan jurang kuasa yang besar. SOF secara jujur mengakui bahawa sistem sering dikawal oleh mereka yang lebih kaya dan berkuasa, membuatkan usaha individu kelihatan kecil dan sia-sia. Namun, lagu ini tidak berhenti pada rasa putus asa. Sebaliknya ia memperkenalkan metafora semut-semut yang berkumpul sebagai lambang kekuatan kolektif. Semut melambangkan rakyat biasa, suara kecil yang selama ini tidak didengari. Apabila bersatu, mereka mampu membentuk gergasi, mencetuskan ombak dan melakukan rombakan yang menyeluruh dari akar umbi.

Dari segi penciptaan, Nyata bermula dengan sebuah riff gitar yang diarkibkan oleh gitaris mereka, Emmanuele. Pada awalnya riff tersebut hanyalah idea melodi yang tidak digunakan. Segalanya berubah apabila Amir hadir dengan visi untuk menghasilkan lagu yang lebih rebel. Sebuah lagu yang berani mempersoalkan sistem yang menindas, menyekat dan menghambat jiwa-jiwa muda daripada terus memperjuangkan apa yang mereka yakini. Riff berat dengan elemen hardcore itu akhirnya menjadi tunjang utama Nyata. Matlamat mereka bukan untuk mencipta impak yang besar secara luaran tetapi biarlah setiap gelombangnya terasa dan meresap ke dalam jiwa pendengar.

Proses rakaman Nyata menjadi antara cabaran paling panjang buat SOF. Ia bermula sebelum pandemik Covid-19 dan terhenti akibat kekangan kerja, keluarga serta ketidaktentuan global. Keinginan untuk berputus asa sememangnya wujud. Apabila keadaan kembali stabil pada 2023, pertukaran ahli band pula berlaku dan sekali lagi melambatkan proses. Keputusan besar untuk menukar nama daripada The Rambos kepada Six Odd Figures dibuat sebagai simbol permulaan baharu dan komitmen untuk kembali serius dalam muzik selepas bertahun berehat. Tahun 2024 akhirnya menjadi titik kebangkitan apabila proses rakaman berjalan lancar dengan bantuan Sonic Heresy Production yang mengendalikan aspek teknikal.

Dari sudut susunan dan penulisan lirik, Nyata mempunyai potensi yang kuat. Struktur lagu tersusun dengan jelas dan dinamiknya terasa seimbang antara bahagian berat dan emosi. Liriknya pula jujur dan relevan terutamanya kepada pendengar yang merasa terhimpit oleh sistem dan realiti kehidupan. Namun dari segi produksi, masih terdapat ruang penambahbaikan khususnya pada bahagian clean vocal yang boleh digarap dengan lebih teliti agar mesej lagu dapat disampaikan dengan lebih jelas dan berkesan.

Buat masa ini SOF memberi tumpuan kepada promosi, pembinaan jaringan industri dan memastikan momentum perjalanan band bergerak mengikut perancangan. Sebuah EP sedang dipersiapkan dengan proses pemilihan lagu yang sedang diperhalusi. Untuk visi jangka panjang, mereka menyasarkan lebih banyak persembahan secara langsung termasuk di peringkat Asia Tenggara serta membina hubungan dengan lebih ramai rakan dan penyokong.

Selepas semua perancangan ini berjalan lancar, SOF mengimpikan pelancaran album dan jelajah persembahan agar mereka dapat berkembang dan menempatkan diri dalam industri muzik tempatan dan jika diizinkan di arena antarabangsa. Mereka tidak mengejar populariti semata mata. Apa yang mereka mahukan hanyalah untuk memberi inspirasi dan menyampaikan satu mesej yang jujur bahawa mereka juga adalah anda dan anda juga adalah mereka.

Nyata akhirnya berdiri sebagai lebih daripada sekadar sebuah single. Ia adalah seruan untuk sedar, bersatu dan bertindak. Dalam dunia yang semakin bising dengan kepalsuan, Six Odd Figures memilih untuk berbicara tentang kebenaran walaupun pahit. Dan di situlah kekuatan sebenar Nyata.

Ikuti Six Odd Figures di:

Facebook

Instagram

Tinggalkan Komen Anda

Anda juga mungkin meminati

Ala... Ada pasang Adblocker Eh?

Support la kitorang dengan benarkan ads di pelayar web korang. Kitorang faham memang sakit mata tengok ads ni. Tapi, kasi chance lah. 😅